Kisah Benar Majikan dan Pembantu: Saya Tangkap Suami Curang Dengan Pembantu Di Rumah Sendiri!
Apabila *Mandy berjaya menangkap suaminya yang curang, dia tidak pernah menyangka wanita durjana itu adalah pembantu rumah yang telah bekerja selama 3 tahun dengannya. Berikut adalah cerita Mandy tentang perkhianatan, kesakitan dan akhirnya meneruskan kehidupan…
“Pada awalnya ketika saya dan suami mengupah *Maria sebagai pembantu rumah kami, kami menyangka kami telah memilih seorang pembantu rumah yang terbaik untuk anak-anak dan rumah kami. Ketiga-tiga anak-anak kami amat rapat dengan Maria, malah anjing kami yang tidak begitu mesra juga selesa dengan Maria. Hubungan kami sebagai majikan dan pembantu cukup baik kerana Maria adalah seorang pembantu rumah yang hebat – penuh kesabaran, teliti dan rajin.
Saya tidak perlu menegur Maria atau mengajarnya buat kali kedua untuk sesuatu perkara. Malah, kami juga meninggalkan Maria dengan sebuah telefon bimbit iPhone – kerana kami amat percaya dan menyayangi Maria seperti keluarga kami sendiri.
Imbas Kembali Hubungan Majikan dan Pembantu
Jika saya ingat kembali semuanya sekarang, saya patut sudah mengagak sesuatu tidak kena – ketika saya amat memerlukan urutan pada suatu hari. Pada ketika itu, saya meminta suami saya menggosok bahagian belakang badan dan bahu saya.
Suami saya mengatakan yang Maria mahir dalam memberikan urutan yang terbaik. Saya tanya suami saya bagaimana dia tahu tentang hal tersebut. Namun, saya tidak lagi mengendahkan isu itu apabila si suami mengatakan Maria yang memberitahu perihal urutan itu padanya.
Saya tahu saya kedengaran amat bodoh kerana mengatakan ini – saya sebenarnya amat mempercayai Maria dan saya tidak menyangka Maria mampu untuk menggoda suami yang saya kahwini selama 17 tahun ini. (Suami saya tua 20 tahun daripada Maria)
Selepas setahun bekerja dengan kami, saya mula perasan dan mendapati Maria kerapkali memanjakan dirinya dengan pewangi apabila dia berada di rumah – ketika melakukan kerja-kerja rumah. Hal ini juga hanya kerapkali berlaku pada waktu petang (ketika suami saya akan pulang ke rumah dari tempat kerja).
Hubungan Majikan dan Pembantu Makin Mesra
Mereka (suami dan Maria) susah untuk berbual, namun saya dapat melihat Maria memandang suami saya secara curi-curi, dan berpura-pura memasuki dapur untuk “mengemas” setiap kali suami saya memasuki dapur untuk mendapatkan sesuatu.
Saya menyoal suami saya jika dia perasan dengan tingkah laku Maria “yang aneh” ini, namun si suami menepis andaian saya ini, dengan alasan saya berfikir terlalu banyak.
Kami tidak menjalankan hubungan seks dengan mencukupi juga tahun itu, namun saya enggan menyoalkan kerana menganggap suami saya tertekan di tempat kerja (dia baru sahaja dinaikkan pangkat, dan sentiasa melekat di hadapan komputer riba).
Satu malam – ketika suami melangkah masuk ke dalam bilik mandi, saya telah melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini – saya periksa telefon bimbitnya.
Saya tidak tahu mengapa, hanya sebuah naluri yang meruntun saya untuk memeriksa telefon bimbitnya ini. Namun, saya amat bersyukur pada Tuhan kerana memberikan sebuah detik yang penuh keraguan ketika itu.
Detik Yang Mengubah Segala-galanya
Pada mulanya, semua kelihatan biasa. Pesanan ringkas dalam telefon bimbit si suami hanya datang daripada rakan tempat kerjanya, rakan-rakan, bos dan saya.
Walaupun saya berasa lega, namun terdapat sebuah perasaan “resah” yang masih berlanjutan. Maka, saya menarik nafas panjang dan membuka galeri fotonya… dan alangkah terkejutnya saya!
Perkara yang amat menyeramkan bagi saya – terdapat beratus-ratus (dan saya tidak membesar-besarkan cerita) gambar Maria berpakaian dalam dengan posing yang tidak senonoh. PAKAIAN DALAM SAYA!
Semakin saya lihat gambar-gambar dalam galeri ini, semakin dalam tikaman pada hati saya. Saya cuba untuk menjadi kuat, lalu saya mengambil telefon bimbit saya dan menangkap beberapa gambar-gambar Maria tadi sebagai bukti (jika suami padam gambar-gambar itu).
Dipenuhi kemarahan (kesakitan masih belum mengambil tempat ketika itu), saya meluru keluar daripada bilik dan merempuh masuk ke dalam bilik Maria untuk berhadapan dengannya, berserta dengan telefon bimbit si suami di tangan.
Dia Cuba Menafikan Hubungan Majikan dan Pembantu
Maria cuba untuk menafikan segala tuduhan pada mulanya, namun dia terus kaku dan kelu apabila saya menunjukkan padanya gambar-gambar dari galeri telefon bimbit.
Maria asyik meminta maaf – namun saya tidak inginkan ungkapan maaf itu. Saya cuma mahu semua perkara ini hilang dari minda saya! Saya mahu Maria keluar daripada rumah ini, jauh daripada anak-anak saya. Saya juga mahu lelaki tak guna itu keluar!
Suami saya datang kemudiannya dan bertanya mengapa saya menjerit-jerit. Saya terus memberitahu dia saya mahu dia keluar daripada rumah sekarang, dan saya tidak ingin lagi melihat mukanya.
Melihat telefon bimbitnya di tangan saya kini, saya percaya suami saya akhirnya dapat mengagak apa yang berlaku. Suami saya meminta kami berpindah bilik, masuk kembali ke dalam bilik kami untuk berbicara.
Saya kemudiannya menenteramkan diri saya, dan mula memuntahkan pelbagai soalan yang meminta jawapan.
Berapa lama perkara ini telah berlaku? Bagaimana mereka boleh berasmara? Di mana mereka melakukan hubungan seks? Adakah anak-anak sedar tentang perkara ini? Adakah dia menggunakan kondom? Kenapa dia tidak memikirkan tentang saya dan anak-anak kami?
Dia mengaku dengan semua perkara (sudah tentu dia terpaksa mengaku), dan memberikan alasan yang paling lapuk. Oleh sebab saya sering bekerja hingga lewat malam, dia mengambil kesempatan dengan mencari keselesaan pada *Maria – kerana Maria sering kali berjaga hingga lewat malam untuk mendengar curahan hatinya, dan menenangkan dirinya jika dia mempunyai hari yang buruk di tempat kerja.
Dia Tuduh Saya Punca Dia Curang
Dia menyalahkan saya kerana tidak memuaskan dirinya dari segi seksual. Untuk meruntunkan lagi kesakitan dalam hati yang telah terluka ini, dia berani memberitahu saya yang Maria sanggup untuk memenuhi keinginannya pada bila-bila masa, dalam pelbagai cara yang dia ingini. Betapa teruk seorang lelaki dan seorang ayah ini telah berubah?
Tanpa perlu dinyatakan lagi, saya benar-benar terluka. Saya rasa dikhianati dan dihina. Bagaimana seorang lelaki yang saya cintai selama 17 tahun ini, boleh berkata sedemikian? Saya tidak lagi mengenali dirinya. Bagaimana dia boleh berubah menjadi sehina ini? Saya beritahu dia saya ingin bercerai.
Dan apa yang lebih mengejutkan saya, apabila dia mengatakan dia juga sedang memikirkan tentang perihal penceraian ini sejak beberapa bulan yang lalu!
Saya pantas membungkus barang-barangan saya dan memberitahu anak-anak kami yang kami akan ke rumah nenek untuk menetap di sana buat satu malam. Saya tidak bersedia untuk menjelaskan segalanya dengan terperinci, malah saya juga tidak mahu mereka membenci ayah mereka.
Hal ini di antara saya dan suami. Maka, saya hanya beritahu anak-anak yang nenek amat merindui mereka, dan mereka harus pergi melawat nenek.
Saya Sedar Semuanya Sudah Berakhir
Apabila kami tiba di rumah ibu saya, saya terus memberitahu ibu saya segala-galanya. Saya menangis tanpa henti, teresak-esak seakan tidak pernah menangis sebelum ini. Ibu saya ternyata amat membantu – menyokong dan memberikan nasihat yang terbaik pada saya.
“Buat benda yang terbaik untuk kamu dan anak-anak. Sekarang bukan lagi waktu untuk berfikir tentang dia (suami). Dia telah melakukan apa yang dia mahu, dan dia tidak pernah memikirkan tentang perbuatannya itu ke atas keluarga yang mengasihinya. Dia melukakan kamu. Dan meruntuhkan rumah kamu. Kamu harus kuat sekarang – bangun dan baiki semua ini!”
Saya pegang kata-kata yang berharga ini, lalu saya bangkit berdiri – untuk anak-anak saya. Mereka memerlukan ibu mereka. Seorang ibu yang kuat dan berdaya. Perkara seperti ini tidak layak untuk mereka.
Seminggu kemudian, saya beritahu anak-anak saya tentang keputusan saya untuk bercerai (mereka berusia 10, 12 dan 16 tahun ketika itu), namun saya tidak pernah memberitahu mereka tentang alasan yang sebenar.
Saya hanya beritahu mereka “ibu dan ayah memiliki perbezaan yang tidak dapat kami selesaikan, maka keputusan untuk berpisah adalah keputusan yang terbaik.”
Pada mulanya, mereka mempersoalkan jika kami berdua boleh cuba untuk menjadi sebuah keluarga semula. Namun, lama-kelamaan, mereka tidak lagi mempersoalkan apa-apa apabila saya memberitahu mereka yang segala perincian berkenaan penceraian ini akan dijelaskan pada mereka apabila mereka meningkat remaja.
Musnah Segala-galanya
Kini, sudah 4 tahun berlalu sejak bekas suami saya mengecaikan segala impian-impian kami. Impian dan rancangan kami untuk membina sebuah keluarga, melancong ke seluruh dunia, dan memberikan segala-gala yang diminta oleh anak-anak kami.
Namun, saya tidak menyesal. Langsung tidak menyesal. Kerana saya tahu jika saya masih kekal dengan perkahwinan itu, saya akan menjalani sebuah kehidupan tanpa rasa yakin pada diri sendiri – walaupun selepas saya memaafkan dia atas kejadian tersebut.
*Maria meninggalkan rumah kami pada malam itu juga. Saya hantar dia kembali kepada agensi, dan apa yang saya terima hanyalah ungkapan maaf darinya – dengan alasan dia sunyi dan bekas suami saya itu adalah “seorang lelaki yang baik hati”.
Bekas suami saya merayu meminta saya untuk tidak meninggalkan rumah, malah cuba mendapatkan ibu bapa saya untuk meyakinkan saya agar menerimanya semula.
Namun, selepas menggali dengan lebih mendalam daripada rakan-rakan kami yang saya kenali, saya mengetahui yang *Maria bukanlah satu-satunya wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan bekas suami saya itu.
Saya Nak Move on!
Anak-anak saya kini tahu tentang apa yang terjadi pada malam itu – hingga membawa kepada keputusan untuk penceraian. Mereka kini tinggal dengan saya dan kedua ibu bapa saya. Mereka berpeluang untuk berjumpa dengan ayah mereka pada hujung minggu.
Saya memilih untuk tidak menyekat masa mereka dengan bekas suami saya kerana saya beranggapan anak-anak saya sudah cukup dewasa untuk melakukan keputusan mereka sendiri.
Saya tidak keluar atau menjalinkan hubungan dengan sesiapa pada ketika ini, dan saya tidak pasti jika saya akan ke arah itu lagi. Namun apa yang pasti, anak-anak saya adalah apa yang saya perlukan dalam hidup, sekarang ini.
Saya terus bekerja keras untuk menyara keluarga saya kini, dan kami hidup dengan baik sahaja, tanpa kehadiran dia (bekas suami).
Saya dan anak-anak saya kini boleh menghabiskan masa makan malam bersama-sama, berkongsi cerita tentang hari-hari yang dilalui oleh kami, dan kami melakukan perkara biasa yang dilakukan oleh keluarga yang lain. Kami adalah nadi untuk satu sama lain, dan tiada apa yang mampu memutuskan ikatan erat di antara saya dan anak-anak saya ini.
Buat wanita yang telah melalui kejadian teruk seperti ini dalam hidup mereka, teruskan kehidupan anda adalah perkara terbaik yang harus anda lakukan – untuk anda dan untuk anak-anak anda. Saya harus katakan – ia adalah sebuah kebebasan yang bagus!
*Semua nama di dalam cerita ini telah diubah bagi melindungi identiti insan yang terlibat dalam kisah curang majikan dan pembantu rumah ini. Kisah benar ini adalah luahan pada seorang wanita bernama Pavin Chopra.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kenapa Suami Mudah Curang Ketika Isteri Sedang Mengandung?