Sistem Imun Ibu Hamil Rendah Punca Mudah Jatuh Sakit, Ini 10 Cara Kuatkan Imun Sepanjang Kehamilan

undefined

Sistem imun ibu hamil mengalami perubahan semula jadi untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran janin, membuatkan anda mudah jatuh sakit

Kehamilan adalah satu fasa yang luar biasa dalam kehidupan seorang wanita. Tubuh mengalami pelbagai perubahan untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam rahim. Salah satu perubahan ketara adalah sistem imun ibu hamil rendah.

Sistem imun lemah ketika hamil adalah sebahagian daripada proses semula jadi untuk melindungi janin yang dianggap ‘asing’ oleh sistem pertahanan tubuh ibu.

Walaupun ini merupakan mekanisme biologi yang penting, sistem imun yang menjadi lemah juga membawa risiko tertentu kepada si ibu, termasuk kerentanan terhadap jangkitan dan penyakit.

Apa Maksud Sistem Imun Lemah

Sistem imun adalah rangkaian kompleks sel, tisu dan organ yang bekerja bersama untuk melawan kuman, virus, dan bahan asing yang boleh menyebabkan penyakit. Sistem imun yang lemah bermaksud tubuh kurang efisien dalam mempertahankan diri daripada jangkitan atau penyakit.

Kenapa Imun Ibu Hamil Rendah?

Berikut beberapa sebab kenapa imun ibu hamil rendah:

1. Perubahan Hormon

Kehamilan menyebabkan lonjakan hormon seperti progesteron dan estrogen, yang berperanan untuk mengekalkan kehamilan. Namun, hormon ini juga memberi kesan kepada sistem imun dengan menjadikannya lebih “toleran” dan kurang agresif terhadap ancaman tertentu, supaya janin tidak dianggap musuh oleh tubuh ibu.

2. Sistem Imun Sedang Disesuaikan

Ramai menyangka sistem imun ibu hamil lemah, tetapi sebenarnya ia disesuaikan. Sebahagian tindak balas imun dikurangkan, manakala sebahagian lagi kekal aktif. Sistem imun dalam keadaan ini lebih berhati-hati dan memilih untuk tidak menyerang demi keselamatan bayi dalam kandungan.

3. Tekanan Fizikal Dan Tubuh Letih

Sistem imun lemah ketika hamil juga disebabkan oleh tekanan fizikal dan tubuh letih.

Tubuh ibu bekerja lebih keras untuk menyokong dua nyawa iaitu ibu dan bayi. Ini menyebabkan tenaga berkurang, tubuh menjadi lebih mudah letih, dan proses pertahanan terhadap jangkitan menjadi perlahan. Ibu juga lebih cenderung mengalami gangguan tidur, kurang selera makan, atau loya yang semuanya boleh mengganggu sistem imun.

4. Kekurangan Zat Makanan

Jika ibu tidak mendapat nutrien yang mencukupi seperti zat besi, vitamin C, D, E dan zink, sistem imun tidak dapat berfungsi secara optimum. Ini boleh berlaku jika ibu kurang selera makan, mengalami alahan terhadap makanan tertentu, atau tidak mengamalkan diet seimbang semasa mengandung.

5. Perubahan Untuk Melindungi Janin

Sistem imun lemah ketika hamil adalah disebabkan oleh perubahan untuk perlindungan janin.

Bayi dalam rahim ibu membawa DNA yang bukan 100% dari ibu, secara teknikalnya, ia adalah “asing”. Jadi sistem imun perlu memperlahankan tindak balas semula jadi supaya tidak menyerang janin. Ini membuatkan ibu lebih mudah terdedah kepada jangkitan luaran seperti selsema, demam, atau batuk.

Tanda Sistem Imun Yang Lemah

Tak semua ibu sedar bila imun tubuh mereka mula menurun. Tapi ada beberapa tanda sistem imun yang lemah ketika hamil:

  • Kerap jatuh sakit seperti demam atau selsema

  • Luka kecil lambat sembuh

  • Rasa lesu atau keletihan berpanjangan

  • Gusi mudah berdarah atau sariawan kerap berlaku

  • Mudah berpeluh malam walaupun suhu normal

Jika anda alami beberapa simptom ini, ada kemungkinan imun rendah semasa hamil dan perlukan perhatian dari segi rehat, pemakanan, dan mungkin juga nasihat doktor.

Kesan Sistem Imun Yang Lemah

Sistem imun lemah ketika hamil bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan ibu, tetapi juga membawa implikasi yang besar terhadap perkembangan janin dalam kandungan.

Sistem imun yang tidak berfungsi dengan optimum boleh menyebabkan tubuh kurang cekap melawan jangkitan, sekaligus meningkatkan risiko komplikasi sepanjang tempoh kehamilan. Berikut adalah antara kesan imun lemah ketika hamil:

1. Jangkitan Berulang

Sistem imun lemah pada ibu hamil membuatkan anda lebih terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan berulang, khususnya jangkitan virus seperti selesema biasa (common cold), influenza, dan COVID-19. Walaupun penyakit ini dianggap ringan bagi individu sihat, namun kesannya boleh menjadi lebih serius terhadap wanita hamil.

Sistem imun yang tidak cukup kuat menyebabkan tubuh lambat bertindak balas terhadap patogen. Ini boleh mengakibatkan:

  • Demam berpanjangan

  • Radang paru-paru

  • Risiko dehidrasi

  • Kesukaran bernafas

Jangkitan seperti influenza juga telah terbukti dalam beberapa kajian boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang atau berat badan bayi yang rendah. Oleh itu, pencegahan awal melalui penjagaan kesihatan dan vaksinasi sangat penting dalam kalangan ibu hamil.

2. Risiko Jangkitan Janin

Salah satu kebimbangan utama apabila sistem imun lemah ketika hamil ialah kemungkinan patogen menembusi plasenta dan menjangkiti janin. Terdapat beberapa jenis jangkitan yang berbahaya dalam konteks ini, antaranya:

  • Rubella: Jangkitan ini boleh menyebabkan Sindrom Rubella Kongenital yang mengakibatkan kecacatan jantung, pekak, dan masalah penglihatan pada bayi.

  • Cytomegalovirus (CMV): Boleh menyebabkan masalah pembelajaran, buta atau pekak kongenital.

  • Toxoplasmosis: Datang daripada parasit yang biasanya diperoleh daripada daging mentah atau najis kucing. Jangkitan ini boleh merosakkan otak dan mata bayi yang sedang berkembang.

Apabila sistem imun ibu tidak cukup kuat untuk menahan jangkitan ini, risiko penularan kepada janin menjadi lebih tinggi. Dalam kes tertentu, jangkitan ini juga boleh menyebabkan keguguran atau kematian dalam rahim.

3. Komplikasi Kehamilan

Sistem imun yang tidak stabil boleh menyebabkan jangkitan berlarutan dalam tubuh ibu. Jika tidak dikawal dengan baik, jangkitan ini berpotensi mencetuskan beberapa komplikasi serius dalam kehamilan seperti:

  • Air ketuban pecah awal (Preterm Premature Rupture of Membranes – PPROM)

    Keadaan ini berlaku apabila kantung ketuban pecah sebelum waktu kelahiran sebenar. Ia boleh menyebabkan bayi dilahirkan terlalu awal dan meningkatkan risiko jangkitan intrauterin.

  • Tekanan darah tinggi (Hypertension)

    Jangkitan atau keradangan yang berpanjangan boleh mengganggu keseimbangan vaskular dalam badan ibu dan mencetuskan tekanan darah tinggi.

  • Preeclampsia

    Merupakan satu keadaan kehamilan yang serius dan boleh membahayakan nyawa jika tidak dikendalikan. Ia dikaitkan dengan tekanan darah tinggi dan kerosakan pada organ seperti hati dan buah pinggang. Kajian menunjukkan bahawa proses keradangan yang berkait rapat dengan sistem imun turut menjadi faktor penyumbang kepada preeclampsia.

  • Kelahiran pramatang

    Mana-mana jangkitan yang kronik atau tidak terkawal boleh menyebabkan pengecutan rahim lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin, sekaligus membawa kepada kelahiran pramatang. Bayi pramatang lebih berisiko mengalami masalah kesihatan seperti gangguan pernafasan, berat lahir rendah, dan sistem imun yang lemah sejak lahir.

Cara Meningkatkan Imun Ibu Hamil

Semasa hamil, sistem imun ibu perlu dijaga supaya ibu kekal sihat dan bayi dalam kandungan juga terjaga. Berikut adalah cara meningkatkan imun ibu hamil secara semula jadi;

1. Ambil Probiotik Setiap Hari

2. Pastikan Cukup Rehat dan Tidur Berkualiti

Tidur yang cukup dan berkualiti sangat penting untuk memperbaiki sistem imun. Semasa tidur, tubuh menghasilkan protein yang dipanggil sitokin, yang membantu melawan jangkitan dan keradangan. Ibu hamil disarankan untuk mendapatkan tidur sekurang-kurangnya 7-8 jam sehari dan cuba elak gangguan tidur seperti kerap bangun malam atau stres.

3. Kekal Terhidrat dengan Minum Air Secukupnya

Air membantu sistem imun berfungsi dengan lancar dengan membuang toksin dan memastikan sel tubuh berfungsi dengan optimum. Ibu hamil disarankan untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Elakkan minuman bergula dan berkafein yang boleh menyebabkan dehidrasi.

4. Kurangkan Stres dan Amalkan Teknik Relaksasi

Stres yang berpanjangan boleh melemahkan sistem imun. Ibu hamil digalakkan untuk meluangkan masa untuk berehat, bermeditasi, melakukan pernafasan dalam, atau aktiviti yang menenangkan seperti membaca atau mendengar muzik. Sokongan emosi daripada keluarga dan rakan juga sangat membantu.

5. Dapatkan Vaksinasi Yang Disaran Doktor

Beberapa vaksinasi seperti vaksin influenza dan Tdap (tetanus, difteria, pertusis) adalah penting untuk ibu hamil bagi mengelak jangkitan yang boleh membahayakan ibu dan bayi. Pastikan vaksin ini diambil selepas berunding dengan doktor.

6. Elakkan Merokok Dan Jauhi Persekitaran Tercemar

Asap rokok dan pencemaran udara boleh melemahkan daya tahan badan dan membahayakan kesihatan janin. Ibu hamil perlu mengelakkan merokok dan tempat yang berasap atau tercemar.

7. Jaga Kebersihan Diri dan Persekitaran

Amalan kebersihan seperti mencuci tangan dengan sabun, elakkan tempat sesak atau pesakit berjangkit, serta membersihkan rumah dengan kerap dapat mengelakkan penyebaran kuman. Ibu hamil perlu lebih berhati-hati kerana sistem imun sedang berubah.

8. Lakukan Aktiviti Fizikal Ringan

Senaman ringan seperti berjalan kaki, yoga prenatal atau regangan dapat meningkatkan peredaran darah, memperbaiki mood dan menguatkan sistem imun. Pastikan mendapat nasihat doktor sebelum memulakan sebarang rutin senaman semasa hamil.

9. Pastikan Pemeriksaan Kehamilan Berkala

Sentiasa hadir ke temu janji pranatal untuk pemantauan kesihatan. Doktor boleh mengesan awal jika ada tanda-tanda tubuh lemah atau risiko jangkitan, lalu mengambil tindakan awal untuk mengelakkannya.

10. Ambil Suplemen Jika Disarankan Doktor

Jika diperlukan, doktor mungkin akan mencadangkan suplemen seperti asid folik, vitamin C, vitamin D, atau zink untuk menyokong imun. Jangan ambil sebarang vitamin tanpa nasihat doktor kerana ada yang tidak sesuai untuk kehamilan.

Makanan Penambah Imun Ibu Hamil

Berikut adalah jenis makanan penambah imun ibu hamil:

1. Buah-Buahan Citrus

Buah seperti oren, limau, grapefruit, dan lemon kaya dengan vitamin C yang sangat penting untuk meningkatkan penghasilan sel darah putih dan antibodi. Vitamin C membantu tubuh melawan jangkitan dan mempercepatkan penyembuhan luka.

2. Sayuran Hijau

Sayur seperti bayam, kale, dan brokoli mengandungi vitamin A, C, dan folat serta zat besi yang membantu memperkuat sistem imun dan meningkatkan tenaga. Zat besi juga penting untuk pembentukan sel darah merah yang sihat.

3. Yogurt dan Produk Tenusu

Yogurt yang mengandungi probiotik membantu meningkatkan keseimbangan bakteria baik dalam usus, sekaligus menyokong sistem imun. Produk tenusu juga sumber baik kalsium dan vitamin D, yang penting untuk tulang ibu dan bayi.

4. Ikan Berlemak

Ikan seperti salmon, sardin, dan mackerel kaya dengan omega-3 dan vitamin D yang membantu mengurangkan keradangan dan meningkatkan fungsi imun. Omega-3 juga menyokong perkembangan otak bayi.

5. Kacang dan Bijirin

Kacang seperti almond, walnut, dan bijirin penuh mengandungi zink dan protein yang penting untuk pembentukan sel imun dan pembaikan tisu. Zink juga membantu sistem imun melawan virus dan bakteria.

6. Bawang Putih

Bawang putih mempunyai sifat antibakteria dan antivirus semula jadi yang boleh membantu tubuh melawan jangkitan. Mengambil bawang putih secara sederhana dalam masakan dapat menyokong daya tahan badan.

7. Telur

Telur kaya dengan protein, vitamin D, dan selenium yang sangat penting untuk memperbaiki dan menguatkan sistem imun. Protein juga membantu membina tisu dan sel baru untuk tubuh ibu dan bayi.

Suplemen Imun: Perlu Atau Tidak?

Secara umum, makanan sebenar adalah pilihan terbaik. Tapi ada keadaan di mana doktor akan menyarankan suplemen tambahan seperti:

  • Vitamin C atau D tambahan jika ibu kurang terdedah pada cahaya matahari

  • Zink atau zat besi tambahan jika darah ibu menunjukkan tanda kekurangan

  • Probiotik khas untuk ibu hamil – bagus jika ibu sering alami masalah penghadaman atau sembelit

Walau bagaimanapun, suplemen mesti diambil di bawah nasihat doktor. Elakkan beli suplemen tanpa rujukan kerana tidak semua sesuai untuk kehamilan.

Vaksin Penting Untuk Ibu Hamil

Vaksin bukan sekadar untuk anak, ibu hamil juga perlu vaksin tertentu untuk lindungi diri dan bayi. Antara vaksin untuk ibu hamil yang disarankan oleh pakar adalah:

  • Vaksin influenza (flu): Selamat diambil semasa hamil dan bantu cegah komplikasi flu yang serius.

  • Vaksin Tdap (tetanus, difteria, pertusis): Biasanya diberi antara minggu ke-27 hingga 36 untuk lindungi bayi daripada batuk kokol selepas lahir.

Vaksin ini tidak hanya melindungi ibu, malah antibodi dari vaksin akan disalurkan kepada bayi dan memberi perlindungan sementara selepas kelahiran.

Kesimpulannya, sistem imun ibu hamil adalah benteng pertama yang melindungi dua nyawa iaitu ibu dan bayi. Walaupun sistem ini berubah semasa kehamilan, ada banyak cara untuk pastikan ia kekal kuat.

Dengan amalan gaya hidup sihat, pemakanan yang betul, tidur cukup dan sokongan emosi yang baik, ibu boleh mengharungi kehamilan dengan lebih sihat dan bertenaga.

Semoga artikel ini bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Baca juga:  Jangkitan Kuman Ketika Hamil Dan Risiko Terhadap Bayi Dalam Kandungan

Baca juga:  Bahaya Demam Panas Semasa Hamil, Punca Kecacatan Jantung & Wajah Pada Janin

Baca juga:  Ibu Mengandung Boleh Makan Panadol? Hati-Hati, Ini Jawapan Pakar

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!