Berpantang Rumah Mak Sendiri Atau Rumah Mak Mentua, Anda Pilih Yang Mana?

Melalui proses kelahiran bayi yang baik impian setiap ibu. Namun, bagaimana pula berdepan dengan pilihan berpantang di rumah sendiri atau rumah mentua?

Perjalanan menjadi seorang ibu merupakan saat yang paling terindah dalam hidup. Bagi anda yang baru pertama kali berhadapan dengan proses kelahiran bayi, ia menjadi sesuatu yang sangat dinanti-nantikan.

Sebelum bayi keluar lagi, pastinya anda dan pasangan begitu teruja membuat pelbagai persediaan bagi menerima kedatangan ”orang baru” dalam keluarga termasuklah merancang urusan ketika berpantang.

Selepas proses kelahiran

proses bersalin

foto: pa&ma

Tempoh berpantang memerlukan disiplin dan penjagaan yang teliti agar anda dan bayi memperoleh nutrisi makanan dan rehat yang mencukupi bagi memulihkan kembali kesihatan tubuh badan selepas bersalin.

Perkara yang paling utama dihadapi oleh rata-rata suami isteri ialah delima untuk memilih berpantang sendiri dengan perkhidmatan ‘confinement lady’ , berpantang di rumah ibu bapa sendiri atau di rumah mak mentua.

Majoriti para ibu mengatakan adalah lebih baik berpantang di rumah ibu sendiri atas beberapa sebab ini:

#1. Aurat lebih terjaga

Berada di rumah ibu sendiri memudahkan anda untuk berpantang lebih selesa kerana tidak perlu memakai tudung biarpun di dalam rumah.

Bukan itu sahaja, anda boleh lebih seksi-seksi di hadapan ibu sendiri terutamanya ketika sesi mengurut seluruh badan yang hanya memakai sehelai kain batik.

Jika berada di rumah mak mertua, anda perlu lebih menjaga setiap waktu cara duduk.

Memandangkan kebanyakan ibu-ibu berpantang hanya mengenakan kain sarung sahaja, namun jika anda tersilap duduk boleh menyebabkan kain terselak.

Selain itu, anda juga boleh berbaring ikut suka hati anda memandangkan di dalam rumah hanya ada ibu, ayah dan adik beradik kandung sahaja.

#2. Disiplin ikut pantang cara tradisional

setelah proses kelahiran

foto: Harian Metro

Lumrah sebagai seorang ibu yang penyayang, pastinya mak kandung akan lebih teliti dalam membantu anak berpantang dengan sempurna.

Dari cara mandian, menyusu anak dan pemakanan pasti tugas tersebut ”ditanggung beres” agar anak dan cucu mereka sentiasa sihat tanpa mengundang sebarang masalah penyakit.

Bukan itu sahaja, sebenarnya banyak amalan berpantang yang anda sendiri tidak tahu yang diamalkan secara tradisional.

Ia merangkumi dalam setiap aspek seperti pengambilan air akar kayu dan jamu, penggunaan air rebusan herba bagi mengetatkan otot faraj dan sentiasa memakai bengkung.

Jika anda dimarahi oleh ibu sendiri sekiranya melanggar pantang tersebut, pasti anda tidak begitu terguris hati.

Namun jika ibu mertua memarahi menantu, sudah tentu membuatkan anda sedih dan makan hati terhadap kata-kata yang dikeluarkan olehnya.

#3. Boleh mengada-ngada

Bagi minggu pertama berpantang selepas proses kelahiran, anda pastinya menghadapi kesukaran untuk bergerak kerana jahitan bersalin belum baik.

Bukan itu sahaja, memandikan bayi juga akan menjadi sesuatu yang mencabar bagi anda yang baru menjadi ibu.

Justeru, jika anda memerlukan pertolongan, anda boleh terus meminta oleh mak sendiri untuk dipapah pergi ke tandas, bangun dari katil atau tolong lilitkan bengkung.

Bukan itu sahaja, air rebusan mandian yang mengandungi serai wangi, daun kantan, daun kunyit dan sebagainya sudah siap tersedia oleh ibu anda pada awal setiap pagi. 

Hal ini bertujuan untuk  memastikan anda tidak tercicir untuk amalan tradisional untuk mengembalikan kesegaran tubuh setelah pulang ”bertarung” dalam bilik bersalin.

#4. Lebih bebas dan selesa

tips pantang selepas proses kelahiran

foto: Happy Family Organics

Ketika berpantang, kadang-kadang anda perlu menukar pakaian disebabkan oleh muntah susu bayi, air kencing bayi atau dipenuhi dengan minyak urut.

Bukan itu sahaja, anda juga akan sering berasa lapar kerana telah kehilangan banyak darah ketika bersalin.

Oleh hal demikian, anda akan lebih selesa untuk sering masuk ke dapur untuk membuka periuk nasi atau tin biskut.

Jika anda tidak memiliki kain batik yang mencukupi, anda boleh terus buka almari baju mak dan pinjam kain batiknya. Best kan? anda tidak perlu berasa tebal muka untuk menggunakannya!

#5. Memudahkan kawan dan saudara datang melawat

Jika anda memilih untuk berpantang di rumah ibu sendiri, pastinya ia akan menyenangkan rakan-rakan untuk datang meraikan bayi yang baru lahir.

Bukan itu sahaja, kedatangan tetamu yang ramai membuatkan rumah sedikit riuh-rendah sekiranya anda dan mereka sudah lama tidak bertemu.

Berpantang di rumah mak sendiri nanti akan ada pembantu yang boleh tolong membancuh air iaitu adik-beradik anda.

Jika berpantang di rumah mertua pula, pasti sedikit membebankan anda kerana anda perlu masuk ke dapur bagi menyediakan air dan makanan ringan buat para tetamu yang datang.

Lebih kelam-kabut apabila bayi mula tiba-tiba menangis, boleh buat seisi rumah tidak senang dengan keadaan bising ini.

Sebenarnya, bagi setiap isteri bukannya anda tidak suka langsung berpantang di rumah keluarga mertua.

Mereka juga adalah keluarga anda dan ibu mertua anda juga seorang ibu yang terbaik yang telah melahirkan seorang suami buat anda.

Namun setelah meneliti pengalaman ibu-ibu selama ini, mereka lebih memilih rumah sendiri kerana ia memberikan keselesaan kepada anda dan bayi untuk menjalani tempoh pantang selepas kelahiran dengan tenang.

Sumber: Petua Ibu

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Berpantang Rumah Mak Sendiri Atau Rumah Mak Mentua, Anda Pilih Yang Mana?

Baca juga:

Pantang larang semasa berpantang cara Melayu

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!