4 Sebab Pentingnya Merancang Keluarga Zaman Moden Ini, Janji Suami Isteri Setuju
Kehidupan kini semakin menelan kos yang banyak. Orang ramai disarankan ambil tahu tentang kepentingan merancang kehamilan bagi kehidupan yang lebih baik.
Pada zaman moden ini, terdapat perbezaan dalam banyak perkara berbanding zaman-zaman sebelumnya seperti keperluan pendidikan, perubahan gaya hidup, dan pastinya kos perbelanjaan seharian.
Perubahan besar ini merupakan antara sebab yang memerlukan kita mengetahui kepentingan merancang kehamilan bagi menjamin kehidupan yang lebih baik.
Faktor Yang Mendorong Pasangan Merancang Kehamilan
Sebenarnya, ada beberapa faktor yang mendorong pasangan melakukan perancangan keluarga. Namun, sebaiknya ia disokong dan difahami kedua-dua pihak suami dan isteri supaya salah satu pihak tidak berasa tertekan.
Ini kerana terdapat kes di mana hanya isteri yang mahu merancang keluarga, tetapi suami tidak bersetuju, dan sebaliknya.
Berikut merupakan beberapa faktor yang memerlukan pasangan merancang kehamilan.
#1 Peningkatan Kos Sara Hidup
Dengan peningkatan kos sara hidup, sesetengah pasangan mungkin tidak mampu untuk menanggung lebih dari 2 orang anak.
Hal ini membuatkan kebajikan anak terabai, contohnya keperluan pendidikan dan kualiti penjagaan anak (makanan, pakaian dsb)
#2 Emosi Ibu Bapa
Sesetengah ibu merasakan tertekan walaupun selepas mempunyai 1-2 anak, dan tidak dapat menjaganya tanpa bantuan suami.
Dalam kes tertentu, suami tidak mengambil tahu perasaan si isteri dan menganggap isteri boleh melakukannya bersendirian.
Jika isteri terlalu stress, ini boleh menyebabkan anak-anak tidak mendapat kasih sayang yang sebaiknya dari ibu.Hal ini juga berlaku kepada suami, khususnya yang tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak dengan sama rata kerana kerja.
#3 Hubungan Suami Isteri Terjejas
Walaupun mempunyai anak boleh merapatkan hubungan dan menguatkan kasih sayang suami isteri, namun diakui masa bersama antara pasangan lebih terbatas.
#4 Keadaan Fizikal dan Kesihatan Ibu
Ada di kalangan ibu yang masih sedang dalam proses pemulihan selepas bersalin, walaupun selepas beberapa tahun.
Ia mungkin disebabkan tindak balas epidural, cara berpantang yang tidak bagus atau kesan pembedahan caesar yang masih belum baik.
Sebagai suami, pasangan perlu mengambil kira hal ini dan tidak melakukan hubungan untuk kepuasan diri semata-mata. Risiko untuk si isteri adalah sangat besar sekiranya wanita hamil semula dalam jarak yang terlalu dekat.
Merancang Kehamilan: Pentingnya Persetujuan dan Perbincangan Secara Terbuka
Pakar Sakit Puan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Harlina Halizah Siraj berkata, wanita yang berkeinginan untuk merancang kehamilan sepatutnya tampil menyuarakan pendapat secara baik untuk kebaikan jangka panjang.
“Wanita kena tahu, jika mereka tidak maklumkan terus kepada suami, ada kemungkinan pasangan mereka tidak akan tahu apa yang bermain di fikiran isteri. Untuk memulakan bicara dalam topik ini, wanita perlu ada kemahiran supaya dapat berkomunikasi secara asertif. Maksudnya, wanita ini perlu sentiasa hormat kepada suami dan pada masa sama, dia juga bijak mempertahankan haknya sebagai isteri. Janganlah mengalah saja setiap kali suami mengajak mengadakan hubungan. Jika tidak, ia akan menjadi komunikasi pasif. Apabila ini berlaku, tidak mustahil wanita yang perlu menanggung beban kehamilan luar jangka setiap tahun. Bayangkan jika keadaan berterusan, isteri tidak berkesempatan mengurus diri dan anak terbiar, suami mungkin cari (wanita) lain,”
Jelas Dr Harlina, komunikasi baik antara suami dan isteri dalam segenap hal termasuk perkara yang difikirkan sensitif memainkan peranan cukup penting.
Ia bagaikan penentu kebahagiaan keluarga, bilangan anak, jarak kehamilan dan banyak perkara lain.
“Wanita perlu memperkasakan diri, bukan mengawal suami mereka. Kita perlu dengar pandangan mereka dan berbincang mengenai masa, komitmen, kewangan dan pelbagai perkara berkaitan yang mungkin terjejas berikutan kehamilan yang tidak dirancang dengan baik. “Untuk ini, wanita perlu ada kemahiran berunding yang bagus. Mereka perlu sentiasa berlatih untuk berkomunikasi bijak dengan pasangan. Usah terlalu mendesak, menghukum dan berkeras. Kita tidak mahu suami berpaling terus daripada sebarang perbincangan,”
Apakah pil perancang yang sesuai untuk ibu menyusu?
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: manis.fm
Baca juga:
https://my.theasianparent.commerancang-keluarga-bila-patut-tambah-anak