Bolehkah Saya Menyusu Dengan Puting Susu Yang Termasuk Atau Leper?

Bolehkah Saya Menyusu Dengan Puting Susu Yang Termasuk Atau Leper?

Ingin tahu sama ada anda masih boleh menyusu jikalau puting susu leper atau termasuk? Dapati jawapannya dalam artikel ini!

Jawapannya, ya boleh!

Bukankah ia berita baik bagi anda yang sedang bergelut dengan masalah di atas? Buat pengetahuan anda, rupa payudara anda tidak berkait secara langsung dengan penghasilan susu badan.

Adakah anda mempunyai putting susu yang leper atau termasuk ke dalam?

Anda mungkin tidak pernah meneliti rupa puting payudara anda sebelum anda melahirkan bayi dan menyusukan anak anda.

Jika ini merupakan kali pertama anda menyusu badan, sekarang anda tentu lebih teliti dengan setiap aspek pada payudara anda.

Ini kerana, walaupun semua wanita mempunyai payudara, tetapi tidak semuanya mempunyai rupa payudara yang sama.

puting termasuk

 

Puting payudara yang tidak tertonjol keluar mungkin akan membawa sedikit masalah kepada bayi untuk memulakan penyusuan.

Walaupun keadaan ini adalah normal, namun anda perlu memastikan bayi anda terus menyusu supaya tidak membawa masalah lain seperti bengkak susu atau mastitis.

puting termasuk

Cara-cara untuk mengatasi masalah puting leper

Kebanyakan wanita mendapati bahawa masalah puting leper atau terbenam ke dalam boleh diatasi setelah beberapa ketika bayi mereka menyusu badan.

Kaedah-kaedah semulajadi seperti urutan juga adalah antara teknik yang paling popular yang dipraktikkan oleh para ibu yang kurang menggemari penggunaan alat bantuan.

Di sini, kami ada sediakan beberapa tips dan cara untuk anda cuba termasuklah:

1. Menyusukan bayi anda dengan kerap

Perlu diingat bahawa bayi anda perlu melekap pada bahagian aerola semasa menyusu, bukan pada puting semata-mata.

Walaupun ia agak sukar pada peringkat awal, latihan demi latihan akan membantu anda berdua berada dalam keadaan yang lebih selesa dan tidak kekok.

Di samping itu, penyusuan yang kerap dapat memberi peluang kepada bayi anda untuk menarik puting payudara anda untuk keluar.

Malah, bayi anda juga dapat belajar untuk melekap dengan lebih baik.

2. Urutan

Selain menyusu dengan kerap, anda boleh cuba merangsang puting payudara dengan memicit bahagian areola setiap kali ketika mandi.

Buat selama satu dua minit. Pada masa sama letakkan kain lembap atau disejukkan dengan ais untuk meningkatkan rangsangan.

Cuba picitkan sedikit puting payudara anda dengan tangan yang bersih sebelum memulakan penyusuan untuk memudahkan bayi anda melekap dengan baik.

3. Teknik Hoffman

Letakkan ibu jari anda di atas puting. Tolak perlahan-lahan ke dalam tisu payu dara anda dan pada masa yang sama tarik ibu jari anda.

Dengan itu, anda melakukan regangan ke atas puting dan melonggarkannya. Jadi, puting anda akan mudah bergerak ke dalam dan ke luar.

Lakukan teknik ini sekurang-kurangnya lima kali sehari. Paling penting – elakkan stres dan yakinkan diri bahawa anda BOLEH menyusukan bayi anda.

puting termasuk

Alat bantuan khas yang boleh digunakan

Alat bantuan khas untuk membantu anda membetulkan puting payudara ini jarang digunakan kecuali pam payudara.

Namun, bagi anda yang benar-benar memerlukannya, tidak salah untuk anda mencubanya sebagai jalan terakhir.

1. Pam Payudara

Pam payudara merupakan salah satu alat yang paling berkesan dalam membantu wanita menonjolkan puting payudara mereka.

Selain itu, melabur untuk membeli pam payudara juga lebih menjimatkan kerana anda akan memerlukannya untuk memerah susu yang terlalu banyak atau untuk dibuat stok ketika anda bekerja kelak.

Anda juga boleh menggunakan pam payudara untuk merangsang puting sejurus sebelum menyusukan bayi.

2. Nipplet

Pam khas ini perlu diletakkan di atas bahagian puting dan tarik pam perlahan-lahan diikuti urutan untuk melembutkan puting. Kaedah ini perlu dilakukan setiap kali sebelum menyusukan bayi.

3. Breast shell

Alat perlu dipakai bersama coli anda dan anda boleh mula memakainya seawal trimester ketiga untuk beberapa jam dalam sehari untuk membentuk puting.

Sekiranya anda selesa dan tidak terganggu olehnya, anda boleh meningkatkan jumlah waktu penggunaannya.

Selepas bayi lahir, pakai alat ini 30 minit sebelum menyusukan bayi. Namun, anda tidak dinasihatkan untuk memakainya pada waktu malam.

4. Nipple shield

Teknik ini adalah langkah terakhir yang boleh lakukan jika cara-cara lain tidak menjadi.

Caranya ialah anda menjadikan nipple shield sebagai pengganti puting anda yang tenggelam atau termasuk itu.

Untuk mengelakkan bayi terbiasa untuk menyusu menggunakan nipple shield, anda perlu mengalihkannya sebaik sahaja bayi dapat melekap pada payudara anda.

Bayi yang baru belajar menyusu mungkin akan bingung sekiranya mereka dibiasakan menggunakan alat ini.

Artikel ini ditulis oleh Nazurah Hassan dan pertama kali diterbitkan di Pregnant.my

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Nisa Abdul

app info
get app banner