5 Perkara Pakar Pediatrik Percaya Yang Para Ayah Patut Tahu

5 Perkara Pakar Pediatrik Percaya Yang Para Ayah Patut Tahu

Pakar pediatrik percaya yang berikut adalah 5 perkara yang para ayah patut tahu dan amalkan untuk menjadi bapa yang terbaik buat anak-anak.

Ramai pakar pediatrik, atau doktor pakar kanak-kanak, bersetuju bahawa seorang ayah yang baik akan memberi kesan positif kepada kesihatan dan pembesaran anak.

Tugas seorang ayah itu bukanlah hanya sebagai “pembantu ibu” dalam hal penjagaan anak-anak. Figura bapa turut memainkan peranan penting juga!

Akademi Pediatrik Amerika telah menjalankan kajian selama berpuluh tahun dan telah memberikan saranan bagaimana seorang ayah itu mampu memainkan peranan bapa pada tahap maksimum.

“Tugas seorang ayah itu sering berubah dan berkembang, seiring dengan zaman.”

Itu penjelasan Raymond Levy, seorang ahli psikologi klinikal dari Hospital Massachusetts.

Kajian tentang tugas dan peranan ayah

Salah satu kajian yang dianalisa oleh Akademi ini telah disiarkan dalam jurnal Development and Psychopathology pada tahun 2012.

Kajian ini mendapati bahawa anak perempuan lebih terdedah kepada seks rambang dan mengandung sebelum waktunya, akibat tiadanya figura bapa dalam hidup mereka.

Lagi satu kajian menyatakan bahawa anak-anak yang membesar bersama ayah yang baik dan yang sering meluangkan masa bersama akan kurang mengalami masalah tingkah laku dan psikologi.

Anak yang rapat dengan si ayah akan lebih berdikari, bijak, dan peka pada hal sosial.

5 peranan ayah dalam hidup anak

Ternyata, wahai ayah sekalian, kehadiran anda dalam hidup anak-anak sangat mempengaruhi tumbesaran psikologi dan perangai mereka.

Oleh sebab itulah, pakar pediatrik menyarankan anda mengetahui dan mengamalkan 5 perkara berikut:

1. Menjadi role model yang terbaik
tugas ayah

Sumber: Lifeway.com

Ayah sekalian, anak-anak memandang anda dengan pandangan mata yang ingin mencontohi.

Anda perlu memikirkan bagaimana anda ingin mempengaruhi mereka; sama ada secara positif atau sebaliknya.

Sifat amanah, tegas, bertanggungjawab, dedikasi, penyayang, bijak, dan soleh itu akan turun kepada anak, jika anda mengamalkannya dahulu!

2. Banyakkan bersembang dengan anak-anak

Kita selalu dibesarkan dengan pemikiran bahawa seorang ayah itu adalah lelaki yang serius dan tidak banyak bercakap.

Sudah tiba masanya untuk kita mengubah gaya yang kurang mesra sebegini. Sebenarnya, dengan memperbanyakkan bersembang dengan anak-anak, mereka akan mudah rapat dengan anda.

Ia menunjukkan yang anda ingin meluangkan masa dengan mereka dan mengetahui tentang hari-hari yang dilaluinya.

Malah, satu kajian yang disiarkan dalam Journal of Applied Developmental Psychology pada tahun 2006 menyatakan bahawa kecekapan bahasa anak juga turut dipengaruhi oleh percakapan atau kosa kata si ayah!

3. Kekal sihat demi anak-anak
peranan ayah

Sumber: Dreamstime

Amat mudah untuk kita mengambil berat kesihatan anak-anak, tetapi mengambil ringan isu kesihatan diri sendiri.

Sebab itulah, ada di kalangan ayah yang senantiasa merokok, kurang bersenam, tidak menjaga makan, dan mengamalkan segala aktiviti dan gaya hidup kurang sihat yang lain.

Tahukah anda bahawa ayah yang sihat dan gembira cenderung untuk mempunyai anak yang sihat dan gembira juga.

Maka, pakar pediatrik menyarankan anda untuk makan secara sihat, kerap bersenam dan lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Kalau boleh, berhenti merokok juga – demi anak-anak!

4. Jaga kesihatan mental

Apabila bercakap tentang kesihatan mental, ia bukanlah mengenai isu gila atau sakit mental semata-mata.

Kesihatan mental turut meliputi kesihatan emosi hasil daripada pengurusan stress atau tekanan yang baik.

Ayah sekalian, adakah anda sering pulang ke rumah dari pejabat dalam keadaan letih dan marah-marah? Adakah tekanan di ofis di bawa pulang ke rumah dan dilempiaskan pada anak-anak?

Amat penting untuk anda menangani kestabilan emosi anda. Kajian yang diterbitkan dalam Archives of Pediatric and Adolescent Medicine menyatakan yang sebanyak 20% bapa cenderung untuk mengalami depresi apabila anak mereka mencecah 12 tahun!

5. Banyakkan bermain dengan anak-anak
peranan ayah pada anak

Sumber: Dreamstime

Adakah anda seorang ayah yang sering bermain dan bergurau dengan anak? Jika ya, bagus teruskan!

Jika tidak, apa kata anda mulakannya hari ini. Para pengkaji telah menerangkan bahawa ayah yang bermain dengan anak akan menghasilkan insan yang gembira dan penyayang.

Ini kerana, ketika bermain dengan ayah, tahap oksitoksin (juga dikenali sebagai hormon cinta) dalam badan mereka akan meningkat.

Dengan bermain bersama anak, anda juga memupuk rasa eksplorasi, berdikari dan rasa selamat dalam diri mereka.

Jadi, ayah sekalian, tidak perlu serius sentiasa ya. Mari bermain dengan anak, ianya memberi banyak manfaat buat pewaris anda itu!

Sumber: The Asian Parent Singapore

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Ayah sebagai Superhero Anak-Anak

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Noor

app info
get app banner