Perkongsian Bermanfaat di FB – Tip Praktikal Mengerjakan Umrah Bersama Bayi

lead image

Mengerjakan umrah bersama bayi? Bunyi seperti sukar dan mustahil. Tetapi, pengalaman yang dikongsikan oleh Puan Fatehah di FB baru-baru membuatkan ia seperti tidak sesukar yang disangka. Mahu tahu tip praktikal mengerjakan umrah bersama bayi? Jom baca!

Mengerjakan umrah bukanlah satu tugas yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dan dilaksanakan. Namun, mengerjakannya bersama dengan bayi yang baru berusia 6 bulan? Lagilah mustahil, kan? Tidak!

Puan Nur Fatehah boleh melakukannya dan ada berkongsi, di FBnya, tip praktikal mengerjakan umrah bersama bayi. Jom kita ikuti kisahnya.

Pada awal bulan Mac baru-baru ini, beliau dan suaminya telah pergi mengerjakan umrah. Anaknya yang berusia 6 bulan, Khalish Furqan, turut dibawa bersama.

Sebagai persiapan perjalanan, Puan Nur Fatehah mencadangkan beberapa kelengkapan yang perlu dibawa dalam beg kabin.

  • 2 persalinan baju
  • 6-7 diapers
  • Mainan untuk si manja
  • Makanan bayi
  • Tuala kecil
  • Tisu basah
  • Pencuci tangan
  • Minyak untuk melegakan perut dan memudahkan si kecil tidur (beliau mencadangkan Ritz ManjaQu)
  • Susu
  • Untuk ibu yang mengepam susu, bawa cooler beg, ice brick dan pam susu
  • Sabun basuh botol

Kelengkapan di atas akan membantu anda menguruskan si kecil semasa dalam kapal terbang dan sehinggalah masuk ke bilik hotel.

Source: Arabnews.com

Tip Praktikal Mengerjakan Umrah Bersama Bayi

Setelah tiba di Madinah, ada juga beberapa tip lain yang dikongsikan bagi mempermudahkan urusan ibadah anda serta keselesaan si bayi.

  • Semak dahulu cuaca di Madinah & Mekah semasa di Malaysia lagi, jika anda pergi ketika musim sejuk, bawa lebih selimut, baju sejuk bayi, stoking dan sarung tangan bayi.
  • Sebelum terbang mengerjakan umrah, anda bolehlah belajar dan berlatih cara sembahyang sambil memegang bayi. Ia untuk menenangkan bayi anda jika dia menangis tanpa henti di masjid.
  • Jadikan habit untuk membersihkan anak dan menukar lampinnya sebelum anda keluar ke masjid. Ia untuk menghilangkan rasa was-was (terkena najis atau tidak).
  • Apabila keluar ke masjid, bawa tikar bayi. Pastikan ia ringan dan kalis air. Menurut Puan Fatehah, ruang menukar lampin di Masjid Nabawi ada di sebelah tempat mengambil wuduk.
  • Untuk solat, cari tiang atau dinding tepi supaya mudah untuk anda meletakkan bayi (dan bukannya di tengah-tengah ruang solat).

Antara tip praktikal menarik mengerjakan umrah bersama bayi adalah pastikan anak anda tidak menjadi perhatian. Kenapa? Ia untuk mengelakkan jemaah lain menggomol dan mencium bayi anda tanpa henti (risiko penyakit berjangkit).

Jika anda bercadang untuk mengerjakan solat di ruang Raudhah (berkarpet hijau), bincang dengan suami anda supaya dia yang memegang bayi.

Menurut Puan Fatehah, jemaah lelaki yang membawa anak kecil lebih mudah untuk masuk ke ruang solat di Raudhah.

Perjalanan dari Madinah ke Mekah

Jika anda menaiki bas dari Madinah ke Mekah, pastikan anda bersiap sedia dengan kelengkapan bayi. Letak semua yang anda perlukan dalam beg yang mudah untuk digalas.

Apabila bas berhenti di R&R, ambil peluang ini untuk menukar lampin bayi, jika perlu. Pada waktu ini, pampers extra, tikar bayi dan alas adalah penting bagi memudahkan anda membaringkan si kecil dan menukar lampinnya.

Tip Praktikal Mengerjakan Umrah Bersama Bayi – Aktiviti ibadah di Mekah

Source: Parislamu.lv

Puan Fatehah juga turut berkongsi beberapa tip praktikal bagi anda yang akan mengerjakan ibadah tawaf dan yang lain-lain di Mekah.

  • Beliau mencadangkan anda mengerjakan waktu tawaf ketika waktu bayi anda tidur. Contohnya, beliau mengerjakan tawaf selepas solat subuh. Maka, elok sahaja si kecil tidur.
  • Pastikan barangan berharga disimpan dalam beg yang dilekap ke badan kita. Jangan lupa juga untuk mengezip beg tersebut dengan kemas (botol susu Khalish pun ada orang mahu curi menurut beliau!).

Senarai Lengkap Keperluan Bayi yang Perlu Dibawa

Bagi memastikan bayi anda kekal selesa dan sihat, Puan Fatehah juga berkongsi senarai lengkap keperluan bayi yang boleh anda bawa ketika mengerjakan umrah bersama si kecil.

  • Pampers yang mencukupi. Untuk berjimat, elak membeli di sana kerana napkin agak mahal dan hanya ada dalam pek kecil sahaja.
  • Ubat-ubatan (selesema, batuk, sakit perut, etc.), termasuk KoolFever. Ubat di sana agak mahal.
  • Baju sepersalinan (baju di siang hari, baju tidur, dan baju basahan)
  • Selimut dan tuala bayi
  • Stoking kaki dan tangan
  • Barang mandian bayi
  • Tisu basah dan sapu tangan
  • Kipas angin bateri
  • Alas dan tikar bayi
  • Sabun dan berus basuh baju (khidmat dobi di sana agak mahal)
  • Sabun dan berus botol susu bayi
  • Minyak bayi (untuk menghilangkan kekeringan kulit)

Umrah – Perjalanan Spiritual ke Bumi Mulia

Ibadah Umrah adalah ibadah yang penuh dengan cabaran, terutamanya jika anda membawa anak kecil bersama. Seperti yang kita lihat dari pengalaman Puan Fatehah, ia tidak mustahil.

Dengan persediaan yang cukup, anda pasti boleh melaluinya.

Yang paling penting, komunikasi dan kerjasama antara suami dan isteri yang mantap. Jadi, banyak-banyakkanlah berbincang dan tolong menolong antara anda dan pasangan.

Bayi selesa dan anda berdua juga dapat menikmati pengalaman spiritual yang indah bersama-sama.

Sumber: Puan Pur Fatehah di FB