Perkembangan Anak Bercakap, Membaca & Menulis, Yang Mana Dulu?

lead image

Sebagai ibu bapa, sejauh mana kita faham apa yang perlu difokusan oleh seorang kanak-kanak dalam perkembangannya? Bercakap, membaca dan menulis, mana dulu?

Perkembangan anak anda

Sudah menjadi lumrah ibu bapa hendak yang terbaik, apa saja tentang anak-anak.

Namun, berapa jelasnya kita sebagai ibu bapa faham dengan apa yang perlu dititik beratkan untuk mereka?

Dalam perkongsian ini, saya akan mengupas tentang perkembangan anak bercakap, membaca dan menulis. Mana yang harus diutamakan dulu?

Perkembangan Anak Bercakap, Membaca & Menulis, Yang Mana Dulu?

Puan Liyana, seorang pakar terapi dan juga pengurus di Impian Therapy Center telah berkongsi umur kritikal untuk setiap perkembangan ini. Mari kita lihat apakah perkongsiannya seperti di bawah.

Antara membaca, bercakap dan menulis, mana satu nak dimulakan dulu?

1. Bercakap

Usia KRITIKAL : 0-2 tahun
Ini elemen paling penting dlm kehidupan seorang manusia.

Bercakap penting untuk berkomunikasi tentang pemikiran dan perasaan supaya orang sekeliling tahu apa yang hendak disampaikan.

Mula bercakap dengan anak anda sejak mereka menjengah keluar melihat dunia, iaitu dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.

Perkembangan Anak Bercakap, Membaca & Menulis, Yang Mana Dulu?

Greet anak seperti bagi salam, ucap ‘hi’, cium dan peluk mereka. Sembang apa saja.

Mungkin anda akan nampak seperti tidak betul – masih duduk di wad pun boleh cakap seorang-seorang dengan anak. Siap buat eye contact!

Tapi, itulah benda pertama yang anda kena buat sejak anak lahir. Jangan lupa konsisten sampai anak berusia 2 tahun!

Selalu ibu bapa menganggap anak kenal ABC, 123 dan huruf jawi sebagai kemampuan bercakap. Anda salah!

Itu bukan bercakap. Bercakap tidak sama dengan mengenal huruf.

Bercakap adalah berkomunikasi. Kena ada eye contact, kena ada anak menjawab balik pertanyaan, sahut panggilan nama dari mak ayah dan bukannya menyebut saja.

MENGEJA bukan bercakap! MEMBACA bukan bercakap! MENGIRA bukan bercakap!

Bercakap kena ada eye contact, persefahaman di antara dua pihak, ekspresi dan intonasinya.

Bercakap adalah ada yang mendengar, ada yang balas balik. Pemberian gadget dan belajar di usia ini? Kalau boleh,elakkan!

2. Menconteng & melukis

Usia KRITIKAL: 1-3 tahun.
Penting untuk anak anda belajar memegang pensil, krayon atau berus lukisan untuk menconteng.

Kalau risau anak conteng dinding, belikan kertas mahjong,tampal kat dinding rumah. Kalau ada bajet lebih, catkan dinding dengan cat mudah padam. 

Perkembangan Anak Bercakap, Membaca & Menulis, Yang Mana Dulu?
Menconteng membantu anak mengekspresikan minda, menguatkan otot tangan dan membantu pembentukan jari memegang pensil (pencil grip).

Anda juga boleh wujudkan elemen menconteng atas pasir, tanah, atau dengan menggunakan batu atau ranting kayu.

Tak kisahlah conteng apapun, janji mereka menconteng. Jangan paksa mereka menulis. Ajar anak MELUKIS selepas MENCONTENG. 

Lukislah bentuk-bentuk yang ada di sekeliling kita seperti haiwan, tumbuhan, rumah, atau apa saja.

3. Mewarna

Usia KRITIKAL: 1-3 tahun.
Ajarlah mewarna di usia ini. Aktiviti mewarna membantu anak-anak membentuk garisan lurus, menegak, menyerong, membulat dan sebagainya.

Perkembangan Anak Bercakap, Membaca & Menulis, Yang Mana Dulu?

Kredit: Kisahsidairy.com

Janganlah disuruh mewarna lukisan yang terlalu sukar. Kalau boleh, elak mewarna lukisan yang ada dalam gadget juga.

Mewarna dalam gadget tidak membantu otot tangan. Di usia ini, tak payah risau kalau anak masih lagi tak pandai warna dalam garisan. 

Wujudkan konsep mewarna seawal mungkin. Tak payah tunggu sampai anak masuk sekolah baru nak mewarna.

4. Menulis dan membaca.

Usia KRITIKAL menulis: 4 tahun
Usia PERMULAAN mengenal huruf dan nombor: 4 tahun
Usia Permulaan membaca: 5 tahun ke atas.
Usia yang dikira LEWAT untuk boleh membaca: 11 tahun.

Perkembangan Anak Bercakap, Membaca & Menulis, Yang Mana Dulu?

Apabila anak anda sudah pandai menconteng dan mewarna, dia akan belajar untuk menulis.

Biasanya, mereka akan lebih senang menulis huruf dan nombor, walaupun masih BELUM KENAL huruf atau nombor tersebut.

Boleh ajar menulis dalam satu sesi, kemudian ajar mengenal huruf di sesi kemudiannya pada USIA 4 TAHUN! Ini usia yang paling awal! Belum terlewat lagi.

Jika kita ikut semua proses ini secara berperingkat, insyaAllah anak tiada masalah! Tak payah risau sangat.

Kalau kita ‘terbalikkan’ semua proses ni, akan ada akibatnya kerana telah melanggar fitrah perkembangan seorang manusia.

Jadi, ibu bapa akan lebih jelas tentang perkembangan apa yang mereka harus fokus mengikut usia anak.

Puan Liyana juga menjelaskan beberapa kunci penting dalam memastikan perkembangan anak tidak terbantut atau terganggu. 

Antaranya adalah:

  • penggunaan gajet terutama di usia-usia kritikal ini sangat memudaratkan dan akan mengganggu perkembangan anak.
  • pentingnya membiarkan anak belajar pegang pensil, berus lukis dan menconteng. Ini akan membantu imaginasinya serta membantu motor tangan memegang alat tulis.

    Perkembangan Anak Bercakap, Membaca & Menulis, Yang Mana Dulu?

    Foto ehsan: Pixabay

  • mewarna walaupun tidak mengikut garisan adalah penting dalam proses anak mengenal warna.
  • mengenal huruf, warna atau bentuk bukanlah bercakap.
  • Bercakap adalah komunikasi 2 hala di mana dua pihak faham dengan apa yang disampaikan. Bercakap juga memerlukan kontak mata, bahasa tubuh dan mimik muka.

Sekiranya tanda-tanda ini ada pada anak anda, anda boleh memaklumkan ia pada doktor:

  • sedikit atau tiada bunyi semasa bayi 
  • sedikit atau tiada kontak mata atau respon terhadap bunyi
  • kurang senyum atau ketawa di usia 6 bulan
  • tidak pandai menunjuk ke arah objek yang diminati pada usia 14 bulan
  • tidak memberi respon terhadap namanya di usia 15 bulan
  • tidak ada walau sepatah perkataan di usia 16 bulan
  • tidak memulakan komunikasi

Sumber: Facebook Liyana Raya, dan Parents

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Ajar Anak Anda Cara Menulis dan Membaca dengan Kaedah ‘Garam dan Dulang’

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android, sekarang!

Penulis

Aqma