Panduan Gigi Sihat Untuk Si Kecil Anda Harus Tahu

lead image

Tambahkan kecomelan si kecil anda dengan panduan gigi sihat untuk anak-anak yang kami kongsikan di sini. Ianya bukan sahaja memastikan gigi tampil putih dan sihat, malah menjaga keseluruhan kesihatan mulut dan badan anak anda!

Anak kecil sememangnya comel. Namun, tahap kecomelan itu boleh digugat oleh senyumannya sendiri. Kenapa? Apabila si manja tersengih, maka akan kelihatanlah dua barisan gigi yang rosak, kuning, berlubang, dan rongak.

Jadi untuk memastikan hal ini tidak terjadi kepada anak anda, amat penting untuk kita mula menjaga gigi mereka sejak dari kecil lagi. Ada beberapa panduan gigi sihat yang perlu diketahui oleh ibu bapa.

Ketahui Masalah-Masalah Gigi Anak Kecil

Selalunya, bayi yang baru tumbuh gigi dan kanak-kanak sehingga usia 6 ke 7 tahun mempunyai gigi susu. Anda mungkin menyangka yang tidak ada apa perlu dirisaukan tentang gigi anak-anak anda. Yelah, gigi-gigi susu ini akan luruh juga akhirnya untuk memberi ruang pada gigi kekal.

Sebenarnya itu adalah pemahaman ibu bapa yang kurang tepat. Pertamanya, ada beberapa jenis penyakit gigi susu yang boleh terkena pada anak-anak anda. Antaranya ialah:

  1. Plaque – Masalah plaque pada gigi adalah satu masalah biasa pada anak-anak. Plaque adalah satu lapisan keras yang menyelaputi gigi anak anda. Plaque ini mempunyai bakteria dan akan menyebabkan gigi mudah terhakis. Lapisan ini sangat keras dan hanya boleh dirawat dengan bantuan doktor gigi. Jika tidak dirawat awal, ia akan membawa kepada masalah gigi yang lain, iaitu kaviti.
  1. Kaviti – Kaviti adalah satu masalah gigi yang sering berlaku kepada anak-anak kecil. Kaviti adalah lubang-lubang pada gigi, terhasil akibat serangan asid dari bakteria pada gigi. Jika tidak dikawal, anak-anak kecil akan mengalami masalah untuk mengunyah dan boleh hilang selera makan.
gum infection periodontal disease 1018x1024 Panduan Gigi Sihat Untuk Si Kecil Anda Harus Tahu

Source: Kidsdentalonline.com

  1. Gingivitis – Gingivitis pula adalah sejenis masalah gusi. Jika anak anda tidak di ajar cara memberus gigi yang betul dan sempurna, maka ada kebarangkalian untuk gingivitis terjadi. Gusi akan menjadi merah, membengkak dan sakit. Selain mengganggu rentak makan si kecil, ia juga boleh menyebabkan gigi susu anak anda luruh sebelum waktunya!

Selain itu, ada juga masalah gigi yang lain seperti gigi berwarna coklat. Menurut MyKoolSmiles, ada banyak sebab kenapa ia boleh terjadi. Antaranya, masalah pereputan, terlebih pengambilan fluorida dan masalah caries akibat gaya pemakanan yang tidak sihat.

Kenapa Gigi Anak Anda Rosak?

Sebelum kami berkongsikan cara-cara untuk memastikan gigi anak anda kekal sihat dan bersih, jom kita tengok antara sebab kenapa gigi anak-anak kita rosak. Sememangnya, gaya pemakanan dan cara memberus gigi yang salah adalah antara faktor utama kenapa gigi si kecil anda boleh menjadi kuning, berwarna coklat, dan berlubang.

  • Seperti yang kita semua tahu, anak-anak kecil sangat suka makan snek. Jika tidak di kawal, mereka akan membina habit makan tidak sihat seperti ingin selalu minum air jus dari kotak, makan biskut yang manis, menghabiskan sebekas aiskrim, dan makan terlalu banyak kanji.
  • Kalau anda hendak tahu, makanan bergula dan kaya dengan kanji akan bersatu dengan bakteria di dalam mulut untuk menghasilkan asid. Asid ini kemudiannya akan memberi kesan negatif kepada enamel gigi dan akhirnya menyebabkan kaviti, atau gigi berlubang.
  • Selain daripada cara pemakanan yang tidak sihat, gigi si kecil juga boleh rosak akibat kurang pengambilan mineral fluorida, fosforus dan kalsium. Selain daripada memperoleh mineral ini daripada ubat gigi, nutrien yang mencukupi daripada pemakanan juga penting.
 Panduan Gigi Sihat Untuk Si Kecil Anda Harus Tahu

Source: Pexels.com

  • Ada si kecil yang tidak suka untuk memberus gigi. Mereka mungkin berasa tidak selesa apabila berus gigi dimasukkan ke dalam mulut. Jadi, acara harian menggosok gigi setiap pagi akan berubah menjadi acara ‘wrestling’ antara si ibu dengan si kecil. Maka, langkah yang lebih mesra kanak-kanak patut di ambil untuk menggalakkan anak-anak suka memberus gigi.
  • Kalau anak anda suka memberus gigi, tahniah! Tetapi, anda perlu tahu yang anak-anak juga mudah rosak giginya jika cara memberus gigi itu tidak betul. Apabila pemberusan itu tidak meliputi semua bahagian gigi – depan, belakang, atas dan bawah – maka akan masih ada bakteria yang membiak di dalam mulut.

Panduan Gigi Sihat – Cara Menjaga Kesihatan Mulut

Jika anak anda mula menampakkan tanda-tanda gigi rosak seperti yang dinyatakan di atas, jangan risau. Masih belum terlewat untuk membetulkan keadaan. Jom kita tengok bagaimana caranya untuk menjaga kesihatan mulut dengan melihat panduan gigi sihat di bawah ini.

1.     Beri galakan untuk memupuk minat anak anda dalam menjaga gigi

panduan gigi sihat Panduan Gigi Sihat Untuk Si Kecil Anda Harus Tahu

Source: Mouthhealthy.org

Antara langkah penting dan terawal dalam memastikan gigi anak anda kekal sihat ialah memupuk minatnya terlebih dahulu. Tidak guna juga berhabis wang membeli set berus gigi atau rawatan gigi, jika si kecil itu sendiri tidak suka akannya.

Antara cara mudah untuk menggalakkan anak anda adalah dengan melibatkan dirinya dalam aktiviti tersebut. Biarkan dia memilih berus giginya sendiri. Mungkin juga dia tidak suka beberapa perisa ubat gigi. Maka, dalam kes ini, beri dia peluang untuk memilih ubat gigi kesukaannya.

Dengan cara ini, si kecil akan lebih bersemangat dan teruja untuk mencuba ‘gajet’ berus+ubat gigi yang terbaru itu. Yang pastinya, pastikan berus anak anda itu jenis ‘soft’ dan ubat gigi pilihannya ada mengandungi fluorida. Dan, tukar berus gigi si kecil setiap 3 bulan untuk mengelak pembiakan bakteria pada berus.

2.     Ajar cara menggosok gigi kepada anak anda dengan betul

Ada beberapa langkah menggosok gigi dengan betul yang telah disarankan oleh pakar gigi. Antaranya ialah:

  • Letakkan ubat gigi bersaiz kacang pea sahaja pada berus gigi. Tidak perlu mengikut iklan di mana modelnya meletakkan ubat sepanjang berus berkenaan (banyak pakai, cepat habis, beli lagi – nampak tak? ini semua strategi marketing).
 Panduan Gigi Sihat Untuk Si Kecil Anda Harus Tahu

Source: Pexels.com

  • Berus bahagian dalam gigi terlebih dahulu secara lembut dan gerakkan berus ke depan dan ke belakang berulang kali.
  • Kemudian, berus bahagian luar gigi pula. Juga secara lembut dan digerakkan berus ke depan dan belakang beberapa kali.
  • Seterusnya, berus permukaan atas gigi (bahagian mengunyah) secara lembut dan perlahan-lahan. Gerakkan ke depan dan ke belakang.
  • Berus juga bahagian hadapan gigi – atas dan bawah – berulang kali. Guna hujung berus untuk memberus ruang antara gigi.
  • Jangan lupa untuk turut memberus gusi dan lidah.

Jadikan ia satu habit anak-anak dan buatkan aktiviti menggosok gigi ini menyeronokkan buat si kecil. Apabila anak anda mula mencecah umur 4 atau 5 tahun, mungkin ia satu idea yang baik untuk mula mendedahkannya dengan aktiviti flossing.

3.     Cara Pemakanan yang Betul

Panduan gigi sihat juga meliputi penjagaan mulut dari dalam – iaitu apa yang kita makan. Kurangkan makanan bergula dan berkanji. Jika mereka berkeras juga untuk makan makanan manis kegemaran mereka, contohnya aiskrim, cuba untuk menggabungkannya dengan makanan utama yang bernutrien seperti epal atau roti. Sekurang-kurangnya, gabungan makanan ini akan membantu mengurangkan tahap gula yang tertinggal dalam mulut.

people eyes playing young Panduan Gigi Sihat Untuk Si Kecil Anda Harus Tahu

Source: Pexels.com

Selain itu, ada anak kecil yang menjadikan habit minum air manis dari dalam botol sebelum waktu tidur. Ini juga patut dielakkan kerana air manis itu akan menggalakkan plaque akibat gula yang teringgal di dalam gigi. Galakkan juga amalan menggosok gigi sebelum tidur (lagi sekali, make it fun!).

Banyakkan juga minum air masak kerana ia turut membantu mengumurkan sisa makanan pada gigi si kecil. Antara makanan lain yang sangat sesuai untuk kesihatan gigi anak-anak adalah:

  • Brokoli (boleh dikisar dan dijadikan sup berkrim)
  • Yogurt (boleh dibuat puding)
  • Susu yang kaya kalsium dan kurang ditambah gula
  • Makanan berasaskan protein (ikan, telur, kekacang, dan daging)
  • Buah-buahan (dipotong kecil jika anak anda masih kecil untuk mengelakkan dari tercekik)

Secara asasnya, pemakanan yang seimbang sudah cukup untuk memastikan gigi anak-anak kekal sihat. Manfaatnya bukan sahaja untuk gigi, malah kesihatan fizikal secara menyeluruh. Yang paling utama, ibu dan bapa perlu kreatif dalam menghasilkan resipi masakan yang enak dan digemari anak-anak.

Kalau anda hendak tahu, ada beberapa makanan yang doktor gigi tidak gemar.

  • Air berkarbonat
  • Jus buah berkotak (sangat tinggi kandungan gula!)
  • Gula-gula kunyah/ chewing gum
  • Keropok
  • Karamel

4.    Jadikan Pemeriksaan Gigi Satu Rutin Tahunan

Langkah ini selalunya sering dilupakan atau diabaikan oleh ibu bapa. Namun, jika anda inginkan anak anda kekal comel dengan barisan gigi yang cantik dan sihat, maka perubahan perlu dilakukan. Jadikan pemeriksaan gigi anak-anak satu rutin tahunan.

Anda boleh memilih untuk melawat doktor gigi dua kali setahun atau sekali setahun. Untuk lebih mudah ingat, jadikan rutin ke klinik gigi semasa hari jadi si kecil. Lagipun, hadiah hari jadi yang diberikan itu bolehlah dibuat sebagai ‘rasuah’ untuk si kecil supaya pergi berjumpa doktor gigi.