LynLee Hope – Bayi Istimewa Yang Dilahirkan ke Dunia Sebanyak Dua Kali!

Seorang bayi istimewa dilahirkan ke dunia sebanyak dua kali. Dia dikeluarkan buat sementara dari rahim bagi membuang tumor dan kemudian dimasukkan semula ke dalam perut ibunya bagi meneruskan kehidupan dalam rahim sebelum dilahirkan buat kali kedua.

Anda pernah mendengar berita sebegini? Seorang bayi yang dikeluarkan dari rahim buat seketika untuk dibedah, dimasukkan semula ke dalam untuk meneruskan usia dalam kandungan ibu, dan dilahirkan semula apabila cukup tempoh 9 bulan? Ia pernah berlaku.

Margaret Boemer, seorang ibu kepada dua orang anak, mendapat berita gembira yang dia hamil dengan anak ketiga, seorang bayi perempuan.

Bayi LynLee Mengalami Tumor di Bahagian Pinggul

Namun, apabila usia bayinya, yang telah diberi nama LynLee Hope, mencecah 16 minggu, doktor mendapati ada sesuatu yang luar biasa pada dirinya – si kecil itu mengalami tumor yang dipanggil sacrococcygeal teratoma.

Ia merupakan sejenis tumor yang berlaku di kalangan bayi pada bahagian tulang pinggul. Menurut kajian, tumor ini sering berlaku pada bayi perempuan, berbanding bayi lelaki.

tumor lynlee hope

Source: Cnn.com

Walaupun kebanyakkan kes tumor sebegini adalah tidak berbahaya, namun ia boleh terus membesar dan memberi kesan negatif kepada bayi di dalam rahim.

Pembedahan Janin Dijalankan Pada Bayi LynLee Bagi Membuang Tumor

Menurut Dr. Darrel Cass, dari Hospital Kanak-Kanak Texas, jika tumor ini tidak dibendung, ia boleh menyebabkan masalah pengaliran darah dalam bayi.

“Dalam beberapa kes, tumor ini akan bersaing dengan bayi dalam mendapatkan bekalan darah, menyebabkan jantung bayi tidak dapat melawan dan mengalami kegagalan jantung. Bayi boleh mati!”

Ada doktor yang meminta Margaret untuk tidak meneruskan kandungan dan menggugurkan bayinya, tetapi Dr. Darrel dan pasukannya memberikan alternatif: pembedahan janin.

Jadi pada usia lebih kurang 23 minggu, Dr. Cass menjalankan pembedahan pada LynLee. Pada waktu ini, dilaporkan bahawa tumor tersebut sudah menjadi sebesar badannya!

fetal surgery baby who was born twice

Source: Cnn.com

Apa yang terjadi semasa pembedahan selama 5 jam itu adalah, perut Margaret dibedah dan LynLee dikeluarkan buat sementara dari rahim.

Dalam keadaannya yang ‘bergantungan di udara’ dan cecair amniotik yang sedikit tertumpah, para doktor bedah membuang tumor pada LynLee.

Keadaan jantungnya terhenti seketika ketika pembedahan namun berjaya dikawal. Semasa pembedahan itu juga, pasukan doktor bedah tersebut terus menyalurkan semula cecair ke dalam ketuban.

Malah, sepanjang proses pembedahan tersebut, bayi LynLee terus berhubung dengan plasenta dan tali pusatnya. Maka, dia masih mendapat bekalan oksigen dan nutrien makanan seperti biasa.

Bayi Dimasukkan Semula ke Rahim Ibu

Selepas tumor tersebut dibuang, bayi LynLee dimasukkan semula ke dalam rahim Margaret dan perutnya dijahit semula.

Margaret meneruskan saki baki proses mengandung dengan berehat. Apabila bayi LynLee berusia 36 minggu, dia dilahirkan semula menerusi pembedahan c-seksyen dengan seberat 2.26kg.

https://www.facebook.com/SeekerMedia/videos/vb.107124643386/10154393202658387/?type=2&theater

Pada usia 8 hari selepas kelahiran, dia menjalani lagi satu pembedahan bagi membuang bahagian tumor yang tidak dapat dicapai sewaktu pembedahannya yang pertama dahulu.

Ia Satu Keajaiban Perubatan – LynLee Dilahirkan Semula dan Membesar Dengan Sihat

Apa yang berlaku kepada Margaret dan bayi LynLee boleh dianggap sebagai satu keajaiban perubatan, hasil usaha sepasukan doktor bedah dari Hospital Kanak-Kanak Texas.

Hari ini, apabila si ibu ini melihat sahaja anaknya yang sudah pun membesar sihat (kini dia berumur 7 tahun!), dia pasti akan tersenyum.

Baginya, anaknya adalah sangat istimewa dan setiap kesakitan yang dialami ketika mengandung dan melahirkan bayi LynLee Hope dahulu adalah sangat berbaloi!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!