"Kalaulah Aku Hargai Dia Dari Dulu..." - Kisah Suami Curang Ini Benar-Benar Membuka Mata
Kisah suami curang ini patut dijadikan pengajaran buat suami isteri di luar sana. Hargailah pasangan anda selagi boleh, jangan menyesal di kemudian hari...
Kisah suami curang ini sewajarnya menjadi ikhtibar buat semua suami isteri di luar sana. Komitmen dalam berumah tangga bukan bermaksud menyayangi pasangan dalam masa yang sukar saja.
Malah, perkahwinan juga merupakan satu janji yang anda akan mengingati dan menghargai setiap usaha dan kebaikan pasangan. Perkahwinan bermaksud anda kekal berjuang walaupun ketika saat sukar.
Kisah suami curang dalam perkahwinan tidak sepatutnya terjadi dan ia merupakan kesilapan terbesar dalam hidup seorang lelaki.
Tak percaya? Mari baca luahan hati seorang lelaki dan bapa kepada 2 orang anak ini. Kata-kata beliau sungguh bernas hingga anda akan faham apa ertinya perkahwinan.
Kisah suami curang: Pengajaran buat suami isteri
Aku telah 15 tahun berkahwin dengan isteriku. Tapi 2 bulan sebelum ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10, aku curang.
Kami ibu bapa kepada 2 anak yang makin membesar. Mereka sekarang sudah remaja. Dulu masa aku curang dan tinggalkan mereka, mereka baru berusia 7 dan 9 tahun.
Aku jumpa Erra semasa aku sibuk ke luar negara atas urusan kerja. Mula-mula kami berkawan. Lama-lama kami kerap bergayut dan perasaan cinta itu makin berputik.
Ketika berlaku curang. Shamsul *bukan nama sebenar tidak gembira dengan rumah tangganya. Beliau rimas untuk pulang ke rumah.
Malas betul nak pulang ke rumah. Isteri makin gemuk. Dia nampak sungguh serabut setiap kali aku balik rumah.
Aku rasa dia sudah tak sayangkan aku. Sebab itu dia tidak kisah pun nak melawa demi aku. Jadi aku cari jalan mudah. Aku curang.
Shamsul meyakinkan diri sendiri yang isteri tercinta itu tidak mahu lagi melayan kehendak dan keinginanya. Sepanjang si isteri sibuk menguruskan rumah dan anak-anak, Shamsul berfoya-foya di luar.
Setiap kali aku dengar isteri buka mulut, aku hanya dengar dia membebel saja. Tapi sebenarnya aku tak sedar yang dia sebenarnya hanya mahukan perhatian aku. Kami asyik bergaduh.
Kasih tidak kesampaian
Jadi aku angkat kaki. Aku tinggalkan isteri dan anak-anak aku. Aku pindah duduk dengan Erra. Mula-mula, memang semuanya indah.
Tapi, setelah beberapa lama, walau serapat mana pun kami, walau sehebat mana pun aksi di ranjang, tiba-tiba fasa “jatuh cinta” itu hilang.
Aku rindu rumah dan keluargaku. Aku rindu wanita yang membina rumah tangga aku. Aku paling rindu anak-anakku.
Kalaulah dari dulu aku menghargai isteriku, pasti dia juga akan kekal cantik dan berseri seperti Erra. Tapi aku yang salah. Aku tak pernah tunjuk kasih sayang aku padanya.
Sampai sekarang, isteri Shamsul pasrah dan giat membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal. Walaupun hak penjagaan anak diperoleh oleh isteri, namun dia tidak kekok untuk membenarkan Shamsul berjumpa anak-anak mereka.
Dia tak pernah minta duit lebih pada aku. Aku tinggalkan seorang wanita yang kuat dan tak mudah berputus asa. Hanya aku saja yang berputus asa dengan perkahwinan kami.
Akhirnya aku menyesal tidak sudah…
Selepas 8 tahun bercerai, akhirnya isteri aku menjumpai lelaki yang benar-benar menghargai dirinya, Haikal. Mereka berkahwin dan memulakan hidup baru.
Ketika ini baru aku rasa apa yang bekas isteri aku itu rasa. Aku rasa macam nak mati. Menyesal? Tak payah cakaplah! Aku sangat sangat sangat menyesal.
Jadi buat para suami isteri di luar sana. JANGAN JADI SEPERTI AKU. Hargai isteri kalian! Jangan mudah berputus asa dengan hubungan. Cuba sehabis baik!
Kepada para suami, jangan ambil mudah pada wanita yang berkorban segala-galanya pada anda itu. Dialah wanita istimewa yang membawa zuriat anda. Dia juga tulang belakang anda.
Hidup ini singkat saja. Tapi yang membuatkan ia cukup-cukup berharga adalah kerana kasih sayang. Jangan lupa kasih sayang yang pernah mengisi hati anda suami isteri.
Walaupun ada masalah dalam rumah tangga, berfikiran positif. Cuba sehabis mungkin.
Manusia ini tidak sempurna, namun perkahwinan bermaksud anda telah berjanji untuk komited bersama, berjuang bersama demi kebahagian keluarga anda. Laksanakan janji anda!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Menurut seorang perempuan simpanan, ini 10 tanda pasangan anda curang dalam diam