Masalah Berdengkur Ketika Tidur – Jangan Biar Ia Merosakkan Hubungan Suami Isteri

Share this article with other mums

Masalah berdengkur ketika tidur bukan sahaja membuatkan kita berasa letih apabila bangun keesokkan harinya, malah menggangu emosi pasangan kita yang tidak lena dek bunyi bising kita. Jom atasi masalah tidur dengan mencuba satu daripada 10 petua untuk mengurangkan dengkur ketika tidur!

Kadangkala berdengkur ketika tidur? Itu normal. Tetapi, berdengkur hampir setiap malam sehingga menggegar katil? Itu masalah yang perlu diatasi. Kebanyakan orang dewasa mengalaminya terutama pada hari-hari yang memenatkan.

Namun, jika anda perasan yang anda (atau pasangan) mengalaminya setiap malam, maka, apa kata anda cuba salah satu daripada 10 petua untuk mengurangkan dengkur ketika tidur yang kami kongsikan di sini.

1.    Mandi Air Panas Sebelum Tidur

Masalah dengkur berlaku apabila ada gangguan pada saluran pernafasan pada bahagian saluran hidung atau tekak. Jika anda mandi air panas sebelum tidur, ia akan membantu untuk mengeluarkan sebarang bendalir yang mengganggu saluran tersebut. Sambil mandi, jangan lupa juga untuk berkumur dan membilas hidung.

2.    Tidur Secara Mengiring Berbanding Menelentang

Jika anda mengalami masalah dengkur setiap malam, cuba tukar cara anda tidur. Berbaring secara menelentang akan menyebabkan bahagian atas lidah anda menutup saluran tekak anda, sekaligus menutup saluran pernafasan. Cuba tidur secara mengiring dengan mendapatkan bantuan bantal peluk atau anda juga boleh memilih untuk memeluk pasangan anda.

3.    Banyakkan Minum Air di Siang Hari

Lagi satu petua untuk mengurangkan dengkur adalah dengan memperbanyakkan minum air di siang hari. Ia akan mengekalkan tahap hidrasi badan anda. Jika anda kekurangan air, tekak anda akan kering dan menghasilkan mukus.

Ini seterusnya akan menyebabkan masalah dengkur. Jadi, banyakkan minum air di siang hari untuk mengelakkan ia terjadi.

4.    Gunakan Bantuan Pelekat Jalur Hidung

Source: Womansday.com

Jika anda memerlukan bantuan peralatan bagi mendapatkan pernafasan yang lebih lancar ketika tidur, mungkin anda boleh menggunakan pelekat jalur hidung. Ia membantu untuk membuka bukaan nasal hidung.

Anda boleh membelinya di mana-mana farmasi atau kedai serbaneka. Ia sangat membantu dalam mengatasi masalah berdengkur, terutamanya jika ia disebabkan oleh sekatan pada hidung, dan bukannya pada tekak.

5.    Gunakan Semburan Hidung

Selain daripada pelekat hidung yang diletakkan di bahagian atas hidung, anda juga boleh membeli semburan nasal hidung bagi melegakan sekatan pernafasan akibat mukus dalam hidung anda. Ia juga boleh dibeli di farmasi dan apabila disembur, anda akan berasa lega dan lebih mudah untuk bernafas.

6.    Pasang Pelembap Udara Di Dalam Bilik

Kalau anda hendak tahu, masalah dengkur juga boleh disebabkan oleh keadaan bilik yang kering dan panas. Apabila anda tidur dalam suhu bilik sebegini, hidung anda perlu bekerja lebih kuat ketika tidur untuk mendapatkan udara segar, sehinggakan anda berdengkur.

Dengan memasang pelembap udara (air humidifier), bilik anda akan berada dalam keadaan optimum yang membantu tidur yang lebih berkualiti.

7.    Tidur dengan Bantal Yang Tinggi

Lagi satu petua untuk mengurangkan dengkur adalah dengan tidur dalam keadaan kepala berada di atas bantal yang sedikit tinggi. Ia membantu pernafasan yang lebih lancar apabila dagu dan hidung anda sedikit terangkat.

Tetapi, bantal tersebut tidak perlu terlalu tinggi sehingga anda sakit tengkuk! Cukup sekadar 4 ke 5 inci lebih tinggi dari paras biasa kepala anda ketika berbaring.

8.    Jangan Ambil Makanan Berat Sebelum Tidur

Tabiat gemar makan berat lewat malam sebelum tidur juga adalah salah satu punca masalah dengkur. Malah, ada kajian yang menyatakan bahawa makanan seperti minuman susuan akan menyebabkan masalah dengkur yang semakin teruk.

Jadi, perhatikan apa yang anda makan sebelum tidur dan elakkan dari makan lewat malam. Ia mungkin dapat membantu mengurangkan masalah tidur anda.

9.    Buat Latihan Mulut yang Dapat Mengurangkan Dengkur

Source: Kindnessblog.com

Jika anda ingin mengurangkan bunyi bising ketika tidur, cuba buat latihan mulut ini.

  • Tekan hujung lidah ke lelangit dan gerakkannya ke belakang. Ulang selama 3 minit setiap hari.
  • Gerakkan otot mulut di bahagian tekak anda dan gerakkan anak tekak selama 30 saat.
  • Sebut vowel ‘A’ secara kuat selama beberapa minit setiap hari

Latihan otot mulut dan lidah sebegini dikatakan dapat membuka bukaan tekak dan sekaligus membantu pernafasan yang lebih lancar ketika tidur.

10. Buat Pemeriksaan Doktor, Anda Mungkin Memerlukan Pembedahan

Jika anda telah mencuba petua untuk mengurangkan dengkur di atas dan masih tidak dapat menyelesaikan masalah tidur anda yang semakin teruk, mungkin telah sampai masanya untuk anda berjumpa dengan doktor.

Jika pemeriksaan membuktikan ia adalah satu masalah yang serius, anda mungkin perlu melakukan pembedahan bagi membuka saluran udara.

Cuba Petua Untuk Mengurangkan Dengkur Ini!

Masalah dengkur, apabila tidak dirawat bukan sahaja akan menyebabkan kita berasa letih akibat tidur tidak berkualiti, malah mampu mengganggu kesejahteraan hubungan suami isteri. Anda berdengkur, orang di sekeliling juga tidak dapat tidur!

Jadi, cuba petua di atas dan dapatkan semula tidur berkualiti buat diri anda serta pasangan. Jika anda juga ada petua yang lain, kongsikannya bersama kami di ruangan komen di bawah.

Kesihatan Love & Relationships Untuk Ibu & Ayah