Sakit bersalin selepas pembedahan caesarean masih belum hilang. Tapi, suami seakan memberi “tanda-tanda” ingin bersama. Adakah bersama selepas bersalin menyakitkan?
Ada esetengah wanita yang bersalin secara pembedahan terus melakukan hubungan seks secepat mungkin selepas mereka pulih berpantang.
Jadi jawapan kepada persoalan ini adalah subjektif, ada wanita yang tidak berasa sakit apabila selepas bersama, ada juga wanita yang berasa sakit atau tidak selesa.
Ia juga bergantung kepada berapa lama badan anda mengambil masa untuk pulih. Menurut pakar seeloknya hubungan intim dilakukan selepas 2 bulan anda bersalin.

Tapi, jangan panik jika anda tak mahu melakukan hubungan intim ini lagi. Ramai wanita menangguh sesi melakukan hubungan seks selepas bersalin atas beberapa faktor.
Dan faktor yang paling utama adalah kerana rasa sakit.
Melakukan hubungan seks selepas bersalin, terutamanya bila anda bersalin secara pembedahan caesarean mungkin menyebabkan ketidakselesaan sekiranya terlalu cepat.
Walaubagaimanapun, kami di sini ingin berkongsi beberapa panduan untuk anda, sepertimana yang telah kami terima daripada Mother How!
Bila anda boleh kembali bersama selepas bersalin secara pembedahan?
Doktor pakar akan menasihatkan anda untuk tunggu sehingga 4 hingga 6 minggu selepas pembedahan, sebelum anda boleh melakukan hubungan seks semula.
Hal ini bagi menanti badan anda “kembali” normal dan sihat seperti sediakala.
Proses untuk sembuh daripada pembedahan biasanya mengambil masa lebih lama kerana “bahagian bawah” itu ingin pulih!
Apa yang pasti, anda perlu tunggu hingga pendarahan selepas bersalin (nifas) anda berhenti, dan badan anda kembali pulih – sebelum anda dan pasangan boleh bermesra semula!
Kredit: New Health Advisor
Adakah seks selepas bersalin secara pembedahan berbahaya?
Ya! Jika badan anda masih tidak pulih sepenuhnya!
Terdapat risiko tinggi untuk jangkitan kuman dan penyakit akibat pendarahan selepas bersalin. Ada beberapa kes melaporkan mangsa mengalami pendarahan yang teruk kerana melakukan hubungan seks terlalu awal!
Semuanya kerana selepas bersalin, plasenta akan dikeluarkan daripada rahim. Pengeluaran ini menghasilkan luka yang menyebabkan pendarahan selepas bersalin.
Rahim anda juga akan mengecut sebelum servik tertutup semula. Maka, perbuatan melakukan hubungan seks terlalu awal boleh memberi jangkitan pada luka yang belum sembuh.
Jika anda mahu kurangkan risiko terkena jangkitan, tunggu sehingga pendarahan selepas bersalin anda berakhir. Ia keputusan yang lebih bijak!
Ketidakselesaan itu normal
Perumpaaan mengatakan, perbuatan melakukan hubungan seks selepas bersalin secara pembedahan seperti kembali menjadi anak dara.
Anda akan mengalami kesakitan, dan akan teragak-agak untuk meneruskan hubungan jika pertama kali mencubanya.
Tapi semua itu normal. Jangan risau. Perlahan-lahan, okay?
Mengapa kesakitan ini terjadi? Ia kerana perubahan hormon yang terjadi dalam badan anda selepas bersalin.
Biasanya, dinding faraj akan mengering. Tisu perantaraan, otot dan ligamen dalam badan anda perlu merenggang, baru kehidupan intim anda akan kembali seperti sediakala.
Jika anda ingin mengurangkan “kesakitan” ini, cuba guna pelincir atau buat foreplay lebih lama.
Foreplay, urutan erotik dan cumbuan akan membantu wanita bertenang dan memberi tubuh mereka masa yang cukup untuk merembeskan pelincir semulajadi.

Terangkan pada pasangan. Moga mereka faham yang pada peringkat awal untuk kembali bersama ini, anda perlu lebih perhatian!
Kadangkala, kesakitan untuk bersama selepas bersalin secara pembedahan berlanjutan hingga minggu ke-12. Jumpa dan berbincang dengan doktor.
Dengar apa kata badan anda, dan lakukan hubungan seks dalam posisi yang paling anda selesa. Jangan pandang enteng kesakitan itu!
Lakukan semuanya secara perlahan-lahan dan penuh cermat. Semuanya akan kembali seperti sediakala, percayalah!
jangan malu
Bila bercakap tentang bersama selepas bersalin, wanita pasti akan mengalami beberapa perubahan dalam bentuk psikologi dan emosi.
Contohnya, wanita yang bersalin secara pembedahan caesarean — mereka akan berasa malu dengan parut di perut mereka. Benda yang tak sepatutnya mereka malu, pun!
Pertama – sebab ia bukti anda telah berjaya melahirkan anak.
Kedua – ada banyak rawatan yang boleh anda cuba untuk merawat parut.
Ketiga – sebab kelebihan pembedahan itu sendiri! Faraj anda masih ketat, tak terkoyak dan terbelah!
Jadi, mengapa anda nak malu?
Tahniah kerana telah menjadi seorang ibu kepada cahaya mata yang istimewa itu. Jangan terburu-buru untuk melakukan hubungan seks, okay? Beri badan anda masa!
Sumber rujukan: Mother How dan Healthline
Baca juga: Posisi Seks Yang Selamat Dilakukan Selepas Bersalin Normal
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!