Pening kepala adalah gejala biasa yang dialami oleh kebanyakan ibu hamil. Ia boleh jadi merbahaya apabila anda keluar atau duduk di rumah sendirian.
Namun, adakah anda tahu apa yang perlu dilakukan jika anda berasa pening ketika hamil?
Adakah cara untuk mengelakkan anda daripada pengsan dan terjatuh? Ingat, pengsan semasa hamil boleh menjadi sangat bahaya untuk ibu dan bayi dalam kandungan, seperti kejadian ini.
Pening Kepala Ketika Hamil: Wanita Pengsan & Jatuh Atas Landasan LRT
Sebelum ini tular di media sosial kejadian seorang ibu hamil tiba-tiba pengsan dan jatuh di landasan LRT, Stesen Damai. Namun wujur wanita itu dapat diselamatkan kerana terdapat sistem Hentian Kecemasan Pencerobohan Platform.
Jadi, bila ada impak lebih dari 7 kg di paltform, sistem ini akan menghentikan saluran elektrik pada sistem LRT. Ketua Eksekutif Landasan Rapid, Khairani Mohamed menerangkan apabila sistem mengesan gangguan di trek, ia akan menghentikan keretapi secara automatik.
Polis bantuan Prasarana dan pegawai operasi stesen telah mengarahkan agar kesemua penumpang untuk mengosongkan platform bagi memudahkan urusan menyelamat. Wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut ditemani oleh pegawai dari RapidKL.

Ibu hamil ini beruntung stesen LRT tersebut mempunyai kesemua sistem keselamatan untuk menghalang potensi kemalangan. Walaubagaimanapun, jika dia berada di tempat dan masa yang salah, mungkin ia akan berakhir dengan tragik.
Bilakah Pening Kepala Biasanya Bermula Semasa Kehamilan?
Kebanyakan wanita hamil akan mengalami gejala pening kepala bermula diantara minggu ke-12 dan beberapa minggu terawal trimester kedua kehamilan.
Walaupun ia perkara normal, namun kesannya cukup membahayakan ibu hamil dan anak dalam kandungan sekiranya membuatkan si ibu pengsan dan sebagainya seperti kejadian yang berlaku di atas.
Adakah Pening Adalah Tanda Awal Kehamilan yang Biasa?

Pening biasanya bukan salah satu tanda awal kehamilan, tetapi ia boleh menjadi gejala awal kehamilan jika gula dalam darah anda rendah akibat mual pada waktu pagi.
Anda juga mungkin berasa pening sebagai tanda kehamilan walaupun sebelum haid terlepas jika anda tidak makan dengan banyak kerana berasa loya, yang kadang-kala berlaku dalam beberapa hari selepas konsepsi.
Punca Pening Ketika Hamil
Punca sakit kepala serta pening yang dialami oleh ibu hamil adalah:
- Hormon yang meningkat menyebabkan saluran darah membesar semasa hamil. Ini untuk meningkatkan perjalanan darah pada bayi dan menurunkan tekanan darah. Hasilnya, pengurangan darah mengalir ke otak. Ini adalah punca utama anda pening.
- Punca lain adalah gula dalam darah rendah apabila badan anda cuba untuk melaraskan perubahan metabolik.
- Ibu hamil yang menghidap anemia atau urat varikos adalah lebih cenderung untuk pening ketika hamil.
- Pada trimester kedua, janin yang membesar meletakkan tekanan pada saluran darah yang menyebabkan anda pening.
- Pada peringkat akhir kehamilan, berat bayi mungkin menekan vena cava ketika anda baring terlentang. Vena cava adalah urat besar yang membawa darah ke jantung dari bahagian bawah tubuh.
Bolehkah Saya Mengelakkan Pening Ketika Hamil?

Kerap sakit kepala atau pening sememangnya tidak menyenangkan buat ibu hamil. Namun, terdapat beberapa cara atau tips untuk anda mengelakkan gejala ini berlaku.
#1. Bergerak perlahan-lahan
Jangan bangun dengan terlalu cepat sekiranya anda sedang berbaring atau duduk kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah anda menurunkan dan menyebabkan anda pening kepala secara tiba-tiba. Jadi, bangun secara perlahan-lahan dari kedudukan anda itu dan ambil masa anda.
#2. Makan makanan seimbang
Pastikan anda mengambil diet yang sihat dan lengkap semasa kehamilan, dengan campuran protein dan karbohidrat kompleks (seperti roti bijirin penuh atau pasta) pada setiap hidangan untuk mengekalkan paras gula dalam darah yang stabil.
#3. Ambil snacking
Makan beberapa hidangan kecil sepanjang hari untuk mengelakkan penurunan gula dalam darah anda. Bawa snek kehamilan yang sihat bersama anda untuk meningkatkan gula dalam darah anda. Antara pilihan snack yang baik adalah kismis, sekeping roti, buah atau keropok gandum.
#4. Minum banyak air
Pastikan anda minum air kosong yang mencukupi kerana pening juga boleh menjadi tanda anda sedang mengalami dehidrasi. Sebaiknya ambil 8 hingga 12 cawan air sehari, dan lebih banyak jika cuaca panas atau anda sedang bersenam.
#5. Pakai pakaian yang sesuai
Pakai pakaian yang tidak terlalu ketat dan sesuai mengikut keadaan cuaca.
#6. Elakkan tidur telentang
Pada trimester kedua dan ketiga kehamilan, sebaiknya elakkan tidur telentang kerana rahim anda yang semakin membesar boleh menekan vena cava (urat utama yang membawa darah kembali ke jantung dari bahagian bawah badan anda). Keadaan itu boleh mengganggu peredaran optimum dan menyebabkan rasa pening.
#7. Hirup udara segar
Menghabiskan terlalu banyak masa di ruang tertutup dan terlalu panas seperti bas atau pejabat yang sesak boleh menyebabkan rasa pening.
Jadi untuk mengelakkan anda rasa pening, cuba berjalan kaki sekurang-kurangnya 5 minit di luar untuk mendapatkan udara segar. Selain itu, ia juga boleh membantu melegakan simptom kehamilan lain seperti sembelit dan kaki bengkak.
Bilakah Pening Semasa Mengandung Biasanya Berakhir?
Sebaik sahaja pening bermula, gejala ini selalunya akan berlaku sepanjang tempoh kehamilan anda. Tetapi ia sepatutnya boleh reda selepas bayi anda dilahirkan.
Cara Elak Pengsan Akibat Pening Ketika Hamil
Pengsan ketika hamil adalah perkara yang agak biasa namun mempunyai risiko yang besar. Jadi adalah lebih baik untuk anda mengambil langkah berjaga-jaga jika anda mengalami pening.
Perkara yang penting untuk anda ingat ialah jangan berdiri atau baring dengan cepat. Ini adalah beberapa tip yang perlu anda ingat jika anda rasa hendak pitam.
- Rendahkan kepala
- Duduk atau baring
- Tarik nafas dalam-dalam
- Longgarkan baju yang ketat
- Duduk dekat dengan tingkap yang terbuka
- Makan makanan yang kaya zat besi
Dengan tip berguna ini, ia mungkin boleh mengelakkan anda dari situasi yang bahaya atau tidak menyenangkan termasuklah sakit kepala berdenyut sepanjang hari.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Berat Badan Ideal Wanita Hamil: Berapa Kilogram Patut Bertambah?
Baca juga: Bahaya Merokok Ketika Hamil: Risiko Susu Badan Kering Lepas Bersalin, Kecacatan Otak Bayi
Baca juga: Kejang Perut Melampau Awal Kehamilan, Salah Satu Tanda Hamil Ectopic Atau Luar Rahim!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!