7 Sebab Mengapa Isteri Anda Sering Tertekan Dan Tip Untuk Suami

Share this article with other mums

Beberapa doktor pakar dan pakar terapi perkahwinan telah mendedahkan sebab-sebab mengapa isteri anda akan sering tertekan. Mari ketahui sebab-sebabnya dan bagaimana anda boleh mengatasi tekanan terbabit!

Anda pasti sudah biasa dengan keadaan ini. Setelah penat bertungkus-lumus di pejabat, anda pulang ke rumah. Setiba di rumah, anda lihat muka si isteri monyok — muncung sedepa.

“Sudah, kenapa pula ni?!” detik hati anda.

Anda sering melihat muka si isteri kelihatan tertekan, seakan benar-benar terganggu. Anda kerap memujuk dan memintanya bawa bertenang. Tapi semua pujukan dan permintaan untuk bawa bertenang tak berkesan. Kenapa, ya?

Mari ketahui mengapa isteri anda sering tertekan, berdasarkan pendedahan doktor pakar dalam artikel ini. Selepas ini, anda sudah tahu bagaimana ingin mengendali ‘segala tekanan’ isteri anda!

Tak perlulah anda kerap suruh mereka “bawa bertenang” kerana itu bukan penyelesaiannya!

1. Dia penat buat semua kerja.

Senang-senang saja anda panggil dia superwoman, sebab isteri berkebolehan untuk buat semua benda. Tapi semua superhero ada tahapnya juga, tahu?

Ryan Howes, pakar psikologi di Pasadena, California menerangkan kebanyakan wanita dengan kerjaya sepenuh masa akan lebih cenderung untuk sentiasa tertekan.

Lebih-lebih lagi jika mereka memiliki pasangan yang tidak memahami erti “penat membahagikan masa dengan kerja dan rumah”.

Konflik untuk membahagikan masa antara kerjaya dan rumah/anak-anak akan mencetuskan tekanan yang berpanjangan buat isteri anda. Siapa tak penat setelah balik dari kerja, terpaksa menyelesaikan semua kerja rumah pula?

Tip untuk suami: Isteri perlu simpati dan sokongan anda. Cuba tenangkan mereka dengan menemani mereka, atau mendengar celoteh/rungutan mereka. Lebih baik jika anda ringankan tulang untuk membantu mereka!

2. Dia perlu masa untuk dirinya sendiri.

Me time” atau masa untuk diri sendiri memang mustahil kalau anda sudah ada anak. Sebab itu kalian berebut-rebut untuk ambil “masa sendiri”.

Kanak-kanak akan membesar dengan lebih sihat jika ibu bapa mereka sihat dan memiliki emosi dan fizikal yang stabil.

Tip untuk suami: Masih ingat kawan-kawan perempuan isteri anda? Biarlah mereka berjumpa dan meluangkan masa sebentar. Ketika isteri anda keluar, anda boleh tolong jaga anak-anak pula. Bertolak-ansur, boleh kan?

3. Anda tidak tolong jaga anak.

Siapa yang menjaga semua anak anda? Siapa yang ambil anak-anak daripada latihan sukan di sekolah? Siapa yang pastikan filem mana boleh ditonton, buku mana boleh dibaca dan sebagainya? Kalau semua jawapan anda adalah “isteri saya” — apa nak cakap lagi?

Tak nampak betapa terbeban tanggungjawab isteri anda kini? Sebab itu… anda harus bantu mereka!

Tip untuk suami: Laurel Steinbergpakar terapi dan psikologi di Columbia University menyarankan para suami untuk membantu si isteri dengan sebarang perkara. Apa yang penting adalah memberi bantuan.

4. Dia mahu anda bijak mengimbangi kerja dan kehidupan di rumah.

Semua wanita dalam diam pasti mengharapkan suami mereka yang sering “sibuk” meluangkan lebih masa di rumah. Anda harus bijak mengimbangi kerja dan kehidupan di rumah kerana kerja nyata memberi kesan dalam hubungan anda.

Ya, mungkin anda ada pelbagai urusan yang perlu diuruskan. Tapi, luang sedikit masa untuk kehidupan di rumah. Anda pasti tidak mahu ketinggalan sebarang perkara, kan? Lagipun, kerja bukan tentang gaji saja. Kerja juga boleh memberi kesan dalam hubungan.

Tip untuk suami: Apa kata tetapkan pada hari minggu, tiada sesiapa dari pejabat boleh ganggu anda?

5. Keseronokan telah hilang.

Mana pergi kenakalan kalian ketika awal perkahwinan dulu? Hanya sebab kalian sudah berkahwin, semua keseronokan dan romantik percintaan itu hilang dan tidak dipraktikkan lagi?

“Wanita akan sering membandingkan hubungan mereka ketika awal percintaan dan ketika memasuki alam perkahwinan. Biasanya, mereka akan lebih mudah kecewa dan rindu, kerana menganggap pasangan sudah tidak mahu melaburkan sebarang usaha untuk membawa keintiman,” ulas Dr Talia Wagner.

Tip untuk suami: Sekaranglah masa untuk cari pengasuh sebentar, atau rancang percutian yang tidak dijangka. Isteri anda pasti gembira dengan kejutan ini!

6. Kurang berkomunikasi

Anda sering berkomunikasi dengan isteri anda? Maaf. Perbualan “hari ini makan apa?” atau “sudah ambil Ana di sekolah?” tidak dikira sebagai satu komunikasi berkualiti.

Teknologi sekarang kan makin canggih? Anda boleh saja menghantar pesanan ringkas pada isteri ketika anda sibuk di pejabat. Atau sentiasa mengakhiri hari anda pada waktu malam dengan perbualan tentang hari masing-masing?

Tip untuk suami: Letak telefon bimbit anda, dan peluk pasangan. Isteri anda perlu lebih perhatian berbanding post di Facebook itu.

7. Dia penat jadi seperti “pengurus projek”.

Rumah anda adalah sebuah kediaman indah yang berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Seperti mesin. Tapi, siapa yang menguruskan rumah/mesin tersebut?

Semua benda dalam rumah dilakukan oleh isteri anda. Dia yang tahu mana semua pakaian hilang, bila tarikh akhir perlu bayar semua bil, acara penting di sekolah anak-anak dan masakan apa yang boleh menambat selera anak kalian.

Jika diperhatikan, anda pasti nampak betapa isteri anda penat jadi seperti seorang pengurus projek yang terpaksa mengendali semua perkara.

Tip untuk suami: Pengurus projek pun ada pembantu, tahu?! Apa kata anda kongsi sedikit tugasan ini?

Semoga 7 sebab yang didedahkan oleh doktor dan pakar terapi perkahwinan ini memberi manfaat dalam mengutuhkan perkahwinan anda.

 

Sumber rujukan: The Huffington Post

Kesihatan Untuk Ibu & Ayah