Lari dari rumah - cabaran untuk ibubapa

undefined

Tidak dapat dibayangkan apa yang ada dalam fikiran anak-anak ini sehingga mereka sanggup lari dari rumah, meninggalkan ibubapa yang telah menjaga mereka dengan susah payah sejak lahir. Pada dasar yang sama, seorang anak tidak akan sanggup melakukannya tanpa sebab yang kukuh, walaupun mungkin dipandang remeh.

lari dari rumah

Punca

Punca remaja lari dari rumah tidak boleh diagak-agak kerana jika salah agakan, apa jua saranan tidak akan dapat menyelesaikannya.

Melalui kajian yang dilakukan terhadap 379 remaja yang lari dari rumah pada akhir tahun 2011 oleh Pengarah Insitut Sosial Malaysia (ISM), Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din, sebahagian besar meletakkan tekanan sebagai faktor utama. Faktor-faktor lain termasuk pengaruh kawan, inginkan kebebasan, bergaduh dengan keluarga, kebosanan dan kekurangan kasih sayang.

Menurut statistik polis pula bagi tempoh 2010 hingga Jun 2012, pengaruh kawan merupakan faktor utama, manakala cinta merupakan faktor kedua tertinggi mereka yang berumur 17 tahun ke bawah. Dua faktor utama lainnya termasuk mencari kebebasan dan perselisihan dengan ahli keluarga manakala umur termuda melibatkan kanak-kanak berusia 8 tahun.

Usia kritikal

Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) meletakkan usia 11 hingga 18 tahun sebagai usia kritikal.

Dalam usia ini, anak-anak mula bertukar fasa kepada remaja dan mula mencari identiti mereka. Ini kadangkala membangkitkan konflik dalaman dan luaran serta menjadi punca anak-anak memberontak akibat daripada perubahan sistem pemikiran yang masih kurang matang.

Dalam usia ini jugalah mereka sebenarnya memerlukan sokongan emosi dan jika merasa tidak cuba difahami, mereka menjadi tertekan. Oleh itu Sarada Devi mengingatkan ibubapa untuk tidak cepat menyalahkan mereka jika berlaku kesilapan.

lari dari rumah

Sokongan emosi dan institusi keluarga

Tidak dinafikan kes-kes anak lari dari rumah berpunca daripada pelbagai sebab dan sumber. Namun seseorang anak itu dilahirkan secara fitrah dan ibubapalah yang mencorakkan mereka. Justeru, tidak dapat tidak, fokus terpaksa dikembalikan kepada institusi keluarga, sama ada daripada sudut fizikal mahupun emosi.

Dalam hal ini Sarada Devi mengingatkan ibubapa untuk sentiasa mengambil berat tentang anak-anak, terutama tentang keperluan sokongan emosi yang konsisten, melebihi keperluan material. Jika sokongan ini tidak dapat diperoleh di rumah, maka tidak hairanlah anak-anak mencarinya di luar. Ini menyebabkan anak-anak merasa terabai, tidak mendapat kasih sayang dan memberi ruang mereka mengisi kekosongan dari sumber di luar institusi keluarga.

Sarada Devi juga menyarankan agar ibubapa tahu membezakan pendidikan kanak-kanak dan remaja. Antara lain, beliau menyarankan ibubapa mengamalkan sikap memaafkan serta memantapkan pendidikan agama anak-anak. Selain itu, komunikasi berkesan dan meluangkan masa berkualiti bersama mereka juga penting untuk diamalkan.

Klik page 2 untuk mengetahui akibat serta bantuan bagi isu ini. 

lari dari rumah

Akibat

Masalah yang timbul akibat lari dari rumah sebenarnya sangat serius. Anak-anak akan lebih cenderung kepada penyalahgunaan bahan, merokok, pengambilan alkohol dan penyalahgunaan dadah. Mereka juga mudah terperangkap dengan masalah-masalah lain seperti jenayah dan pelacuran kerana menjadi bebas tanpa konkongan sesiapa termasuk ibubapa.

Lebih membimbangkan lagi mereka juga boleh terlibat dengan komplikasi penyakit jika terlibat dengan masalah yang disebutkan di atas seperti penyakit kelamin dan kehamilan di luar perkahwinan. Jika anak-anak tidak dapat menanganinya dengan baik, mereka mungkin cenderung menghadapi masalah dari sudut psikologi seperti kemurungan, tekanan, kecelaruan tingkah laku, mencederakan diri sendiri dan cubaan membunuh diri.

Anak ingin larikan diri?

Jika anak-anak pernah menyatakan hasrat untuk lari dari rumah, ambillah masa untuk berbicara dari hati ke hati. Tanyakan jika dia merasa tertekan atau sedang menghadapi masalah. Jangan sesekali mengambil mudah atau mengabaikan kata-kata mereka atau menganggap mereka hanya ingin memanipulasi anda.

Namun, ibubapa juga tidak harus terus mengalah dan membiarkan anak-anak mengawal keadaan. Tumpukan perhatian kepada isu sebenar dan keperluan mereka dan bukan kepada menghalang mereka lari dari rumah.

Ada juga ibubapa yang cuba menggunakan ‘reverse psychology’ dengan membantu anak-anak mengemas baju atau mengucapkan ‘selamat’ terhadap hasrat mereka untuk lari. Hati-hati dengan kaedah ini kerana ia boleh meningkatkan rasa tidak percaya dan diketepikan dalam diri anak-anak.

Bantuan

Jika anda mengesyaki anak anda melarikan diri, jangan panik. Hubungi rakan baik anak-anak atau ahli keluarga yang rapat dengan mereka kerana anak-anak biasanya mencari tempat yang dirasakan selamat dan selesa.

Jika tidak berjaya mengesan mereka di sana, adukan kepada pihak polis, pihak sekolah, ahli keluarga dan rakan rapat anda. Bersedialah untuk disoal siasat oleh pihak polis dan memberikan maklumat yang diperlukan.

Rujukan:

Running away from home
Kes remaja lari dari rumah kian membimbangkan
Cinta punca ramai gadis laru dari rumah
Pulanglah beraya
Jadilah teman rapat anak anda
Masalah Lari Dari Rumah Di Kalangan Remaja

Kongsikan pandangan anda tentang isu anak-anak yang lari dari rumah di ruangan komen di bawah.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!