Elak 6 Kesalahan Ini Apabila Membesarkan Anak Lelaki Anda
Ibu bapa tak boleh lari dari buat kesilapan apabila mendidik anak. Tapi, ini 6 kesilapan yang perlu dielak apabila mengajar anak lelaki untuk lebih berjaya.
Usaha ibu bapa mendidik anak
Mendidik anak untuk membesar dengan baik bukanlah tugas yang senang. Terutamanya anak lelaki.
Anak lelaki selalu dianggap tidak dengar kata, nakal, kurang gemar belajar, banyak bermain dan kurang tumpuan.
Oleh sebab itu, kekuatan mental dan fizikal ibu bapa amat diperlukan agar mereka boleh menjadi insan yang berguna dan berjaya satu hari nanti.
Perangai setiap anak berbeza dan sebagai ibu bapa kita juga sedang belajar cara terbaik untuk mendidik anak.
Biarpun kita banyak melakukan kesilapan, mari kita baca 6 kesalahan yang ibu bapa perlu elak apabila membesarkan anak lelaki ini:
1. Jangan ingat anak ada pendapat yang sama dengan anak perempuan
Ada kemungkinan anak akan berfikiran sama, tapi ini tidak bermaksud dia akan mempunyai pendapat yang sama untuk semua perkara.
Apabila mendidik anak lelaki, kita perlu ingat yang pemikiran mereka jauh berbeza daripada pemikiran anak perempuan.
Maka, anak lelaki mungkin akan menghadapi masalah dari sudut yang berbeza.
Apabila anak berubah menjadi seorang remaja, dia akan lebih berhati-hati apabila berkongsi perasaannya.
Oleh itu, berikan kebebasan kepada anak anda untuk mencuba pendekatan yang berbeza apabila menghadapi kehidupan.
2. Jangan ingat anak lelaki tak perlu batasan
Apabila mendidik anak lelaki, jangan ingat mereka tidak memerlukan batasan. Semua anak lelaki memerlukan batasan.
Tapi mereka suka mencabar kesabaran ibu bapa dengan tidak mendengar kata. Meskipun begitu, ini tidak bermakna ibu bapa perlu sentiasa bersikap tegas ketika mendisiplinkan anak.
Mereka boleh diberi kelonggaran yang munasabah – namun jangan sampai mereka melampaui batas.
Mendidik anak biarlah ketika mereka masih kecil.
Ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak untuk meneroka dunia sendiri supaya mereka boleh belajar cara bijak untuk menilai dan mengendali risiko.
3. Jangan biar dia bosan
Kanak-kanak lelaki mempunyai banyak tenaga dan memerlukan banyak aktiviti. Jika dia bosan, dia akan minta main iPad atau tengok TV.
Jangan hairan jika dia mencederakan adik-beradiknya dengan tidak sengaja kerana jumlah tenaga fizikal yang terpendam.
Apabila mendidik anak lelaki, jangan lupa untuk membawa anak keluar bagi “mengeluarkan stim”.
Biar anak berlari, memanjat dan bermain dengan kawan di taman. Balik nanti dia akan jadi lebih tenang.
4. Jangan biar dia tak bertanggungjawab kerana dia “lelaki”
Memang benar anak lelaki banyak beza dari anak perempuan. Tapi itu bukan alasan untuk membiarkan anak jadi nakal dan tidak bertanggungjawab.
Mengambil minuman keras di bawah umur, berkelahi, dan berkelakuan ganas bukan ciri-ciri seorang lelaki.
Semua ini adalah tindakan yang tidak bijak. Oleh itu, pastikan standard ibu bapa untuk anak tinggi.
Jangan bina tanggapan dan guna frasa “anak lelaki memang nakal” untuk membiarkan mereka melakukan apa saja.
Didiklah anak supaya dia membesar menjadi lelaki yang baik dan bersopan.
Satu lagi tip penting ialah untuk mengajar mereka mengawal emosi, kerana ini lebih sukar untuk anak lelaki akibat hormon testosteron.
5. Jangan takut mereka jadi pondan
Walaupun anak lelaki lebih suka bermain bola sepak dari melawat muzium, anda masih boleh memperkenalkan aktiviti lain yang lebih lembut seperti muzik, seni dan sikap suka membaca.
Kita semua mahukan anak dengan kehidupan yang seimbang dan terdedah kepada pelbagai pengalaman.
Pengalaman ini boleh membantu mereka untuk berfikiran lebih terbuka terhadap minat orang lain dan juga untuk memahami perangai perempuan.
Jadi, jangan risau sangat, ya!
6. Jangan buat segalanya untuk mereka
Entah kenapalah ibu-ibu selalu melakukan segalanya untuk anak lelaki mereka. Jangan ya? Ini bukan cara mendidik anak yang betul.
Satu hari nanti, mereka perlu belajar untuk menjaga diri sendiri dan mendirikan keluarga sendiri.
Jangan biar mereka membesar tanpa mengenali tanggungjawab sendiri. Ajar mereka untuk bersikap suka menolong.
Sekurang-kurangnya ajar mereka untuk membersihkan benda-benda mereka sendiri.
Semoga panduan ini bermanfaat untuk anda!
Sumber: iMom
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: