Hati-Hati Bila Tarik Tangan Si Kecil Tu, Tulang Siku Boleh Tergelincir (Nursemaid Elbow) Lagi-Lagi Bila Anak Baru Berjalan

undefined

Nursemaid elbow atau tulang siku lari boleh terjadi kalau ibu ayah selalu tarik tangan anak kecil lagi-lagi yang baru berjalan.

Pernah tak dengan tentang Nursemaid Elbow atau Pulled Elbow? Bagi mak ayah yang pertama kali dengar, ini adalah satu kondisi tulang siku kanak-kanak yang lari dan terkeluar dari soket akibat ditarik dengan kuat. 

Selalu kan ibu ayah main-main dengan anak seperti memegang kedua tangan anak dan pusing seperti helikopter. Bukan itu saja, mak ayah juga mesti selalu pimpin tangan si kecil yang baru belajar berjalan, dan bila si comel tersadung atau terpelecok cepat-cepat di rentap tangan anak supaya tak terjatuh. Aduh, bahaya ya ibu ayah semua.

Menurut perkongsian doktor perubatan Dr Ahmad Luqman Bukhari di Facebook, dia menjelaskan tentang risiko Nursemaid Elbow ini yang boleh terjadi pada kehidupan harian anak-anak. 

Anak meraung tak henti

nursmaid elbow

Seramnya bila tengok si kecil tu meraung tak berhenti. Tambah pulak bila perasan siku kiri tu bengkak bukan main lagi. Jelas betul kesan tulang terjojol keluar. Sakitnya!

Baca juga: Anak Patah Tangan Selepas Ditolak Ketika Main Gelongsor, Awas Parents!

Ikutkan cerita si penjaga, rupanya sebelum tu mereka duk bergurau. Dihayunkannya budak tu sambil berpusing dah macam kipas helicopter tengah berputar! 

Aduh! Ni mesti kes Nursemaid Elbow atau Pulled Elbow. Tak pasal-pasal tulang pada sendi siku si kecil tu teralih dan terkeluar dari soket akibat tangannya ditarik dengan kuat. 

Cerita malang begini kerap jugaklah berlaku pada kanak-kanak berusia 1 hingga 4 tahun. Boleh saja terjadi masa kita tarik lengan nak angkat budak tu atau masa duk bermain macam kes adik ni. 

Ada jugak yang berpunca akibat lengan si anak ditarik dengan kuat waktu tengah berjalan. Yelah, budak kecil ni kadang tu langkah dia tak adalah besar mana. Perlahan je geraknya. Bila mak ayah tergesa-gesa, tak sengaja tertarik tangan dia lantas tercedera. 

Sebab tu saya nak mintak kita semua berhati-hati selalu. Tak salah nak bergurau senda dengan anak sendiri. Asalkan jangan sampai kita lakukan sesuatu yang boleh cederakan budak tu. 

Namun kalau tiba-tiba benda ni berlaku jugak, segeralah ke fasiliti kesihatan untuk rawatan sebab kelewatan sendi tu dimasukkan balik ke tempat asal akan buatkan pergerakan siku dia terbatas dan derita sakit berterusan. Kesian sangat. 

Mengapa tarik tangan anak boleh menyebabkan tulang siku lari?

Tarik tangan anak dengan kasar mampu menyebabkan tulang siku lari kerana anda telah merentap atau menarik bahagian bawah tangan anak yang masih tidak kuat. 

Selain menarik tangan anak dengan kuat, antara sebab-sebab lain mengapa tulang siku lari boleh terjadi ialah kerana:

  • Anak terjatuh dari tempat tinggi dan anda menyambutnya dengan menangkap tangan
  • Anda cuba mengangkat anak dengan menarik tangannya
  • Anda menarik tangan anak dari baju
  • Anda menghayun anak dengan lengan atau tangannya
  • Anda menarik tangan anak untuk buat dia jalan lebih cepat
  • Bayi bergolek dan tertindih tangan sendiri

Tanda-tanda anda tarik tangan anak hingga tulang siku lari

nursemaid elbow, pulled elbow

Antara tanda-tanda tulang siku anak anda telah lari kerana anda menarik tangannya ialah apabila anak enggan menggerakkan tangan tersebut. 

Malah, anak menangis tanpa henti selepas anda menarik tangannya atau ketika dia terjatuh. Tulang siku lari sukar dikesan ibu bapa kerana tiada tanda-tanda bengkak, lebam atau terseliuh yang boleh anda nampak. 

Anda juga boleh melihat siku anak seakan bengkok dan tapak tangan mereka termasuk ke dalam.

Jangan cuba untuk memperbetulkan tulang siku yang lari dengan sendiri. Ia mampu memberi kesan yang lebih buruk!

Apa patut anda buat jika tulang siku anak lari kerana anda tarik tangan anak?

Jika anda merasakan tulang siku anak lari, segera dapatkan pandangan dan nasihat doktor di wad kecemasan berhampiran. 

Semakin lama tulang siku itu lari, semakin sakit dan susah untuk mengembalikannya ke tempat asal. Malah, waktu untuk sembuh juga akan semakin panjang. 

Apa rawatan untuk Nursemaid Elbow?

nursemaid elbow, pulled elbow

Rawatan untuk tulang siku lari bergantung kepada usia dan kesihatan anak anda. Mula-mula, doktor akan meneliti sama ada tulang anak patah atau tidak. 

Kemudian, ubat seperti acetaminophen, ibuprofen atau lain-lain mungkin akan diberi. Jangan lupa bertanya doktor berapa dos yang disarankan. 

Jangan beri aspirin atau panadol pada anak yang berusia bawah 12 tahun. Doktor akan melakukan reduction maneuver untuk mengembalikan tulang siku ke posisi asal. 

Prosedur ini hanya akan mengambil masa yang singkat. Namun ia agak menyakitkan, jadi anak anda mungkin akan menangis. 

Bagaimana nak elak kejadian ini dari berlaku?

Apabila anak makin membesar, ligamen dalam badannya akan semakin berkurang. Jadi, kejadian seperti ini mungkin takkan berlaku lagi. 

Tapi, kanak-kanak yang pernah mengalami tulang siku lari mungkin akan terkena kecederaan ini semula.

 

Jadi, untuk mengelaknya, ibu bapa wajib tahu yang anda TIDAK BOLEH

  1. Mengangkat anak dengan menarik tangannya. Angkat anak dengan memegang bawah tangannya (di ketiak)
  2. Jangan sentap atau tarik tangan anak dengan kuat
  3. Jangan menghayun anak dengan memegang tangan mereka

Sumber: Ahmad Luqman Bukhari

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!