Wanita Didenda Akibat Lempar Kucing Milik Jirannya Hingga Cedera Parah!
Berang kucing jiran selalu ceroboh masuk ke halaman rumah, wanita ini sanggup lempar kucing jirannya itu hingga mengalami kerosakan tisu!
Tahukah anda, kucing kesayangan nabi bernama Mueeza adalah seekor kucing yang paling Rasulullah SAW sayang? Ini kerana Mueeza akan mengiau ketika mendengar azan, seolah-olah mengikuti alunan yang berkumandang.
Sebab itu, Rasulullah SAW berpesan kepada sahabat supaya menyayangi kucing peliharaan seperti mana keluarga sendiri.
Namun berbeza pula dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini apabila seorang lelaki terkejut melihat rakaman CCTV di rumahnya yang menunjukkan aksi jirannya melempar anak kucing miliknya tanpa perasaan belas kasihan.
Insiden yang mengejutkan itu berlaku di England dan ia berpunca kerana kucing milik Kevin Yarham yang diberi nama Shadow itu kerap masuk ke halaman rumah jirannya sehingga membuatkan wanita itu marah.
Atas sebab itu, suspek April Hawes, 36 telah dihadapkan ke mahkamah majistret di Norfolk atas tuduhan melempar kucing peliharaan jirannya ini.
Mengaku bersalah lempar kucing
Selama mahkamah bersidang, suspek mengaku bersalah kerana menyebabkan kecederaan dan penyeksaan terhadap haiwan tersebut pada awal perbicaraan lagi.
Rakaman video yang tular itu menunjukkan Hawes berjalan sambil membawa kucing tersebut lalu menjerit di hadapan rumah Kevin supaya dia dan isterinya dengar.
Walau bagaimanapun, menurut Hawes, dia tidak berniat langsung untuk mencederakan anak kucing tersebut dan apa yang berlaku di luar kewarasan fikirannya. Namun begitu, Shadow menderita kerosakan tisu dan takut untuk mendampingi wanita.
Atas sebab itu juga, mahkamah telah menetapkan Hawes perlu menjalani kerja komuniti selama 12 bulan dan 30 aktiviti pemulihan. Selain itu, dia diarahkan membayar denda sebanyak RM 443.
Kucing kesayangan nabi
Rasulullah SAW pernah mengatakan kucing itu seekor haiwan yang suci dan tiada najis. Ini kerana, pada kulit kucing terdapat otot yang berfungsi untuk menolak telur bakteria dan ia dapat menyesuaikan dengan sentuhan otot manusia.
Manakala permukaan lidah kucing pula ditutupi dengan bonjolan kecil yang runcing dan mengerucut seperti kikir atau gergaji. Bentuk ini berguna untuk bersihkan kulitnya. Sebab itu, ketika kucing minum, tidak ada setitik cecair yang jatuh daripada lidahnya.
Malah lidah kucing merupakan alat pembersih paling canggih kerana ia boleh membuang bulu yang mati dan membersihkan bulu yang tersisa di badannya. Sebab itu, kucing suka jilat badannya sendiri sebagai tanda membersihkan bulunya.
Menurut Dr. George Maqshud, Ketua Makmal di Hospital Haiwan Baitharah, jarang sekali ditemui bakteria pada lidah kucing namun jika bakteria ini ada, kucing akan sakit. Malah, kucing juga memiliki peranti pembersih yang bernama lysozyme.
Selain itu, kucing juga sangat menjaga kestabilan suhu badannya dan tidak suka berjemur atau duduk berdekatan dengan air. Tujuannya supaya bakteria tidak berpindah kepadanya.
Lebih mengejutkan, menurut hasil kajian yang dilakukan di makmal haiwan, didapati badan kucing lebih bersih secara keseluruhannya berbanding tubuh manusia.
Menurut sejarah, haiwan ini telah hidup sejak zaman Firaun lagi kira-kira 5000 tahun yang lalu dan dikatakan ia pernah hidup di istana Firaun.
Sebagai manusia, kita mempunyai akal dan fikiran, dan seharusnya menjaga dan menyayangi haiwan peliharaan ini. Jika anda takut atau tidak suka mendekati haiwan ini, jangan sesekali menyeksa atau membunuh mereka. Ingat ia seolah-olah sama seperti anda menganiaya saudara sendiri.
Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Borak Daily, Al Raudhah
Baca juga:
Kasih Ibu Kucing Yang Tak Ternilai, Sanggup Redah Api 5 Kali Selamatkan Anaknya…