Awas Ibu, Makanan-Makanan Ini Boleh Menyebabkan Anak Tercekik Atau Alahan!

undefined

Kadang kala sebagai ibu bapa kita terlalu teruja untuk memperkenalkan makanan yang sedap-sedap kepada bayi yang baharu mula makan makanan pejal. Sebenarnya terdapat beberapa jenis makanan yang dilarang untuk bayi dibawah umur 1 Tahun

Ibu mana yang tidak teruja apabila bayi anda mula menunjuk minta untuk makan? Mulalah nanti ibu akan sibuk membeli keperluan baru di dapur termasuk bekas makanan, blender, sudu, dan macam-macam lagi. Ibu juga akan sibuk mencari resepi untuk dicuba, namun tahukah anda sebenarnya ada makanan yang dilarang untuk bayi bawah 1 tahun?

Memperkenalkan makanan pejal pada bayi anda adalah salah satu langkah paling besar dalam hidup mereka.

Oleh sebab mereka sangat mudah curiga dan ingin belajar tentang dunia, bayi anda pasti ada tabiat yang mana mereka akan memasukkan apa sahaja ke dalam mulut mereka.

Jadi ibu bapa perlu sentiasa berjaga-jaga dengan apa yang mereka makan, kerana ada sesetengah makanan boleh menyebabkan bayi tercekik, alergi, isu sistem pencernaan dan lain-lain lagi.

Kami di theAsianparent sediakan senarai beberapa makanan yang dilarang untuk bayi bawah 1 tahun untuk kemudahan anda.

10 Makanan Yang Dilarang Untuk Bayi Bawah 1 Tahun

1# Madu

makanan yang dilarang untuk bayi

Kredit: Pexels

Pakar kanak-kanak semua bersetuju bahawa madu tidak boleh diberi kepada bayi di bawah umur 1 1/2 tahun, disebabkan spora Clostridium botulinum yang mungkin hadir dalam madu.

Spora bakteria ini tidak akan bercambah dalam sistem pencernaan orang dewasa, tetapi boleh berkembang dalam usus bayi yang tidak matang. Spora bakteria ini biasa hadir di dalam tanah dan pelbagai makanan, terutamanya makanan mentah.

Walaupun kes-kes botulism bayi jarang berlaku, ia adalah lebih selamat untuk memberi madu kepada kanak-kanak yang lebih besar dan dalam kuantiti yang kecil.

Di Malaysia, madu Manuka adalah pilihan popular antara ibu-ibu oleh kerana agen antibakterialnya. Semakin tinggi kadar ukur UMF dan MGO, semakin tinggi agen antibakterial dalam madu Manuka itu. Ibu-ibu biasanya akan memberi madu apabila anak selesema atau batuk-batuk. 

Secara umumnya, dos yang selamat adalah: ½ sudu teh madu untuk setiap 11 kg berat badan kanak-kanak yang berumur 2-5 tahun.

2#  Susu segar dan susu penuh krim

makanan yang dilarang untuk bayi

Susu Segar dan susu penuh krim tidak patut diberi sebagai pengganti susu ibu atau formula sehingga anak berusia 1 tahun. Komponen dan nutrien dalam susu lembu tidak cukup untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi yang sihat. Protein yang terdapat dalam susu lembu juga sukar untuk dihadamkan perut bayi dibawah umur 1 tahun, tetapi yogurt dan keju dikecualikan kerana mereka diperbuat dari susu kultur.

3# Buah-buahan Sitrus

makanan yang dilarang untuk bayi

Kredit: Pexels

Buah-buahan sitrus sebenarnya sangat berasid. Bayi di bawah usia 12 bulan yang sensitif terhadap buah sitrus boleh mengalami ruam dan sakit perut. Asid dari buah-buahan sitrus boleh menganggu sistem gastro-usus dan salur penghadaman bayi yang belum matang.

4# Buah Strawberi, Kerang-kerangan, Kacang tanah

makanan yang dilarang untuk bayi

Kredit: Pexels

Strawberi, kerang-kerangan, dan juga kacang tanah adalah makanan yang boleh menyebabkan reaksi alahan teruk sehingga mengancam nyawa anak.

Simptom alahan makanan termasuklah:

  • tekak sesak
  • gatal-gatal atau kesemutan di dalam mulut
  • ruam kulit, seperti gatal-gatal atau ekzema
  • kulit gatal
  • berdehit
  • batuk
  • kesesakan
  • loya
  • sakit perut
  • muntah
  • cirit-birit
  • pening

Siasat dahulu sejarah alahan dalam keluarga anda dan rujuklah pakar kanak-kanak, sebelum memberi anak makanan yang beralergen tinggi.

5# Makanan Bayi Yang Mengandungi Brokoli

makanan yang dilarang untuk bayi

Sesetengah ibu mungkin suka memilih brokoli kerana ia senang digengam tangan bayi. Ia juga senang dipuri dengan blender tangan.

Tapi tahukah anda jika sayur brokoli dimakan dalam kuantiti yang banyak, ia boleh menyebabkan perut kembung yang sakit dan bergas?

Sebenarnya kesan sampingan sayur ini tidaklah terlalu teruk, cuma ia mungkin bukan sayur yang sesuai untuk bayi yang baru mula makanan pejal.

Namun demikian apabila bayi sudah lebih besar, sedikit boleh dicampur dengan makanan lain sebab sayur brokoli adalah sumber terbaik vitamin K, vitamin C, kromium dan folat.

Apabila memasak brokoli untuk bayi anda, gunakan bahagian berbunga(florets) sahaja. Sesetengah orang mendapati bahawa dengan memakan batang brokoli, perut mereka akan lebih kembung berbanding dengan apabila mereka hanya memakan bahagian florets sahaja.

Jadi masaklah bahagian florets sahaja untuk bayi anda, ianya jauh lebih berkhasiat dari batangnya!

6# Garam dan gula

makanan yang dilarang untuk bayi

Bayi memang tidak digalakkan untuk mengambil garam atau gula dalam makanan mereka kerana ia boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang. Kami faham anda ingin makanan untuk anak ada sedikit perisa, namun anda juga perlu ingat bahawa lidah mereka juga masih sensitif dengan perisa kuat.

Jangan tambah garam dalam mana-mana makanan mereka termasuk air rebusan pasta, dan elak gunakan kiub pati ayam, stok ayam atau kuah ready made kerana produk ini mengandungi garam yang tinggi.

Jika anda ingin ada sedikit perisa, lebih baik untuk buat stok sendiri. Bukan sahaja lebih menjimatkan, malah lebih sihat!

Bagi ibu-ibu yang sibuk bekerja, jika anda ingin memasak sekaligus untuk seisi keluarga, pastikan anda meletak garam atau gula dalam masakan HANYA selepas anda asingkan makanan untuk bayi. Sebagai contoh, jika anda memasak sup ayam untuk makan tengah hari, asingkan bahagian makanan untuk anak terlebih dahulu dalam mangkuk.

Kemudian barulah anda letak serbuk perasa, garam dan gula untuk santapan keluarga. Malah ada juga beberapa makanan masin yang anda perlu elak memberi pada bayi iaitu:

  • makanan ringan 
  • biskut
  • makanan segera
  • makanan ready made
  • hot dog

7# Keju

makanan yang dilarang untuk bayi

Keju antara pemakanan sihat dan seimbang untuk bayi dan anak kecil kerana ia membekalkan kalsium, protein dan vitamin. Bayi amat digalakkan untuk makan keju lemak penuh seperti mild cheddar cheese, cottage cheese dan cream cheese bermula usia 6 bulan.

Namun mereka amat tidak digalakkan untuk makan keju lembut berkulat seperti brie, camembert, keju susu kambing atau keju biru. Ini kerana keju-keju ini mungkin mengandungi bakteria dikenali sebagai listeria kerana ia diperbuat daripada susu tidak pasteur.

8# Telur tidak masak atau separuh masak

Awas Ibu, Makanan-Makanan Ini Boleh Menyebabkan Anak Tercekik Atau Alahan!

Kredit: Pexels

Anak boleh mula makan telur sebenarnya bermula pada usia 6 bulan. Namun begitu ada sesetengah bayi alah pada telur. Ini kerana kandungan protein tinggi dalam telur putih. Kebanyakan bayi akan alami alahan ini sehingga mereka berusia 5 tahun, barulah mereka dapat makan tanpa ada sebarang reaksi alahan.

Kami cadangkan untuk anda cuba berikan telur selama 4 hari berturut-turut pada anak anda untuk lihat sama ada dia ada sebarang alahan. Jika ada perubahan warna pada kulit atau tumbuh ruam, segera ke klinik untuk dapatkan rawatan.

Tetapi jika anda lihat anak baik sahaja selepas makan telur, anda boleh terus memberikan padanya.

9# Sayur tidak dimasak

Awas Ibu, Makanan-Makanan Ini Boleh Menyebabkan Anak Tercekik Atau Alahan!

Pexels

Sayur-sayuran keras seperti lobak atau kacang panjang mempunyai banyak nutrisi dan vitamin namun ia tidak sesuai diberikan kepada anak secara mentah kerana boleh menyebabkan anak tercekik. Buah-buahan seperti buah tin, buah anggur dan buah bluberi juga boleh perkara yang sama.

Jadi jika ibu ingin memberikan sayur-sayuran keras ini, pastikan anda kukus terlebih dahulu dan lenyek agar anak dapat makan dengan tenang. Sebagai contoh, sayur lobak boleh dikukus dengan buat pir dan dicampur dengan bubur untuk hidangan tengah hari yang lazat.

Untuk buah-buahan pula, potong sekecil yang boleh atau guna bekas khas yang dicipta untuk bayi.

10# Makanan susah kunyah seperti gula atau popcorn

Awas Ibu, Makanan-Makanan Ini Boleh Menyebabkan Anak Tercekik Atau Alahan!

Jika boleh, jangan berikan anak makanan ringan atau manis kerana ini boleh menyebabkan kerosakan gigi. Malah anak-anak yang sering makan snek ringan ini, akan lebih memilih makanan harian biasa. Jadi jangan ajar tau!

Makanan ini juga boleh menyebabkan bayi tercekik, jadi cuba elak memberikan pada mereka. Untuk pencuci mulut seperti gula-gula atau kek, amat tidak digalakkan kerana anda perlu cuba galakkan mereka belajar perisa lain terlebih dahulu.

Malah kandungan gula dalam makanan ini amat tidak baik untuk kesihatan mereka. Jika anda ingin memberikan anak makanan manis, buah-buahan seperti pisang menawarkan perisa yang sama beserta nutrisi yang berkhasiat!

Sebelum anda memberi makanan kepada bayi, pastikan ia masak dan selamat untuk mereka telan. Bayi bawah 1 tahun juga masih tidak dapat mengunyah dengan betul kerana tiada pertumbuhan gigi lagi, jadi pastikan anda sediakan makanan yang lembut untuk mereka.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Wholesome Baby Foods, Homemade Baby Food Recipes, Garden of WisdomDr. Zubaidi, Healthy with Honey, NYR Natural News, NHS UK

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Resepi stok ayam dan ikan bilis untuk bayi 7 bulan ke atas, anak pasti suka!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!