10 Kesilapan Patut Dielak Semasa 1 Tahun Pertama Dalam Hidup Anak Anda

lead image

Ketika baru menjadi ibu, pasti ada beberapa kesilapan yang sering kita lakukan dalam penjagaan bayi. Mari ketahui 10 kesalahan utama yang ibu muda (dan kadangkala ibu berpengalaman!) sering buat.

Penjagaan bayi anda

Kami faham. Sebagai ibu baru, kadangkala mudah untuk rasa gelisah, risau dan keliru tentang bagaimana caranya untuk menjaga bayi anda.

Anda mungkin sudah mendengar beribu nasihat tentang apa yang perlu dilakukan, terutamanya semasa 1 tahun pertama dalam hidupnya.

Artikel ini akan berkongsi dengan anda beberapa tip dan panduan tentang apa yang TIDAK PATUT dibuat semasa menjaga bayi, daripada sejak dilahirkan sehinggalah dia menyambut hari jadinya yang pertama.

1. Mengharapkan si kecil itu ada rutin tidur dengan segera

Sudah pasti jadi impian setiap ibu baru untuk melihat bayinya tidur sepanjang malam. Tapi, malangnya, ini bukanlah apa yang akan berlaku.

Pakar corak tidur bayi menerangkan 50% kanak-kanak sehingga usia 2 tahun akan selalu terjaga di waktu malam.

Jadi, tak perlulah rasanya anda mengharapkan yang si kecil anda itu akan tidur lena sepanjang malam!

2. Terus menggunakan baby walker

bayi guna baby walker

Sumber: Shutterstock.com

Anda mungkin rasa yang anda sedang membantu si kecil untuk cepat berjalan dengan meletakkannya dalam baby walker.

Tapi, anda sebenarnya sedang mendedahkannya kepada mudarat, berbanding memberi manfaat.

Antara bahaya utama yang boleh terjadi kepada bayi yang menggunakan baby walker adalah dia akan terbalik, seterusnya mencederakan dirinya yang masih kecil itu.

Jangan terlalu risau ya ibu sekalian. Anak anda pasti akan pandai berjalan juga bila tiba masanya dan ketika dia bersedia untuk melakukannya.

3. Memandang ringan demam bayi

Dengan bayi yang lebih besar, ibu ayah selalunya menggunakan rawatan di rumah saja untuk merawat demam anak kecil. Jarang untuk kita berasa risau dengan suhu demam yang sederhana.

Tapi, hal ini tidak patut dilakukan pada bayi yang baru lahir! Jika bayi anda mengalami kenaikan suhu walaupun sedikit, segeralah membawanya berjumpa doktor, tanpa berlengah lagi.

4. Tidak memasang car seat bayi dengan betul

cara letak bayi dalam car seat

Sumber: iStockphoto.com

Jika anda tak pasti bagaimana untuk memasang car seat dengan cara yang betul, pastikan anda membaca panduan manual dari pengilang.

Anda juga boleh bertanyakan pada ibu lain untuk mendapatkan tip yang berguna.

Dengan memasang secara ketat dan betul, anda menyelamatkan si kecil anda daripada kecederaan yang serius jika anda terlibat dalam kemalangan jalan raya.

5. Meletakkan terlalu banyak barang dalam katil bayi

Ya, bayi kecil memang kelihatan comel jika dia berbaring di katil yang dipenuhi dengan bantal lembut, selimut dan mainan berwarna-warni.

Tetapi, pakar menyatakan yang jika anda melakukan hal ini, anda akan meninggikan risiko SIDS (sindrom kematian bayi secara tiba-tiba).

Elakkan dari menggunakan bantal dan selimut jika anak anda berusia bawah setahun.

Kawal suhu badannya dengan menggunakan baju tidur yang sesuai atau kawal suhu bilik nurseri anda menggunakan penyaman udara atau kipas.

6. Mengabaikan naluri keibuan anda

ibu mendukung bayi

Sumber: Freepik.com

Amat mudah untuk seorang ibu muda yang baru bergelar ‘Mama’ menjadi keliru dan risau tentang bayi mereka.

Namun, anda perlu sedar, sebaik sahaja si kecil anda dilahirkan, anda telah dianugerahkan dengan satu hadiah baru yang sangat istimewa – ia dipanggil “naluri ibu“.

Tidak semua orang memilikinya. Jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi anda, percayalah pada naluri itu!

Walaupun orang di sekeliling tidak mempersetujuinya atau mengatakan yang anda cuma fikir bukan-bukan, percayalah pada detik hati anda dan dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin.

7. Terlalu risau tentang perkembangan bahasa anak anda

Dengan anak pertama, saya cukup risau tentang perkembangan percakapannya. Saya menjangkakan yang dia boleh bercakap sebaik sahaja berusia setahun (semua buku yang saya baca kata begini!).

Saya bertambah risau bila makcik saya tak henti-henti bertanya: “Dia belum boleh bercakap lagi?”

Seperti berjalan, bayi anda akan mula bercakap apabila dia cukup bersedia.

Jika anda benar-benar risau, baca artikel ini dan ketahui bagaimana ingin mengukur masalah pertuturan yang selalu terjadi pada kanak-kanak dan apa anda boleh buat untuk mengatasinya.

8. Keliru antara muak dan muntah

beza muak dan muntah bayi

Sumber: Babycenter.com

Jururawat kanak-kanak, Jennifer Walker, ada menerangkan bahawa:

“Apa yang membezakan antara muak dan muntah itu adalah kekerapan, dan bukannya cara bayi itu mengeluarkan susu dari mulut. Jika bayi anda muntah akibat virus usus, ianya akan terjadi setiap 30 ke 45 minit selepas makan. Muak pula selalunya berlaku sebaik sahaja selepas makan.”

9. Mengabaikan penjagaan gigi

Walaupun bayi anda belum tumbuh gigi, ia tak bermaksud yang anda patut mengabaikan penjagaan giginya secara keseluruhan.

Pastikan anda mencuci gusi dan lidah si kecil anda itu dengan kain kasa basah dan gunakan berus gigi kanak-kanak yang sesuai apabila giginya mula tumbuh.

10. Baca terlampau banyak informasi

ibu baca buku bayi

Sumber: Drbeurkens.com

Kadangkala, membaca terlalu banyak pun boleh mendatangkan masalah, terutamanya apabila anda tidak lagi tahu bagaimana untuk memprosesnya sehingga membuatkan anda berasa tidak senang duduk!

Lagi-lagi, kalau anda asyik bertanyakan pada “Mr Google” tentang cara penjagaan bayi.

Untuk memastikan anda sentiasa mendapat maklumat yang betul, carilah informasi dari sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

Baca betul-betul informasi tersebut dan ambil apa yang anda rasa dapat membantu anda dalam penjagaan bayi. Selebihnya abaikan sahaja!

Sumber: The Asian Parent Singapore

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

5 Mitos Tentang Penjagaan Bayi