Pembantu rumah Indonesia yang didera tidur dengan anjing akhirnya maut
Terkejut mendengar kisah pembantu rumah didera majikan ini. Dia sudah didera sejak tahun 2014! Bayangkan penyeksaan yang terpaksa dilaluinya...
Lagi kes pembantu rumah didera majikan. Jika sebelum ini, kami ada menyampaikan bagaimana terdapat pelbagai majikan yang sengaja mendera pembantu rumahnya dalam pelbagai cara.
Kali ini, kes pembantu rumah didera majikan telah mengakibatkan kematian pembantu rumah itu!
Menurut laporan Malay Mail Online, pembantu rumah warga Indonesia itu bukan saja didera, malah dia dipaksa untuk tidur di luar rumah bersama anjing peliharaan majikannya!
Insiden ini berlaku di Pulau Pinang. Pembantu rumah itu bernama Adelina dan baru saja berusia 26 tahun.
Kes pembantu rumah didera majikan sehingga maut
Berita yang menggemparkan ini terbongkar apabila terdapat orang yang memberi laporan kepada MP Bukit Mertajam, iaitu Steven Sim.
Pihak MP itu kemudiannya pantas menghubungi kumpulan hak warga asing – Tenaganita untuk mendapatkan bantuan.
Malah, pihak MP juga berkesempatan menghubungi pihak polis dan membuat laporan.
Setibanya di rumah majikan berkenaan, mereka terkejut melihat keadaan Adelina. Adelina pantas dibawa ke Hospital Bukit Mertajam.
Namun sehari di tahan di wad, Adelina maut dan tidak dapat diselamatkan.
Keadaan pembantu rumah didera majikan ini sungguh parah!
Bercakap kepada Malay Mail tentang insiden yang menyayat hati ini, pihak Tenaganita menegaskan post mortem tetap akan dijalankan untuk mengenalpasti punca kematian.
Adelina dilaporkan terlalu takut untuk bercakap tentang apa yang terjadi padanya. Dia hanya mendiamkan diri dan kelihatan sungguh ketakutan ketika dibawa ke hospital.
Kenyataan rasmi dari MP DAP itu mendedahkan selepas mereka mendapat maklumat dari pihak tempatan, mereka terus menuju ke rumah terbabit.
Setibanya di rumah yang terletak di Medan Kota Permai 2 itu, mereka terkejut melihat Adelina yang sedang tidur di luar rumah bersama anjing.
Adelina mempunyai luka parah di kawasan tangan dan kakinya. Malah, dia juga mempunyai lebam di muka.
Majikan nafi mendera pembantu rumah
Apabila pihak MP menyoal majikan tersebut, mereka menafikan sekeras-kerasnya tuduhan penderaan ke atas mangsa.
Menurut majikannya, Adelina telah menyebabkan dapur mereka tersumbat. Maka, mereka meminta Adelina menggunakan bahan kimia untuk membuang sumbatan.
Walaubagaimanapun, Adelina telah tidak sengaja tertuang bahan kimia itu ke badannya. Itulah sebab dia tercedera.
Anak perempuan majikan itu mengatakan mereka turut memberi iodin dan ubat untuk disapu pada luka mangsa.
Tapi mangsa seolah-olah tidak pandai menjaga dirinya, mengakibatkan kesan luka itu semakin parah.
Menurut laporan pihak majikan itu, Adelina hanya mula tidur di luar selama sebulan lalu. Tapi pendedahan dari pihak jiran menjelaskan sebaliknya.
Mereka telah nampak Adelina tidur di luar bersama anjing peliharaan sejak sebulan lebih lalu. Malah, Adelina sebenarnya mungkin sudah didera sejak mula bekerja pada tahun 2014 lalu!
Pihak polis telah menahan majikan terbabit beserta adik lelakinya bagi meneruskan siasatan. Kedua-dua tertuduh menolak pertuduhan mendera pembantu rumah mereka.
Pembantu rumah juga ada hak mereka
Majikan diingatkan yang setiap pembantu rumah domestik atau pekerja imigran masih mempunyak hak asasi manusia yang utama.
Setiap majikan haruslah menjaga pekerja asing mereka, terutamanya jika pekerja asing itu mempunyai anak.
Sebagai seorang majikan, anda harus memastikan pembantu rumah anda itu makan dan berehat dengan mencukupi. Dia juga memerlukan ruangnya yang tersendiri.
Itu semua merupakan hak asasi manusia. Jangan menafikannya pada mana-mana manusia hanya semata-mata kerana menganggap mereka “warga asing” dan hanya “pembantu rumah”.
Tanpa mereka, siapa yang akan menguruskan rumah anda?
Sumber rujukan: NST, Malay Mail
Kredit gambar: Penang Kini
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Wanita Dera Pembantu Rumah Hingga Lunyai Dengan Lesung Batu Didapati Bersalah