Pelajar Tahun 1 Mati Dibuli Tahun 6 – Tiba Masa Untuk Tiru Program Anti-Buli KiVa dari Finland

undefined

Kini, kes buli di Malaysia semakin serius sehingga telah mengakibatkan kematian pelajar sekolah rendah! Mungkin tiba masanya untuk kita contohi program anti-buli KiVa dari Finland. Mari ketahui bagaimana ia membantu membasmi kes buli di negara maju ini!

Minggu lalu, negara kita dikejutkan lagi dengan berita buli yang menyayat hati. Kali ini, kes semakin serius apabila ia melibatkan kematian pelajar sekolah rendah!

Dalam kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah asrama di Kapit, Sarawak itu, pelajar darjah satu tersebut meninggal dunia selepas dibelasah dengan teruk oleh seorang pelajar “senior” di sekolahnya, yang baru saja darjah enam!

Kes ini telah pun menjadi kes polis dan pelajar yang membuli telah dibebaskan bagi persediaan untuk dirinya menduduki peperiksaan UPSR.

Beza pelajar sekolah zaman dahulu dan zaman sekarang

Kalau zaman kita dahulu, sewaktu sekolah rendah, perkara paling teruk yang akan berlaku adalah sama ada kita kata “kite tanak kawan kamu!” atau sekadar tarik baju dan rambut.

Tapi zaman kini, pelajar sekolah rendah sudah pandai untuk menumbuk, menyepak dan menekup mulut rakannya! Apa sudah jadi?

Mahu tidak mahu, perubahan perlu dilakukan kerana zaman sudah berubah. Anak-anak masa kini semakin terdedah dengan pelbagai informasi dan gaya hidup.

kes buli filem ganas

Sumber: Youtube.com

Lihat sahaja di televisyen dan Internet. Betapa banyaknya filem, lagu, dan video berunsur keganasan untuk mereka tonton dan ikuti – baik dari Hollywood, mahupun dari tempatan.

Sebagai ibu ayah, untuk mengongkong kehidupan mereka 100% sehingga tidak membenarkan langsung mereka untuk menggunakan semua teknologi ini pun tidak boleh juga.

Tapi, yang pastinya, kita perlu melakukan sesuatu supaya aktiviti buli sehingga membunuh ini boleh dibendung sepenuhnya di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi!

Apa yang negara lain buat untuk menangani kes buli?

Adakah kes buli di kalangan kanak-kanak dan pelajar hanya berlaku di Malaysia sahaja? Tidak juga. Ia adalah isu global di serata negara.

Namun, yang menariknya, negara Finland dikatakan telah berjaya menghapuskan budaya buli di negaranya!

Negara Skandinavian yang maju ini telah mengadakan program anti-buli yang menggunakan simulasi kehidupan sebenar bagi mengajar kanak-kanak bagaimana untuk membantu rakan yang dibuli!

Program KiVa – Program Anti-Buli dari Finland

KiVa adalah satu inisiatif daripada Kementerian Pendidikan Finland yang mempunyai dua tujuan utama:

  1. Untuk meningkatkan kesedaran tentang buli
  2. Untuk mengajar kanak-kanak cara untuk menangani buli secara berkesan

Kalau anda perasan tentang tujuan di atas, ia bukan satu program yang pasif. Di mana hanya kempen kesedaran sahaja diajarkan kepada anak kecil. Tidak sama sekali!

Tujuan yang kedua adalah antara resipi hebat bagaimana Finland berjaya membasmi kes buli di negaranya!

Games simulasi yang mengajar kanak-kanak bagaimana untuk berhadapan dengan pembuli

kiva program games

Sumber: Kivaprogram.net

Bagi mencapai tujuan yang kedua, Finland telah membangunkan satu perisian games simulasi.

Pelajar sekolah akan diminta untuk bermain games ini dan menjawab persoalan penting: “kalau saya nampak rakan saya dibuli, apa yang akan saya buat?”

Ia seperti ala-ala kita meminta kanak-kanak untuk bermain video games Sims, tapi versi ini lebih memberi banyak manfaat.

Games berunsur realiti yang dibangunkan oleh Universiti of Turku di Finland ini dapat mengajar si pemain untuk lebih bersifat empati ketika melihat kes buli di depan mata.

Malah, mereka akan lebih tahu apa nak buat atau apa nak kata ketika menyaksikan kejadian buli.

Contohnya, jika si pemain melihat David dibuli oleh Tim, dia akan diberi pilihan sama ada untuk membantu David atau beredar dari tempat tersebut.

games anti buli kiva dari finland

Sumber: Huffingtonpost.com

Setiap babak dalam games akan berubah mengikut pilihan keputusan yang dibuat oleh si pemain games.

Jika si pemain mengambil keputusan yang tidak bijak, seperti berlalu pergi tanpa berbuat apa-apa, si pemain akan dapat melihat dengan jelas kesan tindakannya pada David.

Semasa bermain games ini juga, si pemain akan diberikan tip dan cadangan tentang apa kata-kata dan tindakan yang sepatutnya diambil.

Menarik, bukan?

Data membuktikan video games simulasi ini berkesan!

Jika anda menyangka ini hanya permainan yang membuang masa atau untuk menyedapkan hati sahaja, fikir semula.

Analisis yang telah dilakukan seorang profesor dari University of California Los Angeles (UCLA), Jaana Juvonen, menyatakan bahawa program KiVa ini telah mengurangkan risiko kes buli sebanyak 50%!

kes buli sekolah rendah

Sumber: Upworthy.com

Malah, analisis yang dijalankan oleh para pengkajinya juga turut menyatakan yang games ini telah membantu untuk:

  • Meningkatkan keyakinan diri pelajar yang pernah dibuli
  • Mengurangkan kadar tekanan dan depresi pelajar

Keberkesanan program anti-buli yang bersifat proaktif dan realiti ini telah pun dijadikan contoh dan panduan di negara maju lain seperti Itali, Belanda, UK, dan Amerika Syarikat.

Mungkin telah tiba masanya untuk Malaysia mencontohi program KiVa dari Finland bagi membasmi kes buli yang semakin membimbangkan di negara kita ini!

Hari ini, ia terjadi kepada anak orang lain. Kalau tidak dibendung, takut-takut, ia akan menimpa pada anak kita sendiri!

Sumber: Sarawakvoice.com dan Upworthy.com

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Selepas dibuli akibat berkulit gelap, kanak-kanak ini memperkasakan ‘kata-kata’ pada pakaian

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!