-

4 Jenis Muzik Yang Bagus Untuk Bayi Dalam Kandungan

Share this article with other mums

Bayi mula belajar sejak dalam kandungan. Malah, bayi juga boleh membiasakan diri dengan lagu yang dipasang sebelum mereka lahir. Maka, muzik apa yang bagus untuk didengar oleh bayi anda?

Lagu apa yang bagus didengar untuk bayi dalam kandungan? Ramai yang mengatakan lagu klasik adalah lagu terbaik. Tapi anda tak menggemari lagu klasik, anda lebih kepada muzik rock n roll!

Tak kisahlah sama ada lagu kumpulan The Beatles atau lagu klasik seperti Bach dan Mozart -- apa yang pasti, bayi dalam kandungan boleh membiasakan diri dengan muzik yang anda dengar!

Menurut pakar, bayi bertindak balas terhadap bunyi sejak trimester ketiga. Semua nyanyian, percakapan, bacaan dan suara anda bergetar dan didengari oleh 'si istimewa ini'.

Kajian terbitan Public Library of Science (PLoS) mengulas bayi mula belajar sejak dalam kandungan. Seseorang bayi yang sering mendengar sesuatu lagu ketika dalam kandungan akan mudah ditenangkan oleh lagu tersebut selepas mereka lahir.

Tapi, janganlah terburu-buru sampai terus beli headphone dan beri perut anda dengar muzik sekuatnya!

Guru dan pakar kehamilan, Denyse Kirkby menjelaskan bayi dalam kandungan dikelilingi dengan cecair. Getaran bunyi akan dihantar dengan lebih cepat melalui cecair.

Maka, bunyi terhasil dengan lebih kuat dalam kandungan dan ia boleh mengganggu perkembangan bayi. Penyelesaiannya mudah saja -- anda pasang lagu menerusi pembesar suara dan melayan lagu sambil bertenang seketika.

Muzik yang bagus untuk bayi dalam kandungan

Jadi, muzik yang bagaimana bagus untuk bayi dalam kandungan anda?

Menurut doktor pakar, sebarang irama yang mudah dan menenangkan anda bagus untuk bayi dalam kandungan. Lagu yang anda suka nyanyi? Lagi bagus!

Mother & Baby telah berkongsikan 4 jenis muzik yang bagus buat bayi dalam kandungan. Empat jenis muzik tersebut adalah:

#1 Lagu klasik

Pelbagai kajian mendapati muzik klasik mampu memberi kesan dalam perkembangan minda kanak-kanak. Antara kajian terkenal yang membincangkan hal seperti ini adalah kajian Mozart Effect

Mozart atau Bach atau Beethoven? Yang mana nak dengar? Usah khuatir, lambakan lagu klasik yang bagus memang memeningkan. Jom tengok senarai lagu klasik pilihan kami!

Pilihan lagu: 50 lagu klasik untuk bayi dari Classic FM

#2 Lagu yang menenangkan

Lagu yang menenangkan mampu membantu merendahkan tekanan darah. Anda juga akan kurang bimbang. Oleh itu, lagu menenangkan amat bermanfaat untuk bayi dalam kandungan.

Sesetengah lagu yang menenangkan digelar sebagai anxiolytic, di mana ia memiliki irama dan kadar yang memberikan isyarat santai pada otak.

Pilihan lagu: Weightless oleh Marconi Union dan Albatross oleh Fleetwood Mac.

#3 Lagu yang menggembirakan

Lagu yang memberi aura positif bagus untuk membenarkan anda bergerak dan bersenam. Usah risau, pilih saja mana-mana lagu yang bermakna dan mampu buat anda gembira.

Hal ini kerana, pakar mengulas anda mungkin akan mengalami perubahan dalam muzik yang diminati. Jadi, ikut saja apa kata hati dan mood anda!

Pilihan lagu: Happy oleh Pharrell Williams

#4 Lagu lullaby

Lullaby berkesan untuk memudahkan proses si manja anda tidur kelak. Tahukah anda yang bayi boleh mengenal mana-mana lagu yang mereka dengar sejak dalam kandungan?

Jadi, biasakan mereka dengan lagu lullaby supaya nanti mereka senang untuk bertenang dan tidur selepas mendengar lagu tersebut.

Pilihan laguTwinkle-Twinkle Little Star

Album untuk ibu hamil di hujung jari

Kehadiran program yang membenarkan muzik dimainkan secara strim di mana-mana saja memudahkan kerja. Saya pilih Spotify untuk mendengar lagu ketika hamil. Jika anda ada akaun Spotify, mari dengar album ini.

Ayuh kongsi minat anda dalam muzik dengan bayi dalam kandungan yang akan lahir kelak! Rapatkan hubungan kalian sejak awal, katanya.

 

Sumber rujukan: Public Library of Science, Healthline, Classic FM, Mother & Baby, dan Baby Center

Kehamilan Keibubapaan