Adakah Bayi Yang Terhasil Dari Rawatan IVF Sihat Seperti Bayi Normal? Ini Jawapan Pakar

undefined

Maksud bayi tabung uji atau IVF ialah teknik persenyawaan dilakukan di luar rahim wanita. Ia adalah langkah terakhir bagi pasangan yang inginkan cahaya mata

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap hubungan. Namun tidak semua bernasib baik dikurniakan anak dengan mudah sehingga perlu menjalani pelbagai rawatan. Tahukah anda maksud bayi tabung uji?

Tidak dinafikan bagi mereka yang mampu, akan berusaha sehabis mungkin bagi mendapatkan zuriat meskipun perlu membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk melakukan proses IVF.

Maksud bayi tabung uji atau IVF

bayi ivf

credit to sources

Maksud bayi tabung uji sebenarnya tiada tabung uji yang digunakan dalam penghasilan bayi, namun sebaliknya, piring petri. Dalam bahasa Inggeris, kaedah ini dipanggil sebagai in-vitro fertilization iaitu persenyawaan di dalam kaca (piring petri).

Bayi tabung uji adalah persenyawaan yang berlaku di luar dan bukannya dalam saluran tiub fallopio, akan tetapi proses kehamilan tetap berlaku pada rahim wanita.

Memandangkan ia dilakukan di makmal, ramai pasangan bertanyakan mengenai kesihatan bayi yang dilahirkan melalui teknik rawatan kesuburan. Adakah bayi dilahirkan melalui teknik IVF sihat? Bagaimana bayi yang dilahirkan hasil dari embrio yang dibekukan bertahun-tahun? Adakah terdapat risiko autisme dan kesan sampingan terhadap kesihatan jangka panjang?

Menurut Dr. Salleha Khalid, sehingga kini terdapat hampir 8 juta bayi dilahirkan melalui teknik kesuburan. Sehubungan itu, banyak kajian dilakukan bagi mengikuti perkembangan bayi dan mendapati bayi IVF/ICSI memiliki tahap kesihatan yang sama dengan bayi dikandung secara normal.

Berdasarkan kajian terhadap satu embrio yang diletakkan ke dalam rahim bagi menilai risiko autisme dan celebral palsy, bayi tabung uji tidak mempunyai risiko yang lebih berbanding bayi normal.

Dalam pencapaian akademik, kanak-kanak yang dihasilkan secara IVF/ICSI memiliki tahap pencapaian sama seperti dengan yang lain. Mereka juga tidak mempunyai risiko lebih untuk menghidap kanser (childhood cancer) secara keseluruhan.

Ini termasuklah kepada semua jenis rawatan kesuburan seperti pengambilan pil subur, IUI, IVF, ICSI, dan Frozen Embryo Transfer (FET). 

Maksud bayi tabung uji dan risiko kesihatan yang kerap terjadi pada bayi IVF

kesihatan bayi ivf

foto: unicef

Walau bagaimanapun, bayi yang dilahirkan melalui teknik FET memiliki kecenderungan mempunyai berat lahir lebih berbanding dengan bayi lain. Secara umumnya, bayi dengan berat lair lebih berdepan risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan darah tinggi sewaktu dewasa.

Tetapi apabila dibandingkan dalam kalangan bayi yang memiliki berat lahir tinggi (antara dikandung melalui rawatan kesuburan dan bayi dikandung secara normal), didapati tiada peningkatan risiko kardiovaskular seperti sakit jantung, darah tinggi atau diabetes.

Justeru data yang diperoleh melalui kajian sebelum ini, sebarang rawatan kesuburan adalah selamat. Bayi terhasil menggunakan teknik kesuburan kebanyakannya didapati siat dan tidak mempunyai sebarang risiko yang lebih untuk mengalami penyakit seperti autisme, celebral palsy, kanser dan penyakit kardiovaskular.

Mereka juga memiliki tahap kecemerlangan akademik yang sama. 

Langkah ketika melakukan rawatan IVF

kesihatan bayi tabung uji

credit to sources

#1. Pengambilan ubat-ubatan kesuburan

Anda mungkin perlu mengambil ubat kesuburan bagi merangsang ovari untuk menghasilkan lebih banyak telur yang matang.

#2. Suntikan hormon

Anda kemudiannya akan diberi suntikan hormon setiap hari selama lebih kurang 12 hari. Ini bertujuan merangsang ovari supaya membebaskan lebih banyak telur matang berbanding biasa (induksi ovulasi).

#3. Pengeluaran telur dari ovari

Ultrasound digunakan bagi mengesan bilakah telur anda sudah bersedia untuk dikeluarkan. Doktor pakar kemudiannya mengeluarkan telur daripada ovari. Beliau menggunakan sebatang jarum halus dan berongga bercantum dengan imbasan ultrasound.

#4. Pengumpulan sperma

Ketika telur anda dikumpulkan, suami pula perlu memberi sampel air mani yang segar. Sperma itu akan dicuci dan sperma dengan kualiti terbaik sahaja akan diasingkan bagi proses persenyawaan.

Sperma ini kemudiannya digabungkan dengan telur di dalam ceper makmal dan dibiarkan mengkultur dalam inkubator.

#5. Persenyawaan dan pemindahan embrio

Mana-mana telur yang telah disenyawakan akan menjadi segumpal sel dipanggil sebagai embrio. Pada kira-kira hari kelima, embrio yang sihat akan dipilih untuk dimasukkan ke dalam uterus.

Sebaik sahaja anda disahkan mengandung selepas rawatan IVF, ibu perlu mendapatkan imbasan ultrasound awal pada kira-kira enam minggu bagi memastikan bahawa embrio telah melekat dalam uterus.

Sumber: Kernamu, Public Health Malaysia

Kredit foto: Google Images

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!