24 Jun Pelajar SPM, STPM & STAM Boleh Kembali Ke Sekolah, SOP Ketat Diperkenalkan
Sekolah bakal bermula pada 24 Jun bagi para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan-peperiksaan besar.
Susulan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka dengan itu beberapa buah sekolah akan dibuka terutama kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti SPM, STPM, STAM dan lain-lain yang berkaitan dengan peperiksaan awam pada 24 Jun ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan tarikh tersebut sebagai tarikh pembukaan awal sekolah yang membabitkan pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembukaan semula sekolah itu melibatkan seramai 544,000 pelajar dari 2,440 buah sekolah yang bakal menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa.
Beliau menambah dalam ucapannya berkata, selepas mengambil kira pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara maka pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan tarikh tersebut.
Menteri Kanan Pendidikan itu turut menambah, pembukaan masuk sekolah ini adalah dibuat secara berperingkat dari masa ke semasa.
Meskipun sekolah telah dibuka nanti namun pembelajaran di rumah masih akan diteruskan.
Memandangan guru-guru akan kembali ke sekolah jadi pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kemudahan yang terdapat di sekolah berkenaan.
Pihaknya berharap, semasa pembukaan sekolah itu semuanya berjalan lancar bagi membolehkan para pelajar meneruskan sesi persekolahan dengan keadaan yang selamat dan harmoni.
Garis panduan untuk sekolah
Terdahulu kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 16 Mac 2020 yang lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020.
Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah menetapkan semua institusi pendidikan ditutup bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Lantas dengan itu KPM telah menyediakan satu garis panduan untuk pengurusan sekolah bagi melaksanakannya. Malah ia juga telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
Berikut ini adalah peranan dan tanggungjawab semasa sekolah dibuka nanti:
#1. Pentadbir sekolah
– Sentiasa memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat sebelum mula beroperasi dan memastikan semua murid, guru dan kakitangan sekolah sihat dan selamat.
– Malah mereka juga berperanan untuk menerangkan secara berterusan tentang jangkitan Covid-19 ini dengan memperincikan penjagaan kesihatan seperti mencuci tangan dan menggunakan hand sanitizer.
– Selain itu, tanggungjawab mereka juga adalah sentiasa melaporkan perkembangan pembelajaran murid kepada ibu bapa dan juga penjaga.
#2. Guru
– Sentiasa ingatkan pelajar untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan sosial dan melaksanakan PdP yang bersesuaian dengan kesediaan murid dalam situas semasa ini.
– Menyediakan rekod pengajaran dan pembelajaran.
#3. Ibu bapa dan penajga
– Memastikan anak jagaan berada dalam keadaan sihat, menjaga kebersihan diri dan tidak menunjukkan gejala awal covid 19 sebelum anak-anak hadir ke sekolah.
– Membantu anak-anak belajar mengikut kemampuan dan memberikan motivasi kepada mereka untuk teruskan belajar.
Sementara itu, bagi kehadiran murid pula akan dilakukan secara berfasa dan dimulai dengan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM.
Murid selain dari kategori tersebut, diminta untuk tidak hadir ke sekolah dan mereka akan meneruskan PdP di rumah sehingga KPM mengeluarkan maklumat lanjut yang seterusnya.
Waktu persekolahan pula boleh dilaksanakan secara berperingkat selepas mendapat kelulusan pendaftar negeri.
Namun perhimpunan sekolah dan aktiviti lain yang membabitkan murid, guru atau warga sekolah secara beramai-ramai adalah tidak dibenarkan.
Keselamatan murid, guru dan kakitangan
#1. Melaksanakan saringan di pintu masuk kepada semua murid, guru dan kakitangan semasa masuk ke dalam kawasan sekolah.
#2. Penggunaan suhu badan dan hand sanitizer
#3. Melakukan pemantauan terhadap gejala seperti demam, batuk selesema, sakit tekak dan sesak nafas. Sekiranya ada gejala, mereka hendaklah diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk pulang ke rumah dengan segera.
#4. Sekiranya ada murid atau kakitangan yang mempunyai perjalanan ke luar negara mereka hendaklah mengemukakan rekod kesihatan seperti surat arahan kuarantin daripada KKM.
#5. Murid, guru dan kakitangan yang tidak memenuhi syarat di nombor 4 , hendaklah diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk balik ke rumah dengan segera.
#6. Pihak sekolah juga turut menyediakan pelitup muka bagi murid, guru dan kakitangan yang menunjukkan sebarang gejala tertentu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
Sekolah rendah terbaik di Malaysia, sekolah anda atau anak ada tersenarai tak?