Koma akibat 'inflatable bouncer'
Alat tersebut telah dipasang oleh pekerja katering itu pada jam 3 petang. Namun, selepas setengah jam, anaknya terjatuh dan terhentak kepalanya di atas tar.
Sabtu lalu, 29 April 2017, kegembiraan seorang ibu bertukar menjadi duka apabila anak lelakinya terpaksa terbaring dan bertarung nyawa.
Syarul Ariel Rifqi Mohd Azriq, 5, terlantar koma selepas terjatuh ketika bermain ‘inflatable bouncer’ (pelantun boleh kembung) di rumahnya di Persiaran Sungai Gelugor, Georgetown.
Menurut ibu mangsa, Norsyaliza Yahaya, 32, anaknya kini terlantar koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Lam Wah Ee akibat terjatuh dari ketinggian hampir 10 meter ketika bermain ‘inflatable bouncer’ yang disewa dari sebuah syarikat katering.
Menurut Norsyaliza lagi, beliau menyewa alat tersebut untuk kanak-kanak bermain di sambutan hari jadi bapanya. Alat tersebut telah dipasang oleh pekerja katering itu pada jam 3 petang. Namun, selepas setengah jam, anaknya terjatuh dan terhentak kepalanya di atas tar.
Syarul Ariel Rifqi dikejarkan ke hospital dan doktor terpaksa melakukan pembedahan kerana terdapat darah beku di kepalanya. Selesai pembedahan pertama, doktor memaklumkan terdapat masalah kerana darah beku di bahagian kiri pula dan pembedahan kedua dilakukan. Dan Syarul Ariel Rifqi koma.
Ibu Syarul Ariel Rifqi kesal kerana kejadian tersebut terjadi akibat alat ‘inflatable bouncer’ yang telah dipasang terbalik oleh pekerja katering. Disebabkan itu, alat tersebut menjadi tidak stabil.
Apa yang anda perlu tahu tentang ‘inflatable bouncer’?
- Sekiranya anda memasang sendiri, pastikan anda membaca dan mengikut semua arahan yang diberikan
- Jika anda mengupah pihak luar, pastikan syarikat tersebut mempunyai insurans. Pekerja yang telah dilatih akan memasang serta memantau kanak-kanak yang bermain.
- Tidak ada undang-undang berkaitan ‘inflatable bouncer’ walaupun syarikat tersebut berdaftar insurans, jadi, ibu bapa harus memastikan alat tersebut telah selamat dipasang sebelum membenarkan anak-anak bermain.
Sekiranya dipasang di luar kawasan rumah:
- Alat ini mesti dipasang di atas permukaan yang rata dan sekata. Bebas batu, kayu atau objek terkeluar dari tanah seperti ‘sprinkler’.
- Jangan pasang alat ini berdekatan ranting kayu, laluan elektrik (wayar) atau pagar. Ia patut berada di kawasan terbuka.
- Jika ia dipasang di atas permukaan keras, letakkan alas yang lembut di pintu masuk dan keluar ‘inflatable bouncer’ itu.
- Pastikan ia telah dipasak dengan pasak besi yang telah ditenggelamkan ke dalam tanah (pastikan kanak-kanak tidak berada di keliling semasa melakukan ini).
Sekiranya dipasang di dalam rumah:
- Jauhkan dari dinding. Pastikan banyak ruang kosong di sekeliling ‘inflatable bouncer’.
- Pastikan ia jauh dari kipas, lampu dan barangan merbahaya.
- Letakkan alas lembut di pintu masuk dan keluar ‘inflatable bouncer’ itu.
Keselamatan menggunakan ‘inflatable bouncer’:
- Hanya kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke atas sahaja yang patut menggunakannya. Kanak-kanak lebih muda mungkin tidak mempunyai keseimbangan, koordinasi atau kekuatan untuk bermain di dalamnya.
- Pastikan sentiasa ada orang dewasa memantau. Jika di taman permainan dalam bangunan, pastikan mereka mempunyai pekerja yang memantau.
- Pastikan kanak-kanak membuka kasut, kaca mata dan alat perhiasan. Serta pastikan mereka kosongkan poket dari sebarang objek tajam.
- Tetapkan syarat sebelum bermain seperti tidak bergaduh, bergusti atau berkasar.
- Jika alat mula kurang udara, atau angin kencang, pastikan anak-anak keluar dari ‘inflatable bouncer’ dan berhenti bermain.
Ambil langkah berwaspada agar waktu gembira tidak menjadi waktu duka. Perkongsian ini agar kita sebagai ibu bapa lebih tahu apa langkah berjaga-jaga yang boleh di ambil. Semoga adik Syarul Ariel Rifqi cepat sedar dan sembuh.
Sumber: makesafehappen