Nak Ajar Anak Pakai Tudung Tak Boleh Marah-Marah, Tapi Mula Dengan 5 Cara Paling Bijak Ini...
Bilakah waktu sesuai untuk ajar anak perempuan memakai tudung?
Mendidik anak dalam Islam merupakan ilmu yang wajib diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak supaya mereka terdidik dengan baik.
Namun, mendidik anak dalam Islam itu meliputi dari pelbagai sudut sama ada secara rohaniah dan lahiriah. Contohnya seperti pemakaian tudung kepada anak perempuan.
Rata-rata ibu bapa masih tidak tahu berapa umur yang sesuai bagi anak perempuan mengenakan tudung kepala. Ada yang kata seawal usia bayi, dan ada juga yang kata ia boleh dimulai seusai anak menginjak masuk ke alam persekolahan.
Berbalik semula kepada soalan, sebenarnya pemakaian tudung pada anak adalah terpulang kepada ibu bapa itu sendiri sama ada ingin memulakannya seawal usia bayi atau sebaliknya.
Apa yang perlu ditekankan adalah anda tidak memaksa si kecil mengenakan tudung jika mereka menolaknya.
Tapi didiklah pemakaian tudung itu dengan cara yang lebih bijak supaya si kecil tidak merasakan terbeban kerana perlu memakai tudung terlalu awal.
Mendidik anak dalam Islam dengan menutup aurat
Ramai yang kata, kesian kecil-kecil sudah perlu pakai tudung kerana usia itu masih belum faham erti menutup aurat dan sebagainya.
Sebenarnya, tiada masalah jika ibu ayah ingin mengajar anak memakai tudung dalam usia yang masih kecil. Ini kerana, ia dapat membantu anak tentang aurat yang harus dipelihara dan sebagainya.
Akan tetapi, ibu bapa harus mendidik anak dengan cara yang berhikmah seperti memperkenalkan tentang aspek halal dan haram kepada anak-anak berdasarkan umur mereka.
Contohnya apabila anak baru berusia dua ke tiga tahun, ibu bapa boleh mula ajari mereka tentang adab dalam Islam seperti makan dengan tangan kanan, memakai tudung, bersalaman dan sebagainya. Ini sedikit sebanyak membantu anak melaksanakan ajaran Islam dengan baik sampai mereka dewasa.
Walau bagaimanapun, anda tidak perlu bertegas sekiranya si kecil terlupa melakukan perkara tersebut kerana mereka masih belum dipertanggungjawabkan terhadap hal ini.
Justeru, didiklah anak menjadi permata yang terindah buat ibu dan ayah.
5 Langkah Bijak Mendidik Anak Pakai Tudung
#1. Menunjukkan contoh pada anak
Anak-anak biasanya akan memerhatikan apa yang dilakukan oleh ibu ayah di hadapan mata mereka.
Maka sudah tentu bila mereka melihat ibu memakai tudung dan menutup aurat secara automatik mereka ingin mengikutnya.
Ini kerana mereka percaya apa yang dilihat dan ingin melakukannya bersama-sama. Jadi, tunjukkan contoh yang baik di hadapan anak.
#2. Bersabar dalam mendidik anak pakai tudung
Sebenarnya setiap anak mempunyai tahap penerimaan yang berbeza-beza.
Ada anak yang mudah dilentur sejak kecil dan ada juga yang sangat sukar mengikut kata ibu dan ayahnya.
Maka dengan itu, ibu dan ayah harus lebih bersabar terutama ketika ingin ajar anak memakai tudung dan lakukannya dengan langkah demi langkah.
Pasti dengan langkah bijak anda itu akan membuatkan anak seronok untuk memakai tudung apabila keluar dari rumah.
Jadikan pengalaman pertama kali memakai tudung itu sesuatu yang bermakna buat anak.
#3. Puji anak setelah memakai tudung
Ketika menyarungkan tudung di kepala mereka, anda boleh memberi kata perangsang dengan mengatakan dia kelihatan cantik dan berseri-seri apabila memakai tudung.
Namun dalam masa yang sama terapkan hikmah dan kelebihan memakai tudung supaya anak dapat pemahaman yang jelas tentang pemakaian hijab.
#4. Beli tudung yang comel dan anak suka
Kita sebagai ibu sudah tentu suka melihat tudung yang cantik dan corak yang pelbagai. Begitu juga dengan anak kecil mereka juga ada tudung yang disukai.
Jadi belikan tudung kesukaan anak sekaligus dapat memberi galakan untuk mereka berhijab.
#5. Sentuh emosi anak
Kanak-kanak ini sebenarnya mudah tersentuh emosi dan jiwanya. Jadi, jika anda menyuntik sedikit emosi dan selami perasaan mereka anda dapat menemui jawapan yang tepat.
Mungkin anak yang tidak mahu bertudung itu bimbang jika diejek oleh kawan atau bosan mengenakan tudung dan sebagainya.
Oleh itu, menjadi peranan anda untuk bertanyakan kepada mereka dan ceritakan kepada anak tentang kepentingan menutup aurat serta jadikan kisah di zaman Rasulullah SAW sebagai penguat jalan cerita anda.
Semoga ibu ayah sekalian dapat mendidik anak dalam Islam.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Intisonline, Aku Islam
Baca juga: