7 Mimpi Pelik Yang Sering Dialami Wanita Hamil Dan Mengapa Ia Terjadi

Wanita hamil pasti pernah bermimpi perkara pelik lagi menakutkan. Menurut doktor pakar, mimpi-mimpi pelik ini akan meningkat dengan lebih banyak ketika hamil! Tapi kenapa?

Terjaga di tengah malam sebab anda mimpi sesuatu yang pelik lagi menakutkan. Pasti pernah, kan? Tak cukup dengan segala "perubahan" badan dan emosi yang terpaksa kita hadapi, sekarang kita dihantui mimpi-mimpi pelik pula.

Kenapa, ya?

Ha, jangan tak tahu! Mimpi-mimpi pelik lagi menakutkan ini memang akan terjadi pada wanita hamil. Menurut Dr Patricia Garfield, mimpi akan meningkat dengan banyak ketika hamil. Lebih banyak daripada sebelum ini!

"Biasanya, wanita akan mimpi berkaitan dengan keadaan kehamilannya, trimester berapa dia hamil kini, dan apa yang dilalui oleh perubahan badannya," jelas Garfield lagi.

Ketika saya hamil, pelbagai mimpi pelik menghantui saya. Kesian pasangan terpinga-pinga bangun apabila saya menjerit di tengah malam.

Mengapa Mimpi Pelik Terjadi?

WebMD mendedahkan mimpi pelik yang dialami oleh wanita hamil terjadi kerana perubahan hormon dalam badan. Malah, oleh sebab wanita hamil memerlukan tidur yang mencukupi, mereka akan lebih kerap bermimpi!

Lagi satu, wanita hamil cenderung untuk bermimpi kerana mereka lebih mudah mengingati mimpi mereka. Tahu kenapa? Sebab kita (wanita hamil) kan kerap bangun di tengah malam untuk kencing, atau membetulkan posisi tidur, atau sebab bayi asyik bergerak. Sebab itu wanita hamil lebih terbuka untuk ingat apa yang dia mimpi!

Tapi... mimpi pelik lagi menakutkan yang cukup jelas, terperinci dan penuh warna itu macam betul-betul berlaku kan? Takutnya! Betul ke mimpi?

Jangan bimbang. Menurut doktor pakar, wanita hamil yang melalui mimpi-mimpi pelik akan melibatkan keadaan badan dan bayinya ketika itu. Mari tengok apa mimpi-mimpi pelik yang sering anda mimpi, tapi sebenarnya normal saja!

7 Mimpi Pelik Yang Sebenarnya Normal

  • Mimpi bayi terapung dalam air, atau anda terapung dalam air dan bayi dipenuhi bunga dan buah-buahan - biasanya mimpi ini terjadi ketika trimester pertama. Imej air sering dimimpi oleh wanita hamil kerana rahim tengah mengumpul cecair amnion ketika ini.
  • Mimpi melahirkan sesuatu yang bukan manusia! - Ya Allah, saya masih ingat mimpi ini! Saya lahirkan makhluk asing! Doktor mengatakan mimpi seperti ini terjadi kerana kebimbangan. Maklumlah, ketika hamil kita tak tahu lagi bagaimana bayi kita. Bagaimana rupa mereka? Sebab itu ia terbawa-bawa ke dalam mimpi.
  • Mimpi anda membahayakan bayi - Anda pasti pernah bermimpi berada dalam keadaan berbahaya, dan bayi anda ada sekali! Atau mungkin anda terjatuhkan bayi itu. Anak mama! Ha... semua ini tanda-tanda kebimbangan. Doktor pakar menasihatkan wanita hamil untuk berjumpa doktor jika mimpi akibat kebimbangan semakin bertambah.
  • Mimpi benda pelik terjadi pada anda - Dulu saya mimpi gigi tertanggal dan melekat pada otak. Apa??!! Haha, tapi ya. Dan mimpi seperti ini normal kerana biasanya pada trimester kedua, wanita hamil akan bermimpi berkaitan tentang "perubahan" yang mereka alami.
  • Mimpi jantina/nama bayi anda - Biasanya, pada trimester ketiga, mimpi yang dialami wanita hamil akan lebih spesifik. Sebab itu wanita hamil boleh bermimpi tentang jantina atau nama bayi dalam kandungan!
  • Mimpi tentang hubungan seks - Oh, oh! Jangan bimbang, semua. Mimpi ini juga normal! Ia sebab peningkatan hormon estrogen dalam badan. Nikmati saja mimpi itu, okay?

Jadi, jangan bimbang dan fikir dengan banyak lagi. Lagipun, ada pelbagai mimpi yang akan terjadi ketika anda hamil ini. Apa yang penting adalah anda menjaga kehamilan dan kesihatan anda dengan baik. Apa kata dengar muzik? Ada 4 jenis muzik yang bagus untuk kandungan, tahu?

Semoga semuanya berjalan lancar. Selamat menikmati fasa hidup yang baru tak lama lagi!

Mari kongsi artikel ini untuk semua wanita hamil di luar sana yang sering mengalami mimpi pelik, ngeri lagi menakutkan?

 

Sumber rujukan: Web MD, Baby Center dan theAsianparent Malaysia