Anak Tiba-Tiba Diam & Tiada Suara, Ibu Berteriak Mainan Viral Terbelit Pada Leher

Mainan viral lato-lato semakin mendapat perhatian di negara kita. Walau bagaimanapun ia dianggap bahaya kerana boleh mengundang kecederaan

Kanak-kanak zaman kini terdedah dengan pelbagai mainan viral di media sosial hingga ia menjadi suatu trend. Oleh kerana rasa seronok, mainan lato-lato dijual secara meluas dan ramai anak kecil menyukainya.

Sebenarnya mainan lato lato berasal dari negara jiran, Indonesia. Ia adalah permainan tradisional yang hadir kembali di pasaran mencetuskan fenomena.

Tragedi mainan viral lato lato

lato-lato bahaya

Biarpun ada yang mengatakan mainan viral ini ada manfaat tersendiri untuk perkembangan kanak-kanak, seorang ibu, Zulaihah Abd Mutalib berkongsi pengalaman pahit yang dialami anaknya.

Dari sebuah mainan bertukar tragedi. Betullah bila anak tiba-tiba tiada suara, baik ibu pergi periksa

Pertama tak aku perasan pun di lehernya,tapi hatiku tetap rasa tak sedap, muka Ayaan diam, tenang sahaja dan pelik jarinya macam cuba menarik sesuatu yang ada pada leher.

Kemudian dia geleng-gelengkan kepala. Kakak-kakaknya pula semua sibuk dengan buku cerita mereka. Berteriak aku panggil semua minta tolong tengokkan adik kenapa.

Maka kakaknya menjerit dan panik memanggil nama ku ”Mama! tali tersangkut pada leher Ayaan! Terkejut aku waktu itu.

Berteriak, panik, huru hara kakaknya mencari gunting. Memang tak boleh bayangkan mainan viral ini boleh terbelit talinya di leher anak aku.

Aku cuba buka tali itu. Punyalah payah sebab dah terbelit. Sumpah perasaan masa ini bercampur baur. Semua hal, marah betul aku si kakaknya lambat mencari gunting.

Nasib baiklah aku teringat ada pemotong kuku pada kunci kereta. Jadi aku potong dan terus buang mainan viral tu!

Andai waktu itu aku masih sibuk berada di dapur dan kemas semua stok, entah apa yang akan jadi. Kakak-kakak automatik terus jadi solehah. Peluk adiknya, buatkan susu dan segala hal.

Inilah anakku yang paling bongsu dan hanya satu-satunya anak lelaki. Cuma mahu pesan, simpanlah

Perkongsian tersebut telah menjadi viral baru-baru ini dan ada juga ibu lain meminta agar lebih cakna.

Tidak kira lah apa mainan yang trending, kita sebagai orang tua mesti cakna. Kalau tengok ada unsur-unsur tidak selamat, janganlah terlalu ikutkan sahaja perminta anak kecil. Mereka kalau boleh, tong drum pun nak main golek-golek.

Kalau anak di bawah umur 8 tahun jangan bagi lah mainan viral ini. Bukan apa saya yang usia 30-an ini kadangan selalu juga main lato-lato (pinjam yang anak). Tiap kali main mesti rasa sakit dekat jari sebabkan talinya. Dan bola kecil bila kena tulang tangan pun sakit. Tapi bila sudah pandai main, ia memang seronok.

Doktor nasihatkan ibu ayah pastikan anak bermain cara yang selamat

mainan lato lato

Permainan lato-lato ini boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak kerana boleh mencederakan bahagian mata, gigi atau hidung seperti perkongsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Facebooknya.

Kebelakangan ni selalu nampak video permainan yang dipanggil lato-lato ni. Awalnya nampak video kebanyakan dari Indonesia. Sekarang dah masuk Malaysia. Mana saya tahu?

Sebab minggu ni dah ada satu kes datang ke klinik saya sebab kecederaan akibat main lato-lato. Seorang kanak-kanak telah bengkak dan lebam teruk di batang hidungnya terkena pemberat lato-lato.

Lato-lato ni ada dua (ladung)pemberat, dan diikat dengan tali. Cara bermainnya melibatkan pemain menghayung kedua-dua pemberat ini agar ia bertembung antara satu sama lain, di bawah dan di atas tangan. Lagi laju ia dihayun, dianggap lagi hebat.

Maka, jika silap hayun, ada risiko ladung tak bertembung sesama sendiri, lalu terkena anggota tubuh. Ada lato-lato yang ladungnya tu agak berat, jadi jika kena muka agak berbahaya. Terutamanya jika melibatkan mata, gigi atau hidung.

Tidak salah untuk main lato-lato. Ia boleh meningkatkan koordinasi tangan. Cuma, perlulah berhati-hati semasa bermain. Ibubapa perlu pastikan anak bermain cara yang selamat. Jika boleh pesan agar:

1. Tidak menghayun lato-lato separas atau berhampiran muka. Hayun rendah atau jauh ke hadapan sedikit.

2. Tidak bermain terlalu dekat dengan orang lain, atau di tempat orang lalu lalang. Bimbang terkena orang.

3. Tidak menghayun atau mencampak lato-lato ke arah orang lain. Kena tegah dengan tegas hal ini.

4. Berhati-hati dengan tali lato-lato. Memandangkan ia dililit pada jari, maka jangan sampai terjerut pula.

Sepertimana yoyo, gasing, kendama atau apa-apa permainan yang mempunyai pemberat yang dihayun, lato-lato mempunyai potensi menyebabkan kecederaan. Maka ibu bapa perlu memantau anak-anak bila bermain.

Negara yang mengharamkan lato lato

anak budak main lato lato

1. Amerika Syarikat

Di negara asalnya, lato-lato menimbulkan kemudaratan. Permainan ini menyebabkan kecederaan kepada sebilangan kanak-kanak yang bermain.

Akibatnya, memetik Quartz, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) telah mengharamkan pengedaran mainan viral ini sejak 1966.

2. England

Bukan sahaja di AS, permainan viral ini juga dilarang di England. Sebabnya, ia mengeluarkan bunyi yang sangat mengganggu keselesaan orang sekeliling.

Memetik laman web Clover Cloud, lato-lato telah mencederakan kanak-kanak di England kerana bahannya yang hanya boleh meletup apabila ia pecah. Bukan itu sahaja, ada kes kanak-kanak  mengalami patah tulang akibat lato-lato.

Seiring dengan kemunculan larangan memainkannya, akhirnya masyarakat Inggeris perlahan-lahan melupakan lato-lato. Sebilangan pengeluar lato-lato di England terpaksa gulung tikar.

3. Mesir

Mesir juga merupakan negara yang melarang bermain lato-lato. Larangan dikeluarkan pada 2017 kerana permainan itu dianggap menghina Presiden Mesir Abdul Fattah El-Sisi.

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga: Kapal Terbang Mainan Terbaik, Jom Lihat 9 Pilihan Toys Plane Untuk Dijadikan Hadiah Kepada Si Kecil

Baca juga: Bersaiz Kecil & Mirip Seperti Mainan, Ibu Waspada Penjualan Tiger Pod Yang Makin Berleluasa

Baca juga: 10 Jenis Mainan Yang Dapat Jadi Terapi Anak Bercakap, Bantu Atasi Masalah Speech Delay

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!