Tidak dinafikan, proses melahirkan anak itu adalah satu proses semula jadi yang indah. Namun, sebaik sahaja anak kecil itu berada di dalam dakapan ibu, bermulalah fasa naik turunnya emosi ibu berpantang.
Adakah masalah kemurungan selepas bersalin ini sejenis penyakit yang di iktiraf oleh sains? Atau adakah emosi ibu berpantang yang tidak stabil ini hanya satu gangguan daripada jin atau syaitan, seperti yang sebilangan orang Melayu kita percayai?
Artikel ini di tulis untuk merungkai persoalan tentang permasalah pos-natal dan serba sedikit memberi informasi kepada bakal-bakal ibu di luar sana.
Apa Itu Kemurungan Selepas Bersalin?
Postpartum Depression atau kemurungan selepas bersalin adalah sejenis penyakit biologi yang mempengaruhi emosi ibu berpantang. Ia terjadi akibat daripada perubahan kimia otak selepas proses bersalin.
Semasa hamil, paras hormon akan meningkat dengan ketara terutamanya hormon progesteron dan estrogen. Manakala selepas proses bersalin paras hormon ini akan jatuh dengan cepat dalam beberapa jam hingga beberapa hari selepas bersalin.
Selain itu, kelanjer tiriod juga turut terjejas kesan daripada perubahan hormon besar yang dikaitkan dengan proses kehamilan dan kelahirkan bayi yang menyebabkan wanita lebih berisiko untuk mengalami kemurungan.
Emosi Ibu Berpantang Tidak Stabil Adakah Normal?

Kebanyakkan orang berfikir bahawa postpartum depression (PPD) atau kemurungan selepas bersalin dicirikan oleh faktor seperti kesedihan, kebimbangan, atau keletihan yang kronik.
Walau bagaimanapun, kemurungan selepas bersalin ini mempunyai banyak simpton. Oleh yang demikian, ahli perubatan telah membahagikan gangguan kemurungan ini kepada beberapa kategori.
Setiap jenis mempunyai faktor risiko, simpton dan gejala yang unik, rawatan khusus dan perkembangan. Ia dibahagikan mengikut tahap serius gejala yang ditunjukkan. Simpton boleh dibahagikan kepada ringan dan jangka pendek, sederhana dan tegang(intense), kronik dan teruk.
Kemurungan selepas bersalin ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti Pospartum Blues (juga dirujuk sebagai “baby blues”), Kebimbangan Selepas Bersalin, Gangguan Obsesif-Kompulsif Selepas Bersalin (OCD), Gangguan Panik Selepas Bersalin, Gangguan Tekanan Selepas Bersalin (PTSD) dan Psikosis selepas bersalin.
1. Kebimbangan Selepas Bersalin (Pospartum Anxiety)
Kebimbangan selepas bersalin adalah antara masalah gangguan mood yang sering dihadapi oleh ibu. Ia seringkali diabaikan tanpa didiagnosis kerana ramai beranggapan ianya masalah biasa yang dihadapi oleh ibu untuk berasa agak cemas/bimbang setelah melahirkan.
Tambahan pula, sesetengan simptom kebimbangan selepas bersalin mungkin nampak “normal”. Ia berbeza dengan kemurungan selepas bersalin atau PPD kerana simptom yang lebih kepada merasa bimbang secara berlebihan berbanding tingkah laku yang tertekan.
Antara simpton-simpton penyakit ini adalah:
- Ketakutan dan kebimbangan yang berterusan
- Ketegangan dan stress yang tinggi
- Ketidakupayaan untuk berehat
Seperti kemurungan selepas bersalin, gejala kebimbangan ini mungkin berlaku hanya untuk beberapa minggu. Walau bagaimanapun, ia mungkin akan berlanjutan lama bergantung kepada bagaimana cara wanita bergelut dengan masalah ini.
2. Gangguan Obsesif-Kompulsif Selepas Bersalin (OCD)
Kira-kira 3% hingga 5% wanita selepas bersalin menghadapi masalah ini. Ia adalah sejenis gangguan mood kebimbangan.
Antara ciri simptom gangguan OCD selepas bersalin ini termasuk pemikiran yang mengganggu dan berterusan. Masalah ini boleh menyebabkan kecederakan atau lebih teruk lagi boleh meyebabkan kematian bayi. Pemikiran ini seringkali diabaikan dan tidak mendapat tindakan lanjut walaupun ibu yang menghidap OCD selepas bersalin sedar dan ngeri dengan pemikiran tersebut.
Selain itu antara ciri tingkah laku lain OCD selepas bersalin termasuk tabiat kompulsif yang berulang-ulang contohnya semasa membersihkan atau menukar lampin bayi, si ibu akan melakukan aktiviti ini berkali-kali.
Oleh kerana ibu merasa malu dengan pemikiran dan tingkah laku ini, OCD selepas bersalin sering tidak dilaporkan. Jadi, masalah ini tidak didiagnosis dan tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.
3. Gangguan Tekanan Selepas Bersalin (PTSD)
Lebih kurang 9% wanita selepas bersalin menghadapi masalah ini. Seperti PTSD umum, gejala PTSD selepas bersalin lazimnya terjadi kesan daripada beberapa ancaman sebenar atau yang dirasakan kepada ibu. Ancaman atau trauma ini biasanya berlaku semasa bersalin atau tidak lama selepas itu.
Trauma PTSD selepas bersalin mungkin termasuk:
- Komplikasi semasa proses kelahiran
- Bayi dihantar ke NICU
- Kelahiran secara pembedahan yang tidak dirancang
- Kecederaan lain yang dialami oleh ibu itu semasa proses bersalin
- Bagi wanita yang pernah mengalami trauma masa lalu yang lain, contohnya seperti pernah mengalami serangan seksual atau keganasan, mereka berisiko lebih tinggi untuk mengalami PTSD selepas bersalin.
Gejala PTSD selepas bersalin termasuk:
- Kembali merasakan trauma dalam imbasan dan kenangan
- Kebimbangan dan serangan panik
- Kerengsaan
- Kesukaran untuk tidur
- Terasa terpisah atau mati rasa dengan realiti
- Ramai wanita yang bergelut dengan masalah PTSD selepas bersalin ini berasa sangat bersalah, malu dan menyalahkan diri sendiri mengenai perasaan mereka tentang trauma yang dilalui mereka.
Selain itu emosi ibu bersalin boleh menyebabkan berlakunya postpartum psychosis iaitu keadaan tekanan mental selepas bersalin.
Antara simptom postpartum psychosis yang anda patut berjaga-jaga adalah:
- Bercakap tentang membunuh diri
- Ingin mencederakan bayi
- Memikir yang bukan-bukan
- Mendengar bisikan-bisikan halus
- Berhalusinasi dan bercakap sorang-sorang
Punca Emosi Ibu Berpantang Berubah Sekelip Mata

Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada perubahan emosi ibu berpantang antaranya adalah kerana perubahan hormon yang berlaku semasa proses kehamilan dan kelahiran, biologi, sosial, psikologi dan juga persekitaran.
Biologi
- Perubahan hormon yang drastik semasa proses kehamilan dan kelahiran
- Kemurungan yang dihadapi sebelum bersalin
- Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit kemurungan
- Sejarah penyakit gangguan mood/kebimbangan
- Sindrom prahaid yang teruk
- Pernah menjalani rawatan kesuburan
- Perubahan paras hormon tiriod
- Tidak mendapat rehat secukupnya/kurang tidur
Sosial/Persekitaran
- Perubahan hidup ( rumah baru, kerja baru, perubahan dalam status kerja)
- Kehilangan orang tersayang
- Kekurangan sokongan moral
- Sejarah pernah mengalami trauma
- Pernah atau melalui pengalaman keganasan rumah tangga
- Tekanan dari segi kewangan
- Masalah komunikasi
Psikologi
- Kecenderungan kesempurnaan
- Kesukaran dalam fasa peralihan
- Jangkaan yang tidak realistik
- Masalah perhubungan
- Kurang percaya diri
- Personaliti yang mudah cemas dan sensitif
- Masalah dalam penyusuan bayi
Bagaimana Kita Boleh Membantu Para Ibu yang Mengalami Kemurungan Selepas Bersalin?
Perkara pertama yang kita perlu lakukan apabila melihat simptom-simptom di atas berlaku kepada orang yang terdekat dengan kita, sedarlah bahawa ia bukan semata-mata ‘perangai mengada-mengada’ ibu tersebut.
Bersimpatilah dan terimalah masalah postpartum itu dengan serius kerana ia adalah penyakit yang perlu dirawat dan dibendung daripada menjadi terlalu serius.
Keduanya, terdapat beberapa saranan daripada para doktor dalam menangani masalah postpartum depression ini. Antaranya adalah seperti:
Source: Squarespace.com
- Ibu yang baru bersalin perlu diberi perhatian dan jagaan penuh sama ada oleh si suami atau ahli keluarga terdekat. Keperluannya ketika berpantang perlu di penuhi.
- Jaga pemakanan si ibu. Kadangkala, cara berpantang tradisional yang sangat ketat juga akan membuatkan si ibu rimas dan mula terganggu emosi dan mentalnya.
- Masukkan nutrien yang mencukupi ke dalam pemakanan si ibu kerana dengan mineral dan zat vitamin yang sempurna, si ibu dapat menghasilkan susu yang banyak, menyusukan bayi dengan baik, mengurangkan perasaan risau atau tertekan, dan sekaligus mengeratkan kasih sayang ibu dengan bayi.
- Banyakkan bersembang dan berkongsi perasaan/cerita dengan si ibu. Ini untuk mengelakkan daripada dia duduk berseorangan dan mula melayan perasaan.
- Galakkan si ibu untuk memperbanyakkan berzikir, membaca/mendengar alunan Al-Qur’an atau pun ceramah-ceramah agama yang bermanfaat bagi memastikan tahap emosi dan spiritual berada dalam keadaan yang sihat.
- Galakkan juga si ibu untuk banyak membaca atau belajar tentang ilmu keibubapaan ketika berpantang.
Cara Merawat Untuk Meroyan Tahap Teruk / Postpartum Psychosis

Jika si ibu didapati telah mengalami kemurungan selepas bersalin yang serius, maka cara merawat yang betul adalah sangat diperlukan. Di tahap ini, jika tidak dibendung, maka si ibu akan mula bertindak ganas dan mencederakan diri sendiri, bayi, dan juga orang di sekelilingnya.
- Bawalah mereka berjumpa dengan pakar psikiatri dengan segera. Buanglah stigma bahawa pakar psikiatri itu adalah untuk orang gila. Sebenarnya, mereka adalah pakar kesihatan yang mampu memberikan cara rawatan terbaik bagi gangguan emosi dan mental.
- Kini, terdapat beberapa hospital tempatan seperti Hospital Serdang yang menyediakan perkhidmatan rehabilitasi buat mereka yang mengalami masalah psikologi, emosi dan mental.
- Jika masih boleh dikawal, teruskan menggalak si ibu untuk memberi susuan kepada si anak untuk merapatkan hubungan si ibu dan si bayi. Jika tidak, teruskan dengan proses kaunseling.
- Ubat dan rawatan susulan yang disarankan oleh pakar psikiatri perlu diberikan kepada si ibu.
- Yang paling utama, sokongan daripada si suami. Berempatilah dengan isteri. Fahamilah dirinya. Jangan dibebankan fizikal dan emosinya semasa proses pantang.
Bila Ibu Akan Kembali Berasa Normal?
Tiada garis masa pemulihan yang pasti bagi mengatasi masalah emosi ibu berpantang atau kemurungan selepas bersalin ini. Untuk kebanyakkan kes, ia akan sembuh dalam tempoh satu tahun selepas gelaja ini bermula, tetapi ada juga wanita yang masih mengalami gejala kemurungan selepas bersalin ini walaupun selepas bertahun-tahun mengalaminya.
Untuk memastikan proses pemulihan berjalan dengan lancar dan membolehkan ibu berasa normal semula, mendapatkan pelan rawatan yang bersesuaian dan mematuhinya dengan baik adalah antara perkara yang boleh dilakukan. Adalah lebih proaktif jika anda mengambil tahu dan mencari penyelesaian dan rawatan yang sesuai agar masalah proses pemulihan kemurungan anda dapat berlaku dengan cepat.
Jika simpton kemurungan selepas bersalin ini diabaikan dan tidak dirawat secara betul dikwatiri ia akan menyebabkan si ibu mengalami kemurungan selepas bersalin untuk jangka panjang dan sangat menganggu emosi ibu berpantang.
Emosi Ibu Berpantang Perlukan Support System Yang Kuat

Saat selepas melahirkan anak dan proses menerima si kecil ke dalam isi rumah kita sepatutnya menjadi satu momen yang indah dalam kehidupan suami isteri, dan bukannya tragedi yang menyayat hati.
Dengan perhatian yang betul daripada orang sekeliling, rawatan perubatan yang terbaik serta sokongan emosi daripada suami dan ahli keluarga, masalah kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression, apa sahaja yang anda ingin gelarkannya – pasti akan dapat di tangani.
Ingin kongsikan pengalaman anda selepas bersalin? Jom kongsikan bersama-sama dengan para ibu lain. Semoga manfaatnya dapat dikecapi bersama dan mampu membantu ibu-ibu berpantang lain yang sedang berlawan dengan masalah kemurungan ini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Penyebab Baby Blues Yang Selalu Menghantui Ibu Lepas Bersalin, Ini Tanda-Tandanya!
Baca juga: Waspada Gejala Meroyan Selepas Bersalin, Para Ibu Ambil Tahu 5 Tanda Bahaya Ini!
Baca juga: Rasa Bersalah Untuk Kembali Bekerja Selepas Bersalin, 5 Tips Ini Dapat Bantu Ibu!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!