Anak Meragam Sebelum Tidur? Kajian Minta Ibu Pujuk Anak Yang Menangis!
Jika anak meragam dan asyik menangis sebelum tidur, apa anda buat? Pujuk atau biarkan saja, takut mereka jadi manja? Kajian terbaru membuktikan anda perlu pujuk bayi yang menangis untuk memudahkan tidur mereka!
Serabut anak gemar meragam dan menangis sebelum tidur? Sering biarkan anak anda menangis, sebab anda tak mahu mereka terlalu manja jika dipujuk?
Sebenarnya, anda sedang melakukan satu kesalahan yang boleh memberi kesan pada anak-anak!
Jangan tinggalkan anak anda menangis atau meragam dengan teruk lagi sebelum tidur. Anda tak dapat berehat, mereka pun sama! Tak ada sesiapa yang menang dalam situasi ini.
Teknik menidurkan bayi yang berkesan
Baru-baru ini, pengkaji dari Universiti La Trobe, Mercy Health, Safe Sleep Space Pty. Ltd., Parent Infant Consultants dan Universiti Utara Texas telah menerbitkan hasil kajian terbaru mereka.
Ia melibatkan tentang teknik untuk menidurkan bayi. Selepas penyelidikan dijalankan, jelas terbukti bayi yang diberi perhatian sepenuhnya oleh ibu bapa ketika waktu tidur mereka, akan tidur dengan lebih lama.
Akhirnya! Ibu bapa tak payah nak berdebat lagi sama ada mereka perlu tinggalkan bayi untuk “menangis” agar mereka tak jadi manja. atau perlu pujuk mereka.
Helen Stevens, pakar tentang tempoh tidur bayi baru lahir adalah ketua penyelidikan ini.
Ibu bapa perlu memberi lebih perhatian pada bayi
Kajian mendapati ibu perlu memberi lebih perhatian pada bayi baru lahir untuk menggalakkan kualiti tidur yang lebih baik.
Perhatian yang diberi juga akan mengurangkan tangisan bayi! Tapi perhatian ke atas apa? Ha… berikut adalah perkara yang harus diambil berat oleh ibu bapa untuk mengurangkan ragam bayi sebelum tidur dan membantu bayi tidur dengan lebih nyenyak:
- Faham dan peka dengan tanda-tanda mengantuk anak
- Beri respon atau layan tingkahlaku bayi sebelum tidur
- Tawarkan keselesaan pada bayi. Pujuk jika mereka menangis!
Hal ini kerana bayi yang meragam akan lebih susah untuk tidur. Oleh itu, pujukan dan keselesaan daripada ibu bapa mampu membenarkan bayi tidur dengan selesa.
Manfaat pujuk bayi jika mereka meragam sebelum tidur
Profesor Madya Dr Middlemiss daripada Jabatan Pendidikan Psikologi UNT menerangkan banyak manfaat yang boleh diperoleh oleh ibu bapa malah bayi, jika ibu bapa memujuk bayi mereka yang menangis.
Antaranya, bayi akan melalui fasa tumbesaran yang lebih positif, membesar dengan emosi sosial yang lebih stabil dan memiliki hubungan yang lebih sihat dan terbuka dengan ibu bapa.
Memujuk anak yang meragam juga terbukti mampu menolong para ibu menangani masalah “meroyan” atau kemurungan selepas bersalin dan kebimbangan melampau.
Oleh sebab itu, ibu bapa tidak digalakkan untuk membiarkan anak mereka menangis, dengan anggapan mereka akan berhenti kelak. Sudahlah rehat pun tak boleh, anak membesar dalam keadaan negatif pula! Tak mahu, kan?
Yang pasti, tindakan memujuk anak yang meragam sebelum tidur mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti tidur anak anda. Lepas ini tak payah nak berdebat dengan orang lain lagi, doktor sendiri sudah keluarkan kajian!
Janganlah anda tinggalkan mereka atau tak hiraukan tangisan mereka lagi, okay? Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang penyelidikan yang telah dijalankan ini, anda boleh semak ia di sini.
Sumber rujukan: New Born Baby dan Early Human Development