Buat ibu yang pertama kali mengandung, anda perlu ingat bahawa kencing manis semasa mengandung adalah perkara normal. Kencing manis semasa mengandung atau nama saintifik Gestational diabetes mellitus (GDM) adalah salah satu komplikasi perubatan semasa kehamilan.
Namun begitu, penyakit GDM semasa mengandung ini mempunyai implikasi kesihatan yang penting untuk ibu dan anak sekiranya tidak dikawal dengan baik. Sekiranya anda menghidap penyakit diabetes, anda perlu mengendalikan gula darah dan memastikannya sentiasa dalam paras normal untuk melindungi kesihatan anda dan bayi anda.
Ayuh ketahui dengan lebih lanjut mengenai GDM ketika hamil dan petua untuk menghilangkannya.
Apakah Kencing Manis Semasa Mengandung

Ibu perlu tahu maksud GDM ketika hamil. Sama seperti namanya, ia merujuk kepada penyakit diabetes yang hanya muncul ketika wanita sedang berbadan dua.
Secara amnya, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan bahawa sekitar 6 hingga 9% wanita akan menghidap diabetes ini ketika mereka sedang mengandung.
Punca Diabetes Semasa Hamil?
Insulin merupakan hormon yang dihasilkan dalam pankreas yang mengawal metabolisme lemak dan karbohidrat badan. Ia juga membantu badan menukar gula menjadi tenaga.
Kencing manis ketika hamil berlaku apabila hormon dari plasenta menyekat kesan insulin, menghalang badan daripada mengawal peningkatan gula darah kehamilan dengan berkesan.
Ini menyebabkan hiperglisemia (atau bacaan gula ibu mengandung tinggi dalam darah), yang boleh merosakkan saraf, saluran darah dan organ dalam badan anda apabila tidak terurus.
Bilakah Diabetes Semasa Hamil Biasanya Bermula?
Penyakit GDM ketika mengandung biasanya didiagnosis antara minggu ke-24 dan minggu ke-28, tetapi ia juga mungkin boleh berlaku lebih awal ketika kehamilan.
Siapa Paling Berisiko Menghidap Diabates Semasa Hamil?

Ibu mengandung mungkin berisiko untuk mengalami kencing manis jika:
- Anda mempunyai berat badan berlebihan. Mempunyai BMI 30 atau lebih semasa hamil adalah salah satu faktor risiko yang paling biasa untuk alami diabetes semasa hamil.
- Anda lebih tua. Doktor telah menyatakan bahawa wanita berumur 25-30 ke atas mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat GDM, dengan risiko itu meningkat apabila anda semakin tua.
- Anda mempunyai sejarah keluarga. Jika kencing manis berlaku dalam keluarga, anda mungkin lebih berisiko mendapat GDM.
- Anda mempunyai sejarah peribadi GDM. Jika anda pernah menghidap diabetes semasa hamil dalam kehamilan sebelum ini, penyelidik berpendapat anda berkemungkinan besar untuk menghidapnya lagi dalam kehamilan berikutnya.
- Anda menerima diagnosis pra-diabetes. Jika paras gula dalam darah anda meningkat sedikit sebelum kehamilan (contohnya, jika hemoglobin A1C anda lebih besar daripada atau sama dengan 5.7 peratus, atau jika anda diberitahu anda mempunyai tahap glukosa yang terjejas), anda mungkin berisiko lebih tinggi untuk GDM.
- Anda sering berehat di atas katil. Sesetengah penyelidikan telah menunjukkan bahawa disebabkan kekerapan rehat di tempat tidur yang secara tidak langsung mengehadkan tahap aktiviti anda, ia lebih berkemungkinan membawa kepada penambahan berat badan tambahan dan, akibatnya, GDM berlaku.
- Anda mempunyai masalah kesihatan yang berkaitan dengan diabetes. Ini mungkin termasuk sindrom metabolik, sindrom ovari polikistik, hipertensi atau penyakit kardiovaskular.
- Anda mengandungkan bayi kembar. Membawa lebih daripada seorang bayi boleh meningkatkan risiko anda untuk alami GDM.
Tanda Kencing Manis Semasa Mengandung
Kebanyakan wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung tidak mempunyai gejala, namun sesetengah mungkin mengalami:
- Rasa dahaga yang luar biasa
- Kerap membuang air kecil dalam jumlah yang banyak (dibezakan daripada kencing yang kerap tetapi biasanya ringan pada awal kehamilan)
- Keletihan (yang mungkin sukar untuk dibezakan daripada keletihan kehamilan biasa)
- Gula dalam air kencing (dikesan daripada temujanji doktor)
Petua Kawal Kencing Manis Ketika Mengandung
#1. Tukar diet
Doktor mungkin mencadangkan anda bertemu pakar diet berdaftar untuk membantu anda membuat pelan diet yang boleh anda ikut. Ia perlu menangani kencing manis gestasi, tetapi masih membekalkan kalori dan nutrien yang cukup untuk bayi anda.
Amalkan beberapa tips ini semasa memilih makanan:
- Makanan bijirin penuh seperti roti wholemeal
- Pilih makanan rendah GI seperti pasta yang diperbuat daripada tepung gandum, epal, oren, kekacang, jagung manis dan bubur.
- Henti minum minuman manis
- Pilih makanan yang dipanggang, bukannya digoreng
- Amalkan makanan berserat
Selain itu, buat snek ringkas dari peria katak atau makan epal hijau sebiji sehari juga boleh bantu kawal gula dalam darah tau!
#2. Makan secara teratur
Pastikan jadual makan tetap, makan 3 kali sehari hidangan bersaiz kecil atau sederhana. Anda juga boleh makan di antara 2-4 termasuk selepas makan malam untuk mengekalkan tahap gula dalam darah anda.
Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil.
#3. Lakukan senaman boleh elak kencing manis semasa engandung
Doktor mungkin mengggalakkan supaya anda menambah senaman kepada rutin mingguan anda, kerana ia adalah baik untuk anda dan bayi.
Cuba lakukan aktiviti ringan hingga sederhana selama 15 minit atau setengah jam pada setiap hari, seperti banyakkan berjalan.
Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik, dan membantu mengawal paras gula darah. Tanya doktor anda mengenai senaman yang sesuai, dan kekerapan yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
#4. Periksa paras gula setiap hari

Pastikan perubahan diet dan senaman menjadikan paras gula dalam darah sentiasa dalam kawalan. Uji kadar gula anda secara teratur, sebelum makan dan 1 atau 2 jam selepas makan.
Jika anda tidak mempunyai meter glukosa darah untuk digunakan di rumah, doktor mungkin mencadangkan anda datang klinik untuk pemeriksaan atau anda perlu mendapatkan sendiri meter glukosa darah untuk semakan sendiri di rumah.
#5. Lebihkan pengambilan Vitamin C dan D
Vitamin D penting untuk beberapa proses dalam tubuh kita, kerana ia memudahkan penyerapan nutrien penting dalam tubuh. Penyerapan vitamin dan nutrien yang penting seperti kalsium, besi, magnesium, dan fosfat dapat dilakukan dengan memaksimumkan penyerapan nutrien makanan yang kaya dengan vitamin D.
Kekurangan vitamin C telah dikaitkan secara langsung dengan kencing manis semasa mengandung. Kajian menunjukkan bahawa pada wanita yang mengidap penyakit kencing manis semasa hamil, dan meningkatkan pengambilan vitamin C selepas itu secara tetap kurang risiko untuk menghidap diabetes jenis 2.
Bagaimana Jika Pengawalan Diet Tidak Menjadi?
Sekiranya wanita hamil tidak berjaya kawal pemakananan, doktor anda akan mempreskripsikan ubat-ubatan atau suntikan insulin.
Jika anda dipreskripsikan insulin, doktor akan menunjukkan bagaimana cara untuk menyuntik diri anda sendiri dan memberitahu berapa kerap anda perlu melakukannya.
Walaupun kebanyakan wanita dengan kencing manis dapat menjalani kelahiran secara normal, sesetengah doktor memilih untuk melahirkan bayi lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya. Malah jika bayi dalam kandungan dirasakan besar, anda mungkin dicadangkan untuk melakukan pembedahan c-section.
Doktor akan memeriksa untuk memastikan paras gula darah anda kembali normal kira-kira 6 minggu selepas bersalin. Ini bermaksud anda perlu minum air gula lagi ya!
Untuk merawat diabetes semasa hamil, pemantauan bacaan paras gula dalam darah adalah penting. Ini kerana, ia dapat membolehkan pesakit dan juga doktor mengenal pasti sama ada paras gula adalah terkawal dan bacaan normal kencing manis semasa mengandung berjaya dicapai.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Risau Luka Kencing Manis Lambat Sembuh, Ini 5 Pantang Yang Harus Diperhati
Baca juga: Anak tembam cenderung menghidap kencing manis – Ini 10 tandanya
Baca juga: Ibu Hamil Hidap Kencing Manis Mahu Berpuasa? Ini Panduan Lengkap Daripada Pakar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!