Manfaat Membaca Buku kepada Bayi Anda, Antaranya Boleh Cepat Bercakap!
Perlu ke baca buku kepada bayi? Kami berikan anda 3 sebab utama manfaat membaca buku kepada anak anda. Selepas ini bolehlah amalkan!
Ibu bapa perlu ke baca buku kepada bayi? Adakah mereka akan faham? Anda sebagai ibu bapa pasti tertanya-tanya apa manfaat membaca buku kepada bayi anda yang masih kecil.
Betul, bayi mungkin masih lagi kecil dan masih tidak dapat mengucapkan perkataan. Tetapi tahukah anda banyak sebenarnya faedah yang boleh bayi anda peroleh apabila anak anda mendengar anda bercerita kepadanya?
Kalau anda nak tahu, mari kami kongsikan mengapa anda perlu membaca buku kepada bayi anda. Lepas ini, anda bolehlah praktikkan dengan kadar segera dan boleh mula mencari buku-buku cerita untuk bayi.
Semakin awal anda mula bercerita kepada bayi, ianya semakin bagus untuk pembesarannya.
Manfaat membaca buku kepada bayi anda
#1 Meningkatkan kemahiran bahasa dan komunikasi
Antara manfaat membaca buku kepada anak yang masih kecil adalah mereka boleh melihat dan mendengar anda bercerita kepadanya.
Membacakan buku cerita kepada anak anda boleh membantu anak anda mengenal visual dan memahami makna gambar, mengenal pasti dan meniru bunyi, dan boleh mempelajari perkataan baru.
Walaupun anak anda tidak boleh membaca mahupun mampu memahami sepenuhnya apa yang anda perkatakan tetapi secara tidak langsung anda boleh meningkatkan kemahiran bahasanya yang lain. Anda sebenarnya mengajar anak anda berinteraksi dan berkomunikasi apabila anda bercerita kepadanya.
Ada ibu bapa yang siap menjiwai lagi penceritaan dalam buku cerita! Siap dengan lakonan lagi. Ini ternyata lebih baik kerana penjiwaan itu dapat dirasakan oleh anak anda dan penting untuk menyokong pembentukan emosi dan sosial.
#2 Mengeratkan hubungan dengan ibu
Manfaat membaca buku boleh menjadikan anda lebih rapat dengan anak. Mengapa agaknya?
Apabila anda membaca buku cerita kepada anak anda, anda sebenarnya sedang mewujudkan sebuah persekitaran yang tenang dan mesra kepada anak anda. Yang mana, anak anda akan lebih tertumpu kepada anda dan akan berasa selamat dan penuh rasa cinta kepada anda. Menarik kan? Perbuatan ini juga meningkatkan rasa percaya anak terhadap ibu disamping menguatkan hubungan emosi yang terjalin diantara anak dengan ibu.
Tapi, jangan tidak tahu, kalau bapa yang bacakan kepada anak itu sebenarnya lebih baik!
Baca Juga: Ayah Yang Sering Baca Buku Bersama Anak Beri Kesan Unik Berbanding Ibu, Ini Faktanya!
#3 Menggalakkan rutin membaca
Meluntur buluh biarlah daripada rebungnya, kan?
Kanak-kanak sememangnya perlu digalakkan untuk mengikuti rutin dari sejak kecil lagi. Jika anda nak pupuk minat anak anda membaca, inilah masanya untuk anda lakukan yang demikian. Anak anda menjadikan anda sebagai role model. Jika anda melatihnya dengan membaca, pasti anak anda akan mempunyai tabiat yang sama sehinggalah besar.
Selain itu, anda juga boleh menjadikan pembacaan sebagai satu rutin untuk anak anda. Cuba anda baca buku cerita kepada anak anda sebelum tidur. Ini akan menjadi satu tabiat atau rutin yang anak anda mudah kenali. Bila anda nak baca buku cerita sahaja, itu tandanya dah sampai masa untuk anak anda tidur.
Bagaimana cara nak bacakan buku cerita kepada anak?
- Beli dan bacakan buku cerita yang tepat mengikut tahap perkembangan anak anda.
Setiap anak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza. Jadi anda perlu mendapatkan buku yang sesuai dengan tahap anak anda. - Buat setiap hari
Untuk anda mula galakkan minat membaca dan rutin membaca dalam diri anak anda, anda haruslah mempraktikkannya sekerap yang mungkin. - Ikut rentak anak
Ada anak yang suka berulang-ulang membaca atau mendengar buku cerita sama atau suka baca halaman yang sama. Ikut rentak anak anda. Kalau anak anda nak dengar anda baca lagi pun, anda layankan sahajalah. - Jangan paksa anak anda
Kalau anak anda tidak mahu mendengar anda bercerita, jangan paksa anak anda. Cuba lagi di hari yang lain. - Sabar
Anak anda tidak reti duduk diam bila anda bacakan dia buku? Oh itu biasa. Nak minta anak anda mula mendengar anda membaca memang sukar pada mulanya. Tetapi, lama kelamaan, anak anda akan biasa. Tapi anda kena banyak bersabar untuk pupuk minat anak. - Berbual mengenai buku cerita
Bukan sahaja anda perlu bercerita, anda juga boleh berbual dengan anak anda mengenai apa yang berlaku di dalam buku. Ini untuk beri lebih penerangan kepada anak anda. Anda boleh tunjukkan gambar kepada anak anda, tanya soalan dan macam-macam lagi untuk tarik perhatian anak untuk mendengar. - Masa yang sesuai
Anda boleh sahaja membacakan anak anda buku cerita pada waktu yang anda rasakan sesuai. Tempoh penceritaan tidak semestinya lama kerana ia bergantung juga kepada kesudian anak anda mendengar. Kalau lama sangat, takut anak anda boring pula nanti. Jangan lupa tengok keadaan anak anda juga!
Sumber: Loving care healthy life
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Membaca Buku Ketika Mengandung Boleh Lahirkan Anak Bijak?