Bagaimana Untuk Membantu Kanak-Kanak Yang Sering Terkencing Ketika Tidur

Bagaimana anak-anak dan ibu-ibu dapat menangani kes kencing malam, dan 4 tips mudah untuk mencapai malam bebas kemalangan.

Menjemput rakan-rakan untuk bermain di rumahnya di Long Island, NY, adalah salah satu aktiviti kegemaran Bethany Spencer, 7 tahun.

Tetapi apabila dua rakan perempuan datang melawatnya baru-baru ini, Bethany berkelakuan pelik.

Bethany tidak suka rakan masuk ke dalam biliknya. "Jangan datang dekat katil saya," katanya dalam nada cemas. "Tiada apa-apa di sana," sambungnya lagi.

Sebenarnya, Bethany ada menyembunyikan rahsia besar di bawah katilnya: lampin untuk dia pakai pada waktu malam!

Ibu Bethany, Aileen Spencer, berasa risau dengan keadaan anak perempuannya itu.

"Saya melihat dia amat kecewa dengan dirinya sendiri apabila dia selalu kencing pada waktu malam ketika sedang tidur," kata Spencer.

"Ia membuatkan saya berasa risau yang pada usia semuda ini, anak perempuan saya sudah mempunyai rahsia yang memalukan! Kanak-kanak tidak patut bimbang tentang hal ini."

Ketidakupayaan untuk menahan kencing pada waktu malam sebenarnya masalah biasa di kalangan kanak-kanak sekolah.

"Walaupun ramai kanak-kanak dapat menahan air kencing mereka sepanjang malam dari umur 5 tahun, 1 daripada 8 kanak-kanak yang sudah memulakan sekolah rendah masih mengalami masalah dengan keadaan yang memalukan ini,"

Itu kata Howard Bennett, M.D., pengarang Waking Up Dry.

Kadar kencing malam akan mula jatuh mendadak apabila kanak-kanak itu meningkat usia (syukurlah!).

Tetapi, 1 daripada 20 kanak-kanak berumur 10 tahun masih kencing pada waktu malam dan yang malangnya, 1 hingga 2 peratus akan terus bergelut dengan masalah ini sehingga umur 15!

Bagi kebanyakan kanak-kanak, masalah ini adalah berpunca dari saraf

Otak kanak-kanak tidak dapat menghantar isyarat kepada pundi kencing untuk menahan air kencing semasa dia tidur.

"Pundi kencing akan secara automatiknya dikosongkan semasa dia tidur, seperti yang berlaku ketika dia masih bayi," kata Dr. Bennett.

Genetik memainkan peranan juga

Kira-kira 3 daripada 4 kanak-kanak akan mengalami masalah kencing malam jika dia juga mempunyai adik-beradik, ibu bapa, ibu saudara, bapa saudara atau sepupu yang turut "membasahi katil ketika tidur" semasa mereka kanak-kanak.

Kadang-kadang, ia adalah masalah psikologi, dicetuskan oleh masalah atau tekanan, seperti berpindah rumah, dapat adik baru atau perceraian ibu bapa.

Cara membantu kanak-kanak mengatasi masalah kencing malam

Langkah pertama adalah agak mudah: Doktor akan menasihati ibu bapa supaya mengelakkan kafein dari diet anak mereka dan mengehadkan minum air pada waktu malam.

Untuk 4 tip lain, mari baca seterusnya.

4 tips untuk bebas kencing malam:

1. Pantau masalah kesihatan anak

Adakah doktor anak anda mengatakan yang anak anda mengalami masalah kesihatan?

Walaupun ia adalah agak jarang, tetapi ia tetap akan menyebabkan kencing malam.

Begitu juga dengan kanak-kanak yang tidak lagi kencing pada waktu malam, tetapi tiba-tiba mula membasahkan katilnya; dia mungkin mempunyai jangkitan pundi kencing.

2. Perhatikan kekerapan anak anda ke tandas pada siang hari

Sesetengah kanak-kanak kencing pada waktu malam kerana mereka sembelit sepanjang masa; rektum yang penuh boleh mengganggu fungsi pundi kencing.

Dalam kes ini, berikan banyak air kepada anak anda dan makanan yang kaya dengan serat, dan berbincang dengan doktor anda tentang julap yang boleh didapati di farmasi.

Juga, galakkan anak anda untuk menggunakan bilik air (walaupun dia tidak mempunyai keinginan untuk kencing) setiap dua hingga tiga jam pada siang hari.

"Pundi kencing yang tidak dikosongkan sepenuhnya atau secara kerap di siang hari boleh bertindak balas dengan sepenuhnya dan dilepaskan pada waktu malam,"

Itu penjelasan Ginger Thomas, R.N., dari Hospital Seattle Kanak-Kanak.

3. Gunakan ubat dengan berhati-hati

Dalam kes-kes yang benar-benar melampau, doktor boleh memberikan ubat anti-diuretik, tetapi ia adalah satu penyelesaian jangka pendek.

Ubat-ubatan ini boleh merencatkan keupayaan badan untuk memproses air kencing, dan seterusnya dapat mengelakkan anak anda daripada membasahi katilnya di waktu malam.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anak anda berhenti mengambil ubat itu, dia akan kencing malam semula.

4. Pastikan anak anda sudah bersedia

Kekecewaan anda tidak diperlukan di sini. Anak anda perlu terus bermotivasi untuk berhenti kencing malam ketika tidur.

Jika dia masih lagi membasahi katil ketika tidur, anda boleh memintanya untuk menggunakan lampin pada waktu malam.

Lambat laun, dia pasti akan tercabar dengan lampin tersebut dan mula bersedia untuk tidak lagi memakainya (dan tidak lagi kencing malam!).

Rencana diterjemah daripada Parenting.