Mengajar anak anda mengenai kematian

Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan Ibubapa perlu mengajar anak mengenainya, walaupun ia bukan topik yang mudah untuk dibincangkan.

Salah satu peristiwa yang sangat memilukan dalam kehidupan adalah kematian orang yang kita sayangi. Tetapi kejadian ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan ibubapa perlu mengajar anak mengenainya walaupun ia bukan topik yang mudah ataupun yang selesa untuk dibincangkan. Kanak-kanak selalu bertanya soalan-soalan yang sukar dan orang dewasa biasanya akan mengelak dari menjawabnya.

Cabaran apabila membincangkan kematian

Orang dewasa lebih suka menyembunyikan emosi sebenar mereka dan mengelakkan topik ini. Alasan yang seringkali digunakan adalah:

  • "Saya perlu melindung anak saya dari topik ini."
  • "Jika saya tak ungkitkan, saya tak perlu bincangkan."
  • "Anak saya tidak akan memahaminya."
  • "Saya tidak mempunyai semua jawapan."

Anda mungkin berfikir anak tidak sedar perubahan dalam tingkah laku ibubapa mereka apabila berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Sebenarnya, mereka dapat mengesan perubahan hanya dengan memerhatikan anda.

Dengan menyembunyikan emosi anda, ini menghantar mesej bahawa kematian adalah perkara yang tidak baik dan kita tidak perlu bercakap mengenainya.

Sepatutnya, anda harus berfikiran terbuka dan bersedia untuk membincang walaupun ia topik yang sukar. Kongsilah pengetahuan anda dengan anak bagaimana kematian diuruskan mengikut budaya dan kepercayaan yang berlainan.

Dengan menunjukkan kepada mereka secara jujur ini boleh membantu mereka memahami kesedihan dan emosi yang akan dihadapi.

kredit : Shutterstock

Panduan am pemahaman kanak-kanak mengikut umur

  • Kanak-kanak prasekolah boleh melihat kematian sebagai sesuatu yang tidak kekal, yang boleh berubah dan berasa terpisah darinya.
  • Kanak-kanak berumur 5 - 9, kebanyakan mula faham bahawa segala benda hidup akhirnya akan mati.
  • Kanak-kanak berumur 9 hingga remaja, akan mula faham kematian adalah muktamad dan mereka juga akan mati suatu hari nanti.

Kanak-kanak akan mencari cara yang berlainan untuk meluahkan perasaan mereka semasa berkabung. Ada yang akan memendam perasaan dan ada yang mungkin berasa marah, terutamanya kanak-kanak yang lebih tua.

Ibubapa perlu sentiasa bertolak ansur dan memberi sokongan yang positif apabila anak mereka sedang melalui tempoh ini. Jangan terlalu bimbang kerana fasa ini bukan untuk selama-lamanya.

Tips bagaimana untuk membincang kematian dengan anak

  1. Jika berlakunya kematian, beritahu anak tentang hal itu dengan segera dan secara jujur. Kongsi perasaan anda dan jangan biarkan mereka berasa terpinggir.
  2. Biarkan mereka tahu bahawa tiada apa yang terlalu menakutkan atau menyakitkan hati sehingga ia tidak boleh dibawa berbincang.
  3. Gunakan penjelasan ringkas dan mudah. Elak dari menggunakan kata-kata seperti "tidur", "hilang" atau "pergi" untuk menerangkan kematian.
  4. Gunakan contoh yang biasa dan senang difaham (sesuatu yang sudah mati tidak akan bernafas, makan, bercakap, berfikir, atau merasa apa-apa lagi).
  5. Dari masa ke semasa, anak boleh melalui pengalaman yang berbeza dan mungkin akan banyak menyoal kerana ingin faham. Galakkan mereka untuk bertanya soalan, kemudian semak semula tahap pengetahuan dan pemahaman mereka.
  6. Bantu mereka untuk memahami kaitan antara kematian dan emosi yang mereka lalui.
  7. Yakinkan anak yang anda menyayangi mereka, dan ianya bukan kesalahan mereka jika kematian berlaku.