5 sebab keguguran dan cara mengatasinya

lead image

Tiada siapa yang inginkan keguguran berlaku. Namun, di atas sebab-sebab tertentu, ada kebarangkalian untuk anda mengalami keguguran semasa mengandung. Jom ketahui apakah sebab tersebut berserta dengan cara untuk mengatasinya.

Sebaik sahaja menerima berita yang kita sedang mengandung, sudah pasti ramai yang berdoa agar si kecil di dalam perut itu sihat membesar sehingga hari bersalin. Namun, keguguran kadangkala datang menjengah di dalam tempoh mengandung.

Ia membawa seribu satu cerita duka, namun percayalah keguguran itu merupakan satu perkara normal dan tidak perlu dibimbangkan. Di sini, kami ingin kongsikan kepada anda sebab-sebab keguguran dan cara mengatasinya.

Sebab Utama Keguguran #1 – Masalah Kromosom Fetus Bayi 

Sebenarnya, keguguran merupakan satu proses biasa di dalam kesinambungan hidupan manusia. Maksudnya, keguguran itu akan berlaku apabila fetus yang sedang membesar di dalam perut ibu itu mempunyai masalah kromosom. Tanpa keguguran, akan lahirlah manusia-manusia yang cacat dan tidak sempurna sifat.

Maka, keguguran adalah proses yang diciptakan oleh Tuhan supaya hanya fetus dengan kromosom yang sempurna sahaja dapat membesar di dalam perut ibu dan seterusnya dilahirkan ke dunia.

Apakah yang dimaksudkan dengan masalah kromosom? Setiap manusia mempunyai 23 pasang kromosom dan kadangkala, semasa dalam proses pembahagian dan penggandaan kromosom fetus bayi, jumlahnya terlebih atau tidak mencukupi. Apabila ini terjadi, keguguran akan berlaku.

Masalah yang pertama ini membawa kepada 60% sebab utama keguguran. Dan, ia selalunya berlaku semasa trimester yang pertama.

Sebab Utama Keguguran #2 – Masalah Tiroid Pada Ibu

Lagi satu sebab keguguran adalah masalah tiroid. Jika seseorang itu mengalami penyakit hipotiroid (terkurang) atau hipertiroid (terlebih), ia boleh membawa kepada masalah kesuburan dan keguguran.

What are the reasons for miscarriage 5 sebab keguguran dan cara mengatasinya

Source: Beautyhealthtips.in

Hipotiroid akan menyebabkan badan si ibu menghasilkan lebih banyak hormon yang akhirnya akan membantutkan proses ovulasi. Manakala, hipertiroid pula akibat mengakibatkan gangguan kepada hormon estrogen, iaitu hormon yang penting bagi proses pelekatan embrio (implantation) pada uterus si ibu.

Selalunya, masalah tiroid pada si ibu akan menyebabkan keguguran di dalam trimester kedua.

Sebab Utama Keguguran #3 – Masalah Bentuk Rahim dan Serviks

Sememangnya ada wanita yang dilahirkan dengan bentuk rahim yang luar dari kebiasaan. Antaranya seperti rahim terbalik atau terbelah dua (uterine septum). Apabila si ibu mempunyai rahim sebegini, pelekatan embrio kepada uterus ibu sangat sukar untuk berlaku. Jika ia terlekat sekalipun, ada kebarangkalian tinggi untuk ia gugur. Masalah bentuk rahim membawa kepada 10% sebab keguguran di kalangan ibu-ibu.

Selain bentuk rahim, keadaan serviks ibu juga boleh membawa kepada masalah gugurnya bayi. Serviks yang lemah akan menyebabkan keguguran pada penghujung trimester pertama kerana ia tidak mampu menampung bayi yang semakin membesar.

Sebab Utama Keguguran #4 – Penyakit Diabetes Yang Tidak Dikawal

Penyakit diabetes yang tidak dikawal dengan baik juga meningkatkan potensi keguguran di kalangan ibu yang mengandung. Ini adalah kerana, penyakit diabetes tersebut akan membuatkan persekitaran rahim (uterin) si ibu tidak mesra terhadap fetus yang semakin membesar di dalamnya.

Ia akan menyebabkan fetus itu tidak dapat hidup dengan baik, seterusnya gugur dari rahim. Masalah keguguran ini selalunya berlaku di dalam trimester kedua.

Sebab Utama Keguguran #5 – Terlebih Pengambilan Kafein

 5 sebab keguguran dan cara mengatasinya

Source: Pexels.com

Jika anda penggemar kopi atau sebarang minuman yang mengandungi kafein dan sedang mengandung, anda perlu berhati-hati. Menurut NHS UK, pengambilan kafein melebihi 200mg sehari akan meningkatkan kemungkinan keguguran sebanyak dua kali ganda! Kajian menyatakan bahawa kafein yang diminum itu akan mengganggu plasenta dan membantutkan pembesaran fetus.

Jika anda ingin tahu, secawan air teh mempunyai lebih kurang 75mg kafein dan secawan kopi mempunyai 100mg kafein. Jumlah kafein di dalam badan turut boleh meningkatkan jika anda mengambil air soda, bar coklat dan minuman tenaga pada hari yang sama.

Antara Sebab-Sebab Keguguran yang Lain

Selain daripada 5 sebab keguguran yang utama di atas, para doktor dan pengkaji turut menyatakan sebab-sebab keguguran yang lain. Antaranya, masalah jangkitan bakteria, masalah PCOS, masalah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan terdedah kepada bahan toksik, serta komplikasi penyakit kronik yang lain.

Bagaimana Mengatasi Keguguran?

Apabila berlakunya keguguran, ia boleh meninggalkan kesan yang agak teruk kepada emosi si ibu serta pasangannya – terutama bagi mereka yang begitu inginkan cahaya mata. Jadi, apa yang anda perlu buat untuk mengatasi permasalah ini?

Miscarriage statistic 02 5 sebab keguguran dan cara mengatasinya

Source: Tommys.org

  • Jika anda mengalami masalah keguguran yang berterusan, mungkin anda (dan pasangan) perlu membuat ujian kromosom. Ini bagi memastikan tiada masalah anomali kromosom di kalangan anda berdua.
  • Seterusnya, ubah cara hidup anda kepada yang lebih sihat. Lebihkan makanan bernutrisi, banyakkan bersenam dan kurangkan terdedah kepada kafein, asap rokok serta bahan toksin di persekitaran anda.
  • Bergembiralah dan jangan berasa tertekan. Perasaan gembira pada si ibu akan menghasilkan ovum yang sihat dan seterusnya membantu dalam kehamilan yang kedua.
  • Jika anda mengalami diabetes atau penyakit kronik yang lain, dapatkan nasihat daripada doktor. Mereka boleh membantu anda dari segi pembekalan ubat serta rawatan yang bersesuaian bagi mengelakkan keguguran pada kehamilan yang akan datang.
  • Bagi masalah rahim yang tidak normal, masih ada harapan buat anda. Ia boleh diselesaikan dengan pembedahan. Rujuk Pakar O&G kerana mereka boleh memberikan nasihat dan panduan yang betul kepada anda.

Jika anda baru sahaja mengalami keguguran, jangan bersedih. Banyakkan bersama dengan orang yang tersayang. Pergilah bercuti dan kekalkan minda yang positif. Cuba lagi dan lagi. Kajian ada menyatakan bahawa setinggi 70% wanita telah berjaya hamil selepas mencuba semula dalam masa 3 bulan selepas keguguran. Itu adalah satu statistik yang tinggi, meyakinkan dan memberi harapan, kan?

Anda pernah mengalami keguguran? Kongsikan bersama dengan para ibu yang lain bagaimana anda mengatasinya. Mereka pasti dapat manfaat daripada perkongsian anda.