Agar-Agar Memang Rasa Lembut Tapi Boleh Menyebabkan Bayi Mati Tercekik - Pakar
Walaupun agar-agar ini dalam kategori makanan lembik dan lembut tapi ia juga boleh mendatangkan risiko bayi tercekik. Jadi ibu ayah harus lebih berhati-hati
Sedapnya anak tekak kalau dapat rasai makanan lembut yang disejukkan dalam peti ais seperti agar-agar atau biasa juga kita panggil jelly.
Apatah lagi, agar-agar ini didatangkan dengan pelbagai perisa seperti agar-agar ros merah, agar-agar milo, agar-agar pelangi, agar-agar sumi dan banyak lagi.
Walaupun ia berada dalam kategori makanan lembut tapi percaya atau tidak ia sebenarnya boleh menyebabkan kematian ke atas bayi terutama yang berumur bawah enam bulan kerana tercekik.
Makanan lembut seperti agar-agar boleh menyebabkan bayi tercekik
Menurut Pakar Anestesiologi Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Abdul Halim, Dr Maslina Ahmad Marzuki berkata, makanan lembut seperti agar-agar atau jeli boleh menutup saluran pernafasan sehingga
menyebabkan kanak-kanak di bawah umur sukar untuk bernafas.
Beliau menambah, memang ramai ibu bapa menganggap makanan lembut dan lembik seperti agar-agar manis tidak boleh menyebabkan tercekik kerana si kecil itu masih belajar mengunyah dan tidak terdedah dengan risiko itu.
Namun, kita tidak boleh mengambil mudah ke atas risiko yang boleh terjadi.
Walaubagaimanapun setakat ini belum ada kes bayi tercekik agar-agar namun langkah waspada harus sentiasa ada.
Dr Maslina turut berkata, selain dari agar-agar manis, anak kecil juga mudah tercekik dengan makanan lain seperti bebola ikan, biji rambutan dan biji manggis serta wang syiling.
Atas sebab itu, ibu bapa disarankan belajar tentang kaedah menyelamatkan nyawa dengan lebih awal terutama jika ia berlaku di rumah bersama ahli keluarga yang lain.
Belajar kaedah CPR
Beliau menyarankan agar ibu bapa dan penjaga belajar membuat CPR atau mengetahui kaedah menepuk belakang dan menekan bahagian dada kanak-kanak jika berlaku penyekatan bendasing di saluran pernafasan. Kaedah ini boleh belajar melalui Youtube atau menghadiri kelas keselamatan awam.
Apa nak buat jika anak tercekik atau tersedak?
Sekiranya kanak-kanak tersedak atau tercekik itu bermaksud terdapat objek atau makanan yang terperangkap di bahagian trakea hingga mengakibatkan gangguan aliran udara ke arah paru-paru.
Laluan udara ke paru-paru yang tersekat akan menyebabkan otak kekurangan oksigen lantas menyebabkan kematian. Malah situasi ini adalah serius dan perlu diberi perhatian.
Tanda-tanda anak tercekik seperti berikut:
– Menangis, teriak tiba-tiba atau tidak boleh bercakap
– Muka serta merta bertukar jadi kebiruan
– Kelihatan anak memegang tekak dan meminta bantuan ibu dan ayahnya.
– Anak kelihatan sangat panik atau berpeluh
– Anak pengsan atau tidak sedarkan diri kerana mungkin pernafasan tersekat
Jika situasi ini berlaku, apa yang boleh dilakukan adalah menekan perut yang merupakan prosedur standard bagi menyelamatkan nayawa.
Apa yang anda boleh buat?
Apa yang boleh buat ini bergantung kepada situasi
Sekiranya anak boleh bernafas lagi, lakukan tindakan ini
1. Jika anak tercekik tapi masih boleh bercakap atau bernafas ini maksudnya pernafasan masih ada.
2. Jangan keluarkan objek atau makanan itu kerana ia boleh menyebabkan bendasing itu tertolak lebih dalam.
3. Langkah terbaik adalah tidak melakukan apa-apa cuma beri perhatian penuh semasa anak batuk hingga bernafas seperti biasa.
Sekiranya anak tidak boleh bernafas
1) Minta bantuan kecemasan dengan segera pastikan anda ada menyimpan nombor-nombor penting ini termasuklah jiran terdekat.
2) Jika anak masih sedar tapi tak boleh bernafas atau bercakap guna teknik menekan perut.
Sekiranya anak tidak sedar dan tidak bernafas
1) Telefon unit kecemasan dan dapatkan nombor hospital terdekat. Teruskan dengan teknik CPR dengan orang terlatih. Jika anda sendiri boleh buat lagi bagus.
Bayi setahun dalam keadaan sedar tapi tercekik
– Gunakan lengan, posisikan kepala dan muka bayi menghala ke arah bawah dengan sokongan paha.
– Pastikan torso bayi lebih tinggi dari kepalanya
– Tepuk bahagian belakang badan, antara tulang belikat bayi menggunakan tapak tangan hingga lima kali
– Pusingkan bayi sambil terus menyokong kepala lehernya
– Jika objek masih tak keluar dari laluan pernafasan, tekan bahagian dada atau tengah sternum menggunakan dua atau tiga jari dengan cepat hingga 5 kali.
Sekiranya anak masih berada dalam keadaan yang mencurigakan adalah lebih baik segera bawanya ke hospital kerana pelbagai risiko boleh terjadi.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: The Reporter, Astro Awani
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga