5 Nasihat Perkahwinan Yang Penting Dari Seorang Ayah Berumur 40-an

undefined

Kita selalu dengar nasihat rumahtangga daripada ahli profesional. Apa kata, kita dengar pula nasihat perkahwinan daripada seorang ayah yang menyayangi isterinya lebih daripada segalanya di dunia.

5 Nasihat perkahwinan yang bernas daripada seorang suami dan ayah yang sudah berusia 40-an

Ia adalah salah satu hari yang sukar, di mana tiada satu pun yang berjalan lancar

Beberapa orang rakan pejabat saya (yang juga rakan baik) dan saya sedang menikmati makan tengah hari dan saya cuba untuk menyelesaikan beberapa tugasan sambil merungut tanpa henti tentang bos, kerja dan hidup saya.

Pada masa inilah saya menerima beberapa pengajaran kehidupan daripada seorang ayah yang sudah memasuki usia 40-an.

Dia memandang tepat ke mata saya dan bertanya:

“Pernah tak kamu terfikir betapa remehnya masalah yang kamu sedang hadapi sekarang, berbanding apa yang orang lain tempuhi?”

Saya mengaku, saya terkejut mendengar soalan itu darinya!

Saya terkedu dan hilang kata-kata untuk beberapa ketika. Saya cuba untuk membalas tapi tidak tahu untuk berkata apa.

Dia kemudiannya menyambung:

Kamu ada pekerjaan, bumbung atas kepala kamu, makanan di atas meja, kereta untuk membawa kamu ke mana-mana dan keluarga serta kawan-kawan yang sayangkan kamu.

5 Nasihat Perkahwinan Yang Penting Dari Seorang Ayah Berumur 40-an

Sumber: Titi

Semua perkara lain yang kamu rasakan seperti satu masalah itu hanyalah kesan daripada pilihan buruk yang telah kamu ambil dalam hidup. Apa yang kamu perlukan adalah sikap positif dalam hidup!

Ouch!

Pada mulanya, saya cukup terasa tetapi selepas beberapa ketika, saya mula faham kata-kata tersebut.

Saya faham yang cara bagaimana kita melihat kehidupan ini bergantung kepada cermin yang kita gunakan untuk melihat keadaan kita sekarang.

Dan itu, ibu ayah sekalian, adalah satu daripada beberapa pengajaran kehidupan yang saya belajar dari seorang ayah yang berusia 40-an ini.

Izinkan saya memperkenalkan anda kepada Christopher James, seorang suami mithali, ayah yang baik, pendidik yang penuh semangat, dan figura bapa buat kami yang bekerja dengannya.

Dia adalah seorang lelaki yang berprinsip, dan ada sesuatu yang kita boleh belajar daripada pelbagai peranan yang dia mainkan dalam kehidupan – suami, ayah, bos, rakan, dan pendidik.

Berikut merupakan beberapa nasihat perkahwinan dari Mr. Christopher dan pendapatnya tentang apa rasanya menjadi seorang suami.

1. Keseronokan bukan hanya sewaktu sesi perkenalan sahaja

nasihat perkahwinan suami mithali

Jika anda berjalan di depan meja kerjanya, anda akan nampak sekeping gambar isterinya yang cukup menawan.

Ia adalah gambar biasa di mana dia hanya berpakaian simple tanpa sebarang solekan. Tapi, dia tersenyum lebar.

Pada hari yang sibuk, ketika Mr. Christopher sedang bercakap dengan kami dan dahi berkerut sambil tertekan dengan tugasan kerja dan deadline yang tak pernah habis, dia akan tiba-tiba melihat gambar isterinya, tersenyum dan berkata:

Dia cantik, kan?

Kami selalu tertanya-tanya sama ada dia sedang memberitahu kami atau dia cuba mengingatkan dirinya sendiri yang dia adalah lelaki paling bertuah di dunia kerana dapat mengahwini wanita tersebut.

Yang pasti, anda dapat melihat cahaya cinta dan kasih sayang dalam matanya yang penat itu!

Dia tidak pernah berhenti membuatkan isterinya rasa istimewa.

Dan itu adalah sesuatu yang kita boleh belajar dari Mr Christopher – jangan sesekali mengabaikan pasangan, dan jangan berhenti memberitahunya betapa kita menyayangi dirinya.

Dia meninggalkan nota untuk isterinya. (Hampir) setiap hari!

Dia akan membeli bunga untuk hari istimewa dan jika dia lupa, dia akan berjalan sekitar kejiranan dan memetik bunga untuk isterinya.

Dia akan membawa isterinya ke makan malam romantik dan membuatkan isterinya berasa istimewa, kerana dia…memang istimewa.

2. Hingga ke akhir hayat, untuk selamanya

Lelaki ini lahir dalam era di mana perkahwinan memang sebenar-benarnya “hingga ke akhir hayat“.

Sudah pasti dia akan sentiasa berada di samping isterinya sehingga ke akhir hidupnya; itu kami pasti.

Ini yang Mr. Christopher beritahu kepada kami:

Akan ada hari-hari yang baik, hari-hari yang indah dan ada juga hari-hari yang mencabar.

Bila hari itu terasa sukar, saya akan melihat isteri saya sewaktu dia sedang tidur dan saya akan beritahu diri saya sendiri yang saya tak sanggup untuk melihat orang lain kecuali dia di sisi saya.

Saya tidak boleh membayangkan saat saya bangun tidur dan tidak melihat wajahnya.

nasihat perkahwinan suami romantik

Sumber: Makeupandbeauty.com

Dengan pemikiran sebegini, hari yang sukar pun berlalu sementara hari yang baik menjadi semakin indah.

3. Pasangan sebelum anak-anak, malah sebelum semua perkara

Salah satu nasihat perkahwinan paling penting yang dikongsikan oleh ayah yang berumur 40-an ini adalah sayangi pasangan anda melebihi anak-anak.

Mr. Christopher mencintai isterinya dengan sepenuh hati, mengatasi segalanya.

Dan kadangkala, ada antara kami yang akan terdengar dia mengadu, dengan senyumannya yang sedih, bahawa selepas anaknya lahir, dia tak lagi jadi cinta pertama isterinya.

Dan dia ok tentangnya, buat masa ini!

Saya tahu saya tak boleh kalahkan anak-anak. Isteri saya mengandungkan mereka dalam rahim dan mereka mendengar denyutan nadinya dari dalam. Jadi apa lagi yang boleh saya katakan?

Saya akan menerimanya buat masa ini, tapi bila anak saya sudah besar nanti, saya tahu yang isteri akan menjadi milik saya sepenuhnya semula.

Romantisnya! Ini adalah kata-kata sebenar beliau buat isterinya:

Awak sayangkan anak-anak lebih daripada saya. Awak tahu tentang itu. Dan, awak patut berasa begitu. Dan, jika awak pandai, awak pasti juga tahu yang saya tahu tentang hal itu.

Yang pentingnya, kita perlu cuba untuk tidak terlalu membuatkan perubahan rasa cinta ini terlalu jelas.

Awak pasti mahu rasa diingini, diperlukan dan menjadi keutamaan pertama saya.

Saya akan luangkan masa untuk makan malam kita dan berikan bunga ketika awak memerlukannya atau ketika awak tidak menjangkakannya.

Saya akan peluk awak dan sentiasa mengingatkan anak-anak supaya tak bersikap biadap kepada awak kerana “ayah sayang ibu kamu lebih lama daripada ayah sayang kamu”.

Apa yang saya minta adalah awak cuba untuk membuatkan saya rasa yang saya masih yang pertama dalam hidup awak.

Sekali sekala, beritahulah pada anak-anak betapa hebatnya saya sebagai seorang suami.

Ingatkan mereka yang akan ada malam-malam di mana awak hanya mahu keluar bersama saya – hanya saya.

Sentuh saya sekali sekali bila awak rasa anak-anak tidak melihat.

Dan ia bukan sahaja berkenaan dengan anak. Pasangan kita mestilah melebihi semua perkara lain.

Melebihi ahli keluarga lain, melebihi rakan-rakan, melebihi sesi keluar malam dengan kawan. Sentiasalah tahu apa yang pasangan anda sedang lakukan.

Ia bukanlah tentang meminta izin untuk keluar jumpa rakan, tapi ia adalah tentang berlaku sopan dan menghormati pasangan anda.

4. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi

Nasihat perkahwinan untuk orang muda

Sumber – Eharmony.com

Lagi satu nasihat perkahwinan yang berguna daripada ayah ini adalah, tiada satu pun konflik yang berlaku adalah disebabkan oleh 100% sebelah pihak sahaja.

Ini bukan sahaja untuk perkahwinan, malah untuk pergaduhan dengan kawan, rakan pejabat atau dengan anak-anak.

Ia bukan 100% salah sebelah pihak sahaja. Ya, mungkin 90% datang daripada kesalahan pasangan, tapi lagi 10%  pasti datang dari anda!

Ia benar! Apabila anda melihat sesuatu perkara dari sudut ini, anda akan mula perasan tentang kelemahan diri sendiri dan mula akan memperbaikinya.

Dan, bila pasangan anda melihat usaha anda untuk memperbaiki hubungan, mereka akan lebih menghargainya.

Bukan sahaja isu pertengkaran, hal rumah tangga juga adalah tanggungjawab bersama.

Jadi, Mr. Christopher tiada masalah untuk membantu menukar lampin, memandikan anak, membawa mereka berjalan dan membawa mereka masuk tidur.

Dan, dia juga tidak berkira, kerana baginya tidak penting siapa yang paling banyak buat kerja rumah.

5. Anda tidak patut berkira

Salah seorang rakan kami pernah bercakap tentang pergaduhan dalam rumah tangga.

Pada masa inilah kami menerima lagi satu nasihat perkahwinan daripada bapa yang berusia 40-an ini.

Kamu tidak boleh berkahwin dan melihatnya sebagai satu siri perjuangan dan pergaduhan yang perlu dimenangi. Bukan begitu caranya!

Dalam perkahwinan, kita tidak boleh berkira dan menyimpan dendam. Kita perlu memaafkan, kita lupakan dan hanya ada satu arah sahaja untuk kita gerak; ke hadapan.

Walaupun anda rasa yang anda tidak bersalah, ia masih OK untuk menjadi yang pertama memohon maaf.

Ia bukanlah sebab anda mahu meminta maaf tetapi kerana pasangan anda lebih penting daripada rasa bangga dan ego dalam diri anda.

Tiada ruang untuk perasaan ego dalam rumah tangga.

Begitulah ibu ayah, 5 nasihat perkahwinan daripada seorang ayah yang telah lama makan garam, kini sudah pun dalam usia 40-an!

Sumber: The Asian Parent Singapore

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Bagaimana untuk menyelamatkan perkahwinan anda daripada anak anda?

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!