Kesan Penderaan Kanak-Kanak Boleh Membawa Maut, Ibu Ayah Kena Alert Perubahan Anak
Kesan penderaan kanak-kanak meliputi aspek berkaitan perkembangan minda, fizikal dan tingkah laku. Mereka juga mungkin mengalami trauma yang berpanjangan
Kes jenayah melibatkan bayi dan anak yang masih kecil dalam sesuatu kejadian bukanlah perkara asing lagi dalam kalangan masyarakat. Lebih menyedihkan hampir setiap hari ia berlaku tanpa memikirkan kesan penderaan kanak-kanak terhadap masa hadapan mereka.
Menurut Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, penderaan kanak-kanak adalah sebuah pencabulan atau pelanggaran hak mereka untuk membesar dalam keadaan sihat, selamat dan bermaruah.
Kesan penderaan kanak-kanak
Menurut rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kebanyakan kes penderaan melibatkan kanak-kanak dan bayi berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti krisis rumah tangga, pengabaian tanggungjawab, tekanan dan masalah mental.
Selain orang luar yang melakukan perbuatan jahat ini, rekod penderaan pada tahun lalu menunjukkan lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera dilakukan sendiri oleh ibu kandung.
Bukan itu sahaja, statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mencatatkan 158 kes atau 32 peratus dilakukan oleh golongan bapa, pusat penjagaan kanak-kanak atau pengasuh sebanyak 6 peratus (29 kes) manakala ibu tiri hanya 3 peratus atau 15 kes sahaja.
Sepanjang tahun 2019 lalu, panggilan yang diterima melalui Talian Kasih meningkat melebihi 70 peratus berbanding 15, 046 panggilan pada tahun sebelumnya.
Antara kesan penderaan kanak-kanak yang perlu anda perhatikan ialah:
#1. Keadaan fizikal
Meneliti setiap bahagian anggota tubuh badan adalah penting bagi mengenal pasti berlaku perubahan atau penganiayaan. Ia sekaligus dapat melindungi diri mangsa dari terus dicederakan.
Kesan penderaan fizikal adalah lebih mudah dilihat berbanding penderaan lain kerana menunjukkan beberapa kesan seperti:
- Sukar untuk duduk atau berjalan
- Menahan sakit
- Lebam atau bengkak
- Cedera dan berdarah
- Sakit pada kemaluan
- Luka terbakar
Dalam hal ini, anak kecil mungkin takut dan tidak akan memberitahu kepada sesiapa tentang masalah yang dihadapi. Mereka mungkin merasakan bahawa tiada sesiapa yang boleh membantu atau orang sekeliling juga tidak boleh dipercayai.
#2. Menganggu proses perkembangan
Secara umumnya, otak manusia akan melalui tahap perkembangan luar biasa ketika masih bayi dan kanak-kanak. Kejadian yang sama dan berulang terjadi sebenarnya boleh mendatangkan kesan terhadap diri si manja dan menyebabkan otak tidak aktif.
Bukan itu sahaja, anak yang terlibat dalam penderaan ini turut mengalami gangguan terhadap masalah kesihatan bagi jangka masa panjang seperti:
- Sukar untuk mendengar atau menumpukan perhatian
- Berlaku ketidakseimbangan kemahiran emosi, kognitif dan sosial
- Mudah diserang penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan obesiti
- Terlibat dengan dadah atau alkohol
- Pendedahan kepada gejala tidak sihat
#3. Kesan terhadap tingkah laku
Anak kecil menderita akibat sering dikasari atau didera cenderung untuk memiliki tahap keyakinan diri yang kurang dan tidak percaya kepada sesiapa sahaja di sekeliling mereka.
Hal ini mungkin kerana sukar untuk meluahkan perasaan sebenar sehingga ia menganggu fikiran dan memberikan tekanan emosi. Semakin lama tempoh penderaan ini berlaku, semakin teruk kesannya terhadap perkembangan kanak-kanak.
Dalam sesetengah kes, penderitaan ini berterusan sehinggalah anak memasuki alam remaja dan menyebabkan kemurungan yang agak teruk. Antara kesannya adalah seperti:
- Berani mencederakan diri
- Sukar tidur malam
- Suka menjauhkan diri daripada orang lain
- Tabiat pemakanan tidak teratur
- Sukar memberikan perhatian
- Sering rasa gelisah dan murung
Langkah mengelakkan anak menjadi mangsa dera di rumah pengasuh
Sebelum anda meninggalkan bayi atau anak yang masih kecil di rumah jagaan, perhatikan beberapa perkara penting agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Tidak dinafikan sebahagiannya melakukan tugas ini adalah untuk mendapatkan duit semata-mata tanpa mengutamakan nilai kasih sayang. Ibu ayah jangan meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada pengasuh kerana luaran mereka kelihatan baik dan bertanggungjawab.
Antara langkah bagi mengelakkan anak menjadi mangsa dera ialah:
- Bertanyakan ibu bapa anak yang lain atau jiran-jiran tentang cara penjagaan kanak-kanak yang dipraktikkan oleh pusat jagaan berkenaan.
- Sekiranya anda mengesyaki perubahan sesuatu, jangan teragak-agak untuk melakukan pemeriksaan secara mengejut.
- Pastikan anda menyimpan bukti bagi memudahkan proses laporan polis dengan mengambil gambar atau merakam video keadaan bayi serta tindakan pengasuh di rumah jagaan.
- Jika mendapati anak pulang sering menangis, terdapat kesan lebam atau kecederaan, dapatkan penjelasan daripada pihak pengasuh.
- Periksa kebenaran setiap aduan yang diperkatakan oleh pengasuh tentang anak sering berkelakuan negatif dan tidak sama dengan kanak-kanak lain.
Sumber: Harian Metro, Ijcwed
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: