Mengandung Kali Kedua – Anda Mungkin Akan Mengalami Perubahan Fizikal yang Berbeza Kali Ini!

Share this article with other mums

Anda mengandung kali kedua? Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang perubahan fizikal untuk kali ini – ia mungkin sedikit berbeza. Jadi jom siap sedia!

Pengalaman mengandung kali pertama dan kali kedua boleh jadi berbeza, walaupun pada wanita yang sama.

Oleh kerana fizikal badan anda pernah mengalami saat mengandung dan bersalin anak pertama, jadi memang logik jika ia memberikan pengalaman mengandung kali kedua yang sedikit berlainan dari segi fizikal.

Jom kita tengok apakah perubahan yang mungkin anda alami kali ini!

1.    Perut lebih cepat membesar

Apabila anda baru pertama kali menjadi bakal ibu, baby bump anda hanya akan mula kelihatan ketara sekitar 12 ke 16 minggu. Namun, jika anda mengandung kali kedua, ada kemungkinan untuk perut anda kelihatan besar sebulan lebih awal.

Ini adalah kerana uterus anda pernah membesar dan belum mengecut sepenuhnya. Jadi, kali ini, lebih cepat ia mengembang semula.

2.    Kedudukan bayi anda mungkin sedikit rendah

Oleh kerana anda pernah mengandung sebelum ini, ada kemungkinan juga untuk anak kedua anda berada sedikit rendah dalam rahim. Ini adalah disebabkan oleh otot abdomen anda yang tidak lagi tegang. Jadi, ia tidak dapat menampung bayi dengan baik seperti yang pertama.

Ada kebaikannya juga jika bayi anda berada sedikit rendah. Ia akan mengurangkan rasa tidak selesa pada perut – lebih selesa bernafas dan selepas makan, kurang sikit rasa senak.

Namun, kali ini, siap sedia untuk selalu rasa ingin ke tandas. Bayi yang rendah akan lebih cenderung menekan pundi kencing anda!

3.    Sakit belakang dapat dirasakan lebih awal dan mungkin lebih teruk

Source: Mybeautygym.com

Apabila perut lebih besar dan kedudukan bayi cenderung ke bawah, maka ada kemungkinan juga untuk anda mengalami sakit belakang – lebih awal dan lebih teruk.

Ia mungkin disebabkan oleh posisi bayi yang memberikan tekanan yang lebih kepada tulang belakang. Malah, otot abdomen juga tidaklah sekuat seperti sebelum ini.

Untuk mengelakkan sakit yang berpanjangan atau menjadi lebih teruk, angkat barang atau anak anda dengan betul (turun sehingga paras lutut dan bukannya sekadar paras pinggang), pakai kasut bertumit rendah dan tidur dengan bantal di lutut untuk mengurangkan tekanan pada tulang belakang.

4.    Tendangan bayi dapat dirasakan lebih awal

Apabila anda mengandung kali kedua, ada kemungkinan untuk anda dapat merasa tendangan bayi lebih awal daripada yang pertama – sekitar bulan empat berbanding lima. Kenapa? Ia bukanlah bermakna bayi kedua itu lebih aktif, tetapi anda sebenarnya telah berpengalaman dalam merasai tendangan bayi.

Mungkin kali pertama mengandung dahulu anda tidak perasan akan tendangan si kecil. Barangkali anda ingat itu adalah gas dalam perut! Tapi tidak kali ini, anda pasti tahu sama ada itu si bayi sedang bergerak atau perut yang berangin.

5.    Buasir berlaku lebih awal

Sama seperti sakit belakang, jika anda pernah mengalami buasir sebelum ini, ada kemungkinan untuk ia berulang kembali dan kali ini, lebih awal! Menurut Women’s Health Magazine, ini adalah kerana struktur dinding salur darah telah lemah sejak pertama kali ia berlaku.

Jadi, banyakkanlah minum air, makan diet berserat seperti sayuran dan buah-buahan, dan jangan menahan kencing selalu.

6.    Proses bersalin yang lebih mudah dan cepat

Source: Takaq-chira.com

Mengandung kali kedua bukanlah berkenaan dengan perkara yang tidak bagus sahaja, sebenarnya ada juga perkara positif yang bakal anda rasai. Contohnya, ada kemungkinan untuk proses bersalin anda menjadi lebih mudah dan cepat kali ini. Keyakinan diri pun lebih tinggi.

Badan anda pernah mengalami proses yang sama sebelum ini, jadi ia sudah “dilatih”. Pembukaan akan lebih mudah berlaku. Malah, tiada lagi masalah false alarm atau dikenali juga sebagai ‘Braxton Hicks’.

Anda pasti sudah dapat membezakan antara kontraksi palsu dan kontraksi yang sebenar. Kali ini, tidak perlu lagi berulang-alik dari rumah ke hospital akibat disuruh pulang oleh doktor!

Nikmati Pengalaman Mengandung Kali Kedua

Pasti anda berasa teruja dengan kehadiran bakal cahaya mata kedua ini. Jangan risau, walaupun simptom mungkin terjadi lebih awal dan ada kebarangkalian untuk ia menjadi lebih teruk berbanding yang pertama, cuba beberapa cadangan yang kami sarankan di atas, ia pasti akan membantu untuk mengawalnya.

Yang paling penting, jangan lupa untuk menghayati perjalanan mengandung kali kedua ini dan semoga cahaya mata yang bakal lahir ini membawa seribu satu sinar bahagia dan rezeki yang bertambah-tambah buat anda dan keluarga!

Bahasa Melayu Kehamilan