Pengantin kanak-kanak berusia 8 tahun maut pada malam pangantin

Pengantin kanak-kanak berusia 8 tahun maut pada malam pangantin

Sedang kanak-kanak lain seronok bermain-main dengan kawan-kawan sebaya, ada di antara meereka yang terpaksa menjadi pengantin kepada lelaki dewasa berusia sebaya atau lebih tua dari bapa sendiri.

pengantin kanak-kanak

Di Malaysia, kanak – kanak atau golongan peringkat bawah umur merupakan mereka yang berusia kurang 18 tahun. Menurut laporan, setiap tahun dianggarkan lebih 14 juta kanak-kanak perempuan telah dikahwinkan sebelum usia mereka mencecah 18 tahun.

Di negara membangun, seorang daripada 3 kanak-kanak perempuan berkahwin pada usia 18 tahun, manakala seorang daripada 9 orang pula berkahwin pada usia 15 tahun dan ada juga yang berkahwin pada usia semuda lapan dan sembilan tahun. Isunya sekarang, perkahwinan kanak-kanak ini bukan sahaja memberikan impak negatif kepada kesihatan mereka, malah memberi kesan juga kepada pembentukan sahsiah diri secara amnya dan jati diri bangsa serta Negara secara keseluruhannya.

Menurut Al-Arabiya, difahamkan kebanyakan keluarga miskin di Yaman mengahwinkan anak perempuan mereka pada usia yang muda kerana ingin menjimatkan kos selain mahu mendapatkan wang hantaran bagi menyara hidup pada masa depan. Justeru, kurang pendidikan, mewarisi tradisi ibu bapa dan tiada kepentingan hak asasi manusia antara punca perkahwinan kanak-kanak ini semakin berleluasa di Yaman.

pengantin kanak-kanak

Baru – baru ini kita telah dikejutkan dengan berita kematian seorang pengantin kanak – kanak perempuan yang berusia 8 tahun dari Yaman. Ketika kanak-kanak seusianya sedang seronok bermain dan menelaah pelajaran, dia terpaksa menamatkan zaman itu untuk bergelar isteri kerana telah dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki pilihan kedua ibu bapanya yang berusia 40 tahun.

Namun begitu, dia telah meninggal dunia akibat dari pendarahan dalaman  yang teruk dan rahimnya juga turut pecah selepas melakukan persetubuhan pertama dengan suaminya pada malam pengantinnya.

Risiko kesihatan yang dialami oleh pengantin kanak – kanak ini banyak sehingga ada yang boleh membawa mereka kepada kematian. Perkembangan organ seks dan sistem peranakan yang tidak sempurna boleh mengakibatkan rahim pecah dan pendarahan dalaman sekali gus meningkatkan risiko mengandung dan ketika proses kelahiran.

Pendarahan dalaman yang teruk dari organ-organ dalaman dan bahagian-bahagian berdekatan boleh mengakibatkan kehilangan darah secara drastik dan ‘hypovolumic shock’ sehingga boleh membawa maut.

Justeru, kanak-kanak perempuan yang melahirkan bayi sebelum usia 15 tahun berdepan dengan risiko kematian ketika bersalin lima kali ganda lebih tinggi berbanding dengan gadis yang sudah mencapai usia 20 tahun. Disamping itu, risiko untuk mendapat kecederaan fistula obstetrik serta gangguan emosi selepas bersalin juga tinggi.

Nada Al-Ahdal, 11 tahun, merupakan salah satu anak perempuan yang beuruntung kerana dapat melepaskan dirinya dari dipaksa berkahwin. Beliau melarikan diri ke rumah pakciknya. Inilah kata-kata seorang pengantin kanak-kanak. Dalam video ini, beliau bertanya, "Apakah salah yang kita (kanak-kanak) telah lakukan? Bagaimana dengan kemurniaan zaman kanak-kanak?"

pengantin kanak-kanak

Di Malaysia, tanah air sendiri

Di sini juga terdapat beberapa kes perkahwinan kanak – kanak bawah umur, antaranya:

  1. 2010 : kanak - kanak berusia10 tahun berkahwin dengan lelaki 40 tahun di Pasir Mas, Kelantan.
  2. Mac 2010: Kanak – kanak berusia 11 tahun dikahwinkan bapanya dengan lelaki berusia 41 tahun di Kampung Jelawang, Kuala KraiKelantan. Namun begitu, perkahwinan tersebut adalah tidak sah mengikut hukum syarak dan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.

Februari lalu, gempar berita mengenai kes rogol dan kahwin yang berlaku di Kota Kinabalu, Sabah. Kes ini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan seorang lelaki berusia 40 tahun yang telah pun berkahwin dan mempunyai seorang isteri serta 4 orang anak. Menurut laporan akhbar Berita Harian bertarikh 24 Mei 2013, lelaki tersebut telah menyogok bapa mangsa dengan wang tunai sebanyak RM 5000 sebagai ganti rugi dan bagi mendapatkan kebenaran untuk berkahwin dengan mangsa sekaligus menutup kes tersebut. Siasatan dan perbicaraan masih lagi dijalankan dan lelaki tersebut telah diikat jamin sebanyak RM 2000 oleh seorang penjamin.

Wajarkah bagi anda mangsa yang dirogol dibenarkan untuk berkahwin dengan perogol tanpa diadili dengan sepatutnya?  Trauma dirogol terlalu berat untuk dipikul oleh seorang kanak – kanak perempuan berusia 12 tahun, inikan pula berkahwin dengan perogol berkenaan. Disebabkan rasa prihatin terhadap kes ini, Badan Bukan Kerajaan seperti Joint Action Group for Gender Equality (JAG) menegaskan agar:

  1. Hakim Syarie berkenaan menolak permohonan perkahwinan bagi kanak-kanak 13 tahun tersebut, berdasarkan ketidakupayaannya memberi kerelaan ataupun tahap mental kanak-kanak menjadikannya tidak sesuai untuk berkahwin.
  2. Pihak Pendakwa Raya mempertimbangkan semula amalan menarikbalik pertuduhan rogol hanya kerana pihak-pihak berkahwin, terutamanya apabila jelas wujud fakta rogol bawah umur, berdasarkan perbezaan umur dan ketidakseimbangan kuasa yang amat nyata di antara tertuduh dan mangsa.
  3. Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) melarang sebarang bentuk perkahwinan dan pertunangan kanak-kanak. Memandangkan negara kita telah bersetuju untuk mengikuti prinsip CEDAW, kerajaan Malaysia perlu memastikan kesemua undang-undang tempatan sejajar dengan konvensyen antarabangsa ini.
  4. Mangsa dan keluarga perlu diberikan perlindungan, kaunseling, sokongan dan bantuan segera dari pihak berwajib. Pelindung Kanak-kanak perlu menggunapakai sepenuhnya kuasa mereka di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 untuk bertindak bagi kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut.

pengantin kanak-kanak

Kesimpulannya, kita ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk melindungi dan menjaga keperluan anak – anak dengan sebaiknya. Janganlah biarkan diri kita diperhambakan wang ringgit sehingga menggadaikan masa depan dan hak anak – anak kita. Hak kepada yang berhak. Hubungi pihak berkenaan untuk bantuan:

  • Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) 03-7956 3488
  • All Women Action Society of Malaysia (AWAM) 03-7957 0224
  • BEFRIENDERS 03-7956 8144
  • P.S. The Children 03-74931303
  • Pusat Kebahagiaan Wanita Dan Remaja (KEWAJA) 03-61857736, 013-3384868 - 24 Jam

 

Rujukan:

http://sg.theasianparent.com/8-year-old-child-bride-dies-from-internal-bleeding-after-her-wedding-night/

http://www.awam.org.my/web/wp-content/uploads/2012/11/Lindungi-Kanak2-Dari-perogol-dan-pendera-seksual.pdf

http://ms.wikipedia.org/wiki/Perkahwinan_bawah_umur

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

app info
get app banner