Betul ke bayi sudah pandai fikir secara logik walaupun belum boleh bercakap?

Menurut kajian terbaru, bayi anda sudah pandai berfikir secara logik walaupun kemahiran untuk bercakap mereka belum berkembang lagi!

Pernahkah ibu bapa rasa hairan dengan perkembangan kognitif bayi anda? Contohnya, apabila mereka tiba-tiba buat muka berkerut seolah-olah mereka sedang berfikir dengan serius.

Benarkah si kecil anda sudah mencapai perkembangan kognitif yang membolehkannya untuk berfikir dan membuat kesimpulan? Kajian terbaru ada jawapan untuk semua soalan ini.

Kajian: Perkembangan kognitif bayi tidak bergantung kepada kemahiran bahasa

Satu kajian baru yang diterbitkan dalam majalah Science mendapati semua bayi mempunyai keupayaan untuk berfikir secara logik.

Penyelidik telahpun mengkaji sekumpulan bayi di antara umur 12 dan 19 bulan — fasa penting apabila perkembangan bahasa dan pertuturan bayi baru mula.

Mereka mendapati perkembangan kognitif bayi anda tidak terhad kepada perkembangan bahasa mereka. Jadi, biarpun mereka belum pandai bercakap, bayi anda sebenarnya sudah pandai berfikir secara rasional.

Menakjubkan bukan?

Pemikiran bayi dan logik

perkembangan kognitif bayi

Di dalam kajian itu, kanak-kanak ditunjukkan 2 objek yang berbeza: 1 patung dinosaur dan sekuntum bunga. Kedua-dua objek itu kemudian disembunyikan di belakang tadbir yang hitam.

Kemudian kanak-kanak ditunjukkan video sebuah cawan mencedok dan mengeluarkan patung dinosaur.

Dalam set eksperimen pertama, penyelidik mengalihkan tadbir hitam untuk mendedahkan hanya bunga yang tinggal.

Dalam set eksperimen kedua, penyelidik mengalihkan tadbir hitam untuk mendedahkan patung dinosaur yang tinggal.

Dari kedua-dua experimen di atas, penyelidik mendapati kanak-kanak ini telah membuat kesimpulan ada sesuatu yang tidak kena, walaupun mereka tidak dapat mengatakan apa-apa.

Hal ini menunjukkan walaupun mereka masih belum boleh bercakap, mereka sudah bijak berfikir secara rasional!

Pergerakan mata bayi

Para penyelidik juga telah menggunakan teknik “eye-tracking” untuk menentukan perkembangan kognitif bayi yang belum pandai bercakap.

Bayi akan merenung sesuatu apabila ada objek baru di sebalik tadbir hitam itu. Ini menunjukkan bayi dan kanak-kanak kecil boleh rasa keliru apabila ditunjukkan sesuatu yang baru atau yang tidak dijangka.

Para penyelidik juga mendapati anak mata kanak-kanak itu juga akan bertambah besar apabila ditunjukkan animasi yang dengan  hasil yang tidak logik. 

Walaupun kemahiran bahasa masih penting untuk perkembangan kognitif bayi, kajian ini menunjukkan bayi yang belum pandai bercakap tidak bermaksud bayi itu tidak menggunakan otak untuk berfikir secara rasional dan logik.

Pemikiran bayi dan perkembangan mindanya 

perkembangan kognitif bayi

Setakat ini, belum ada kajian dilakukan ke atas pemikiran logik dan perkembangan kognitif bayi yang baru berumur 12 bulan. Penyelidik bersetuju lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk memahami perkembangan minda bayi dan kanak-kanak kecil. 

Oleh itu ibu bapa jangan ingat tugas si kecil anda hanya minum susu, makan, bermain dan tidur sahaja. Minda mereka sudah mula berkembang dengan pesat.

Jadi luangkan masa bersama anak untuk melakukan aktivti-aktiviti yang akan membina minda dan otak mereka. Berikan makanan yang berkhasiat dan banyakkan membaca buku dan berinteraksi dengan mereka.

Walaupun mereka tidak dapat mengatakan apa-apa lagi, ini tidak bermakna mereka tidak belajar. Otak si kecil anda sebenarnya sedang sibuk menyerap maklumat setiap kali dia memerhati dan meniru ibu bapanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Rujukan: Scientific American

Baca juga: 

30 makanan yang memperkuatkan kecerdasan otak bayi dalam kandungan

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!