Latchkey kid - bersediakah kita?

lead image

Fenomena latchkey kid bukan kebiasaan masyarakat Malaysia. Namun trend ini semakin meluas, terutama bagi mereka yang tinggal di ibu kota.

Fenomena ‘latchkey kid’ agak jarang dibincangkan kerana ia bukan kebiasaan masyarakat Malaysia. Namun trend ini semakin meluas, sedar atau tidak, terutama bagi mereka yang tinggal di ibu kota.

‘Latchkey kid’?

Latchkey kid’ merujuk kepada mereka yang ditinggalkan sendirian di rumah tanpa ibubapa atau penjaga dalam jangkamasa tertentu.

Terma ini dahulunya diberikan kepada anak-anak yang sendirian di rumah dalam Perang Dunia Kedua (WWII) kerana para bapa pergi berperang sementara para ibu keluar bekerja dalam industri pembuatan alatan dan keperluan perang. Anak-anak akan pulang ke rumah sendirian bersama kunci yang diikat pada rantai atau riben yang disarung pada leher mereka.

latchkey kid

‘Latchkey kid’ zaman ini

Biarpun perang telah lama berakhir, fenomena ‘latchkey kid’ kelihatan semakin terzahir di zaman moden ini. Tiada statistik berkaitannya di Malaysia, mari ambil pengajaran daripada statistik di Amerika Syarikat.

Kajian yang dijalankan oleh Biro Bancian US pada tahun 2011 menunjukkan 50.2% daripada 40.5 juta kanak-kanak berusia 5 – 14 tahun berada di rumah sendirian (11.1%) atau kekal di sekolah (39.1%).

Adakah keadaan ini berpunca daripada situasi kehidupan mereka?

  • 34.3% daripada mereka datang dari ibubapa yang telah bercerai atau berpisah, berbanding 37.3% yang mempunyai keduanya.
  • 35.3% berada di bawah aras kemiskinan berbanding 34.1% di atas aras kemiskinan.
  • 45.8% ibubapa atau salah seorang bekerja separuh masa berbanding 37.7% bekerja sepenuh masa.

Ini menunjukkan fenomena ini ujud dalam apa jua keadaan kehidupan di segenap lapisan masyarakat kini.

Situasi Malaysia

Satu laporan tentang anak-anak yang menghubungi talian Childline Malaysia yang dikeluarkan oleh NST pada Disember, 2011 boleh dirujuk.

Daripada 5,127 panggilan yang diterima sejak ia mula dilancarkan , sebanyak 2,044 panggilan adalah daripada kanak-kanak yang kebosanan, bersendirian, tertekan dan mempunyai keinginan untuk membunuh diri. Lebih mengejutkan panggilan sebegini juga datang daripada anak-anak semuda 4 tahun dan kebanyakan daripada mereka adalah anak-anak ‘latchkey’.

Laporan ini mengukuhkan lagi dapatan Kementerian Kesihatan Malaysia tentang morbiditi psikiatri di kalangan kanak-kanak 5 – 15 tahun yang meningkat daripada 13% kepada 20.3% dalam masa 10 tahun.

Anak-anak ‘latchkey’ dan salahlaku

Sedar ataupun tidak, fenomena ini terkait dengan umur pelaku kesalahan yang semakin hari semakin rendah.

Menurut Malaysian Child Resource Institute (MCRI), kanak-kanak seusia mereka paling mudah dipengaruhi, apatah lagi tanpa pengawasan sesiapa. Pandangan ini dikeluarkan berikutan kes pecah rumah yang melibatkan kanak-kanak berusia 7 tahun di Sabah pada tahun 2011.

Ini dikukuhkan lagi dengan laporan Malaysian Crime Prevention Foundation (MCPF) yang mengulas bahawa kes kecurian motor oleh anak-anak berusia 12 tahun adalah agak biasa.

latchkey kid

Panduan meninggalkan anak-anak sendirian

Biarpun ia bukanlah sesuatu yang dibanggakan, namun desakan kehidupan menjadi antara sebab ia tidak dapat dielakkan. Juga, tidak semestinya kehidupan ‘latchkey kid’ akan berakhir dengan tragedi.

Editor kami sendiri, Puan Nisa Abdul, merupakan anak ‘latchkey’. Seawal usia 7 tahun beliau akan duduk di McDonald selepas waktu sekolah sehingga dijemput pulang. Mencapai usia 10 tahun beliau diberikan kunci untuk pulang sendiri ke rumah selepas sekolah. Namun, tidak pula beliau terlibat dengan kes salahlaku atau berada dalam keadaan yang menyedihkan apabila dewasa. Semuanya hasil daripada kasih-sayang dan asuhan yang diterima secukupnya, walaupun kedua ibubapa bekerja.

Bagi ibubapa yang terpaksa meninggalkan anak-anak, kami bawakan beberapa panduan yang harus diikuti bagi memastikan keselamatan mereka.

Bilakah masanya?

Tanya pada diri, adakah anak-anak sudah cukup matang untuk ditinggalkan sendirian. Prevent Child Abuse, Indiana menyediakan risalah berkaitan. Antara persoalan yang harus ditimbangkan termasuk:

  1. Adakah anak-anak cukup matang?
  2. Bolehkah anak-anak menangani ketakutan, kesunyian dan kebosanan?
  3. Adakah mana-mana orang dewasa yang bertanggungjawab tinggal berhampiran?
  4. Adakah anak-anak mengetahui apa yang perlu dilakukan ketika kecemasan?
  5. Adakah anak-anak telah tahu melakukan tugasan harian di rumah?
  6. Adakah anak-anak sering menyelesaikan masalah tanpa bantuan?
  7. Jika anak-anak akan berada bersama adik-beradik, adakah mereka tahu meleraikan konflik sesama mereka?
  8. Adakah anak-anak selesa dengan ide untuk tinggal di rumah sendirian?

Keperluan keselamatan

American Medical Response (AMR) menggariskan panduan keselamatan bagi anak-anak sendirian di rumah:

  1. Periksa risiko keselamatan rumah secara menyeluruh dan ajar anak-anak bagaimana mengelakkan risiko.
  2. Tampal nombor-nombor kecemasan dekat dengan telefon rumah. Ajarkan anak-anak tentang bila dan bagaimana untuk menggunakan nombor-nombor tersebut.
  3. Pastikan anak-anak tahu nama penuh mereka, alamat rumah, nombor telefon rumah serta nama penuh, tempat kerja dan nombor anda di tempat kerja.
  4. Sediakan kit pertolongan cemas dan ajarkan cara menggunakannya.
  5. Ujudkan dan praktis pelan menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran.
  6. Tentukan jalan yang perlu diambil untuk pergi dan pulang dari sekolah. Jika boleh, pastikan mereka tidak akan berjalan sendirian. Biasakan mereka untuk terus pulang ke rumah tanpa singgah di mana-mana.
  7. Pastikan anda punyai sistem memeriksa sama ada anak-anak selamat berada di rumah atau tidak dan tetapkan orang dewasa lain yang dapat memeriksa mereka jika anda tidak dapat melakukannya.
  8. Bincang dan praktis bagaimana anak-anak harus respon kepada orang yang tidak dikenali, mengelakkan diri dan melaporkan kepada orang dewasa yang dikenali jika cuba didekati.
  9. Elakkan anak-anak membawa barang-barang yang mempunyai nama mereka. Pastikan kunci tidak dilengkapi dengan alamat rumah.

 Rujukan:

Latch key children
Who’s Minding The Kids? Childcare Arrangement – Spring 2011.
Cry for help
Latchkey kids, young criminals
When is it okay for your child to be Home Alone?
Protect Latchkey Kid by Planning For Safety.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!