Cara Menyusu Bayi Dengan Betul: Panduan Penyusuan Lengkap Untuk Ibu Baharu

undefined

Cara betul menyusu bayi adalah 1) Duduk Dengan Selesa, 2) Pegang Bayi Dan Rapatkan Ke Badan Dan Payudara, 3) Pastikan Badan Bayi Lurus

Walaupun penyusuan susu ibu kelihatan seperti sesuatu yang semula jadi dan mudah, hakikatnya ia boleh menjadi cabaran besar, terutama sekali bagi ibu yang pertama kali. Cara menyusukan bayi baru lahir dengan betul amat penting untuk ibu dan si manja.

Mungkin disebabkan anggapan bahawa “menyusu itu mudah”, ramai ibu kurang bersedia dari segi ilmu dan pengetahuan sebelum bayi dilahirkan. Sebenarnya, minggu-minggu awal selepas kelahiran terutamanya enam minggu pertama boleh menjadi tempoh yang agak mencabar kerana ibu masih dalam proses menyesuaikan diri, dan bayi pula baru belajar untuk menyusu.

Cara Menyusukan Bayi Dengan Betul 

Berikut beberapa cara menyusu bayi dengan betul:

1. Duduk Dengan Selesa

Pilih tempat duduk atau baring yang tenang dan selesa. Gunakan bantal di belakang, bawah lengan, atau atas riba untuk menyokong badan dan bayi.

2. Tenangkan Diri Sebelum Menyusu

Cara menyusukan bayi baru lahir yang seterusnya adalah dengan tenangkan diri terlebih dahulu. Ambil nafas dalam-dalam dan pastikan anda dalam keadaan relaks. Tekanan dan kebimbangan boleh menjejaskan penghasilan susu.

3. Cuci Tangan Dan Pastikan Kebersihan Payudara

Sebelum menyusukan, cuci tangan anda. Tidak perlu cuci puting dengan sabun, hanya lap perlahan dengan air bersih jika perlu.

4. Perhatikan Tanda Bayi Lapar

Cara menyusukan bayi baru lahir adalah dengan perhatikan tanda bayi lapar. Antaranya adalah:

  • Menghisap jari

  • Mengeliat atau memusing kepala ke sisi

  • Membuka mulut atau menjelir lidah

5. Pilih Posisi Menyusu Yang Sesuai

Setiap ibu dan bayi mungkin selesa dengan posisi berbeza. Antara posisi yang boleh dicuba:

  • Cradle Hold

  • Cross-Cradle Hold

  • Football Hold

  • Side-Lying

6. Pastikan Lekapan (Latch) Yang Betul

Cara menyusukan bayi baru lahir dengan betul adalah pastikan bayi melekap dengan baik dengan:

  • Mulut terbuka luas

  • Dagu menyentuh payudara

  • Bibir melengkung keluar

  • Sebahagian besar areola (bukan puting sahaja) masuk ke dalam mulut

7. Bantu Bayi Untuk Melekap

Sentuh bibir bayi dengan puting untuk merangsang refleks hisap. Bila bayi buka mulut luas, bawa bayi ke arah payudara.

8. Pantau Tanda Bayi Menyusu Dengan Baik

  • Anda rasa hisapan perlahan dan dalam

  • Dengar bayi menelan susu

  • Bayi kelihatan tenang dan puas selepas menyusu

9. Sendawakan Bayi Selepas Menyusu

Tegakkan bayi dan tepuk perlahan belakangnya untuk bantu si manja sendawa, terutamanya jika bayi menyusu dengan banyak.

10. Periksa Payudara dan Puting Selepas Menyusu

Pastikan tiada kesakitan melampau atau puting luka. Jika ada masalah, semak semula teknik lekapan dan dapatkan bantuan kaunselor laktasi.

Cara Mendapatkan Lekapan Yang Betul

Untuk menyusukan bayi dengan betul, ibu perlu menguasai teknik lekapan, atau lebih dikenali sebagai latch on. Teknik ini melibatkan bukan hanya puting, tetapi juga kawasan areola (bahagian gelap di sekeliling puting).

Ketika hamil warna areola biasanya menjadi lebih gelap, ini sebenarnya adalah petunjuk semula jadi untuk membantu bayi mencari kawasan yang betul untuk menyusu.

Untuk mendapatkan lekapan yang baik, mulakan dengan meletakkan bayi dalam posisi yang selesa di lengan anda. Pastikan kedudukan badan bayi selari dengan tubuh anda.

Gunakan tangan yang satu lagi untuk memegang payudara dengan lembut, kemudian halakan puting ke arah mulut bayi. Sentuhkan puting pada bibirnya perlahan-lahan sehingga bayi membuka mulut dengan luas, kemudian bawa bayi rapat ke payudara (bukan bawa payudara ke bayi).

Tanda lekapan yang betul termasuk:

  • Hujung hidung dan dagu bayi menyentuh payudara

  • Mulut bayi terbuka luas dan menutup sebahagian besar areola (bukan hanya puting)

  • Bibir bayi melengkung keluar seperti bentuk ikan

  • Anda tidak rasa sakit semasa bayi menghisap

Menguasai lekapan yang betul mungkin memerlukan sedikit masa dan latihan, tetapi ia sangat penting. Tanpa lekapan yang tepat, bayi mungkin tidak mendapat susu yang mencukupi dan proses penyusuan boleh menjadi menyakitkan bagi ibu. Puting mudah melecet atau luka jika bayi hanya menghisap di bahagian hujung puting sahaja.

Oleh itu, jangan risau jika anda mengambil masa untuk belajar, banyak ibu melalui perkara yang sama. Jika perlu, dapatkan bantuan daripada jururawat, pakar laktasi atau kumpulan sokongan ibu menyusu untuk tunjuk ajar secara langsung.

Tanda-Tanda Lekapan Yang Tidak Betul

Apabila bayi melekap dengan cara yang betul, puting ibu akan berada jauh ke dalam mulut bayi dan ini membantu mengelakkan kecederaan pada puting. Namun, ramai ibu mengalami masalah penyusuan kerana posisi dan teknik lekapan yang tidak tepat.

Antara tanda-tanda lekapan yang tidak betul dan boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa menyusu termasuklah:

  1. Puting kelihatan leper atau terhimpit selepas bayi melepaskannya

  2. Rasa sakit atau pedih pada puting semasa menyusu

  3. Puting masih terasa sakit walaupun selepas sesi penyusuan selesai

  4. Payudara terasa bengkak dan tidak lega walaupun sudah menyusu

  5. Pengeluaran susu tidak lancar: bayi menyusu tetapi susu tidak keluar dengan berkesan

Jika anda mengalami mana-mana tanda ini, besar kemungkinan bayi tidak melekap dengan sempurna. Dalam situasi begini, sebaiknya hentikan penyusuan seketika, betulkan posisi menyusu, dan cuba semula untuk memastikan lekapan lebih baik.

Ingat, penyusuan sepatutnya tidak menyakitkan. Jika sakit berterusan, dapatkan bantuan daripada pakar laktasi atau jururawat terlatih supaya penyusuan menjadi lebih selesa dan berkesan.

7 Posisi Menyusu Bayi Yang Selesa

Setiap ibu dan bayi mempunyai keselesaan yang berbeza. Kadang-kadang posisi yang sesuai untuk ibu pertama, tidak semestinya selesa untuk ibu kedua.

Oleh itu, penting untuk mencuba pelbagai posisi agar dapat mencari yang paling sesuai untuk anda dan si kecil. Berikut ialah tujuh posisi menyusu yang boleh anda cuba:

1. Cradle Hold (Dukung Biasa)

Ini ialah posisi yang paling klasik dan sering digunakan. Dalam posisi ini, kepala bayi diletakkan pada lengan yang sama dengan payudara yang digunakan. Tubuh bayi menghadap badan ibu dan kepala bayi disokong oleh pelipat siku ibu. Posisi ini sesuai untuk bayi yang sudah pandai menyusu dan ibu yang selesa dengan penyusuan secara langsung.

2. Cross-Cradle Hold (Dukung Silang)

Hampir sama dengan posisi cradle hold, cuma kali ini ibu menggunakan tangan bertentangan dengan payudara yang sedang menyusu untuk menyokong kepala bayi. Tangan sebelah lagi memegang payudara bagi membantu proses lekapan. Posisi ini sangat sesuai untuk bayi baru lahir dan ibu yang sedang belajar cara lekapan yang betul.

3. Football Hold (Pegangan Bola Ragbi)

Dalam posisi ini, bayi diletakkan di sisi badan ibu, di bawah lengan seperti memegang bola ragbi. Kepala bayi disokong oleh tapak tangan ibu manakala badannya berada di sepanjang sisi ibu, selalunya diletakkan atas bantal.

Posisi menyusu ini sangat membantu ibu yang bersalin secara pembedahan (C-section), ibu dengan payudara besar, atau ibu yang menyusukan bayi kembar.

4. Side-Lying (Baring Mengiring)

Ibu dan bayi berbaring mengiring menghadap satu sama lain. Ini antara posisi yang sangat selesa ketika waktu malam atau apabila ibu terlalu penat untuk duduk lama. Posisi ini juga membantu ibu dalam proses pemulihan selepas bersalin kerana tidak memerlukan banyak tenaga.

5. Laid-Back (Penyusuan Sambil Berbaring Condong)

Dalam posisi ini, ibu berbaring dalam keadaan separa menegak dengan sokongan bantal, manakala bayi diletakkan atas dada ibu secara meniarap. Bayi akan menggunakan naluri semula jadi untuk mencari puting ibu. Posisi ini sangat sesuai untuk bayi baru lahir dan ibu yang mahu menyusukan dengan lebih santai dan tanpa tekanan.

5. Upright atau Koala Hold

Bayi berada dalam kedudukan duduk menegak di atas paha ibu, menghadap payudara. Ibu menyokong belakang dan kepala bayi. Posisi ini bagus untuk bayi yang mengalami masalah reflux atau hidung tersumbat kerana kedudukan bayi tegak memudahkan pernafasan dan pencernaan.

6. Tandem Nursing (Menyusu Dua Anak Serentak)

Bagi ibu yang menyusukan bayi kembar atau dua anak berlainan usia, posisi tandem ini sangat membantu. Ibu boleh menggabungkan dua posisi serentak, seperti seorang bayi dalam posisi football hold dan seorang lagi dalam posisi cradle hold. Ia memerlukan sedikit latihan dan kesabaran, tetapi sangat praktikal bagi ibu yang menyusu lebih daripada seorang anak.

Tip menyusu yang berguna: Gunakan bantal penyusuan atau bantal tambahan untuk menyokong belakang, lengan dan bayi anda supaya lebih selesa. Posisi yang betul bukan sahaja membantu bayi menyusu dengan lebih berkesan, malah mengelakkan masalah seperti sakit belakang, puting melecet dan rasa cepat penat.

Cara Mengetahui Bayi Menyusu Dengan Betul

beberapa tanda dan petunjuk penting yang boleh membantu ibu mengenal pasti sama ada proses penyusuan berjalan dengan baik.

1. Bayi Tenang Dan Puas Selepas Menyusu

Selepas sesi penyusuan, bayi yang cukup menyusu biasanya akan kelihatan tenang, mengantuk atau terus tertidur. Jika bayi masih meragam, gelisah atau menangis sejurus selepas menyusu, itu mungkin petanda dia belum cukup kenyang atau lekapan tidak sempurna.

2. Bunyi Hisapan Dan Telan Yang Konsisten 

Ketika menyusu, anda akan dapat mendengar bunyi hisapan diikuti dengan bunyi telan yang perlahan dan berirama. Ini menunjukkan bayi bukan sekadar menghisap, tetapi juga berjaya menelan susu yang keluar dari payudara anda.

3. Mulut Bayi Menutupi Areola, Bukan Hanya Puting

Jika lekapan bayi betul, sebahagian besar kawasan areola akan berada dalam mulutnya, bukan hanya puting. Bibir bawah bayi juga sepatutnya melengkung ke luar, bukan masuk ke dalam. Dagu bayi menyentuh payudara, manakala hidungnya sedikit jauh tetapi masih hampir dengan kulit ibu.

4. Puting Kurang Sakit

Penyusuan mungkin sedikit tidak selesa pada awalnya, tetapi ia tidak sepatutnya menyakitkan sepanjang proses. Jika anda merasa perit atau sakit yang kuat di bahagian puting semasa bayi menyusu, kemungkinan besar lekapan tidak betul. Bila lekapan betul, puting anda tidak akan terhimpit atau terluka.

5. Payudara Terasa Lebih Lembut

Ini petanda bagus! Payudara yang terasa penuh dan sedikit tegang sebelum menyusu akan menjadi lebih lembut dan ringan selepas bayi menyusu dengan betul. Ini bermaksud susu telah berjaya dikeluarkan dengan baik.

6. Berat Bayi Meningkat Dengan Konsisten

Perkembangan berat badan bayi adalah salah satu indikator utama bahawa penyusuan berjalan lancar. Selepas minggu pertama, bayi sepatutnya mula menunjukkan peningkatan berat badan secara berperingkat. Lawatan susulan ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan berkala sangat penting bagi memantau perkembangan ini.

7. Jumlah Lampin Basah

Bayi yang menyusu dengan cukup biasanya akan menghasilkan enam hingga lapan lampin basah sehari selepas beberapa hari pertama kelahiran. Najis bayi juga akan berubah daripada warna hitam (mekonium) kepada kuning keemasan yang lembik apabila penyusuan badan sudah stabil.

8. Bayi Bangun Menyusu Secara Berkala

Bayi yang menyusu dengan betul akan bangun sendiri untuk menyusu setiap dua hingga tiga jam, terutamanya dalam minggu-minggu pertama. Ini menunjukkan sistem tubuh bayi berfungsi dengan baik dan dia tahu bila perlu makan.

​Kebaikan Susu Ibu Kepada Bayi

Berikut beberapa kebaikan susu ibu kepada bayi:

1. Mengandungi Antibodi Semula Jadi

Susu ibu kaya dengan antibodi seperti immunoglobulin A (IgA) yang membantu membina sistem imun bayi. Ini menjadikan bayi lebih kuat melawan jangkitan, terutamanya selesema, batuk, cirit-birit, dan jangkitan telinga. Kolostrum, iaitu susu pertama yang keluar dalam beberapa hari awal kelahiran, mengandungi antibodi paling tinggi dan sangat penting untuk bayi.

2. Menyokong Perkembangan Otak

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang disusui dengan susu ibu secara eksklusif berpotensi mempunyai perkembangan otak yang lebih baik. Ini kerana susu ibu mengandungi asid lemak penting seperti DHA (docosahexaenoic acid) dan ARA (arachidonic acid) yang menyokong fungsi kognitif dan perkembangan neurologi.

3. Mudah Dihadam Oleh Bayi

Kebaikan susu ibu kepada bayi adalah mudah dihadam dan sesuai dengan sistem pencernaan bayi yang masih belum matang. Berbeza dengan susu formula yang boleh menyebabkan sembelit atau alahan, susu ibu diserap dengan cepat dan jarang menyebabkan masalah perut kepada bayi.

3. Melindungi Bayi Daripada Alahan

Bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama mempunyai risiko lebih rendah mengalami alahan makanan dan ekzema. Ini kerana susu ibu mengandungi bahan pelindung yang melindungi usus bayi daripada reaksi alahan.

4. Menyokong Tumbesaran Fizikal Sihat

Kandungan nutrien dalam susu ibu seperti protein, kalsium, zat besi, vitamin A, D, E dan K adalah dalam nisbah yang paling ideal untuk bayi. Ia membantu pertumbuhan tulang, otot, kulit dan organ-organ penting bayi secara semula jadi.

5. Menggalakkan Hubungan Ibu Dan Bayi

Kebaikan susu ibu kepada bayi menggalakkan hubungan emosi antara anda dan di manja.

Ketika menyusu, berlaku sentuhan kulit ke kulit dan pandangan mata antara ibu dan bayi. Ini bukan sahaja memberi ketenangan kepada si kecil, tetapi juga menggalakkan perkembangan emosi yang sihat. Proses ini juga merangsang penghasilan hormon oksitosin pada ibu yang membantu mempereratkan hubungan kasih sayang.

Kesimpulannya, cara menyusukan bayi baru lahir yang betul bukan sekadar memberi makanan, ia adalah proses semula jadi yang membina kasih sayang dan kesihatan jangka panjang. Meskipun ada cabarannya, dengan ilmu, kesabaran dan sokongan sekeliling, anda pasti boleh lakukannya dengan baik. Belajar perlahan-lahan, ikut rentak bayi, dan yang paling penting, nikmatilah momen istimewa ini.

Semoga artikel ini bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  Bayi Kebuluran Walau Sering Menyusu, Ibu Tak Sedar Susu Sebenarnya Tiada!

Baca juga: 5 panduan lengkap memudahkan ibu menyusu bayi baru lahir

Baca juga: Ramai Ibu Dilema Bila Kena Cerai Susu Dengan Anak, 7 Cara Ini Terbukti BERKESAN!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!