Susah Tidur Ketika Hamil Ada Sebabnya - Ini Cara Bantu Anda Tidur Malam

Susah Tidur Ketika Hamil Ada Sebabnya - Ini Cara Bantu Anda Tidur Malam

Sekiranya anda juga menghadapi masalah sukar tidur dalam keadaan hamil, jangan risau! Perkara ini merupakan satu perkara yang biasa dihadapi oleh wanita hamil. Wanita hamil sering mengadu bahawa mereka menghadapi masalah sukar tidur.

Sedar atau tidak, sebaik sahaja anda mengalami proses persenyawaan, tubuh badan anda mula mengalami proses perubahan yang amat ketara. Perubahan ini akan berterusan sehinggalah anda melahirkan bayi anda. Sudah pasti, perubahan ini akan menyebabkan anda merasakan perbezaan dan ia mampu mempengaruhi kitaran tubuh anda. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan anda susah tidur ketika hamil.

Susah tidur ketika hamil adalah perkara normal di mana-mana peringkat kehamilan, namun kebanyakan wanita hamil akan alami insomnia bermula trimester kedua hingga ketiga. Lagi-lagi apabila perut semakin membesar dan belakang juga semakin sakit. Apabila ini berlaku, wanita hamil akan rasa tidak selesa untuk baring apatah lagi tidur.

Sebenarnya ada beberapa faktor lain yang menyebabkan anda susah tidur ketika hamil. Antaranya:

Faktor fizikal bagi susah tidur ketika hamil

susah tidur ketika hamil

Kredit: Freepik

1# Rasa pedih ulu hati terutamanya ketika baring

Rasa pedih ulu hati ini merupakan kesan dari sistem penghadaman ibu hamil yang lebih perlahan dari biasa. Apabila sistem penghadaman ibu hamil menjadi lebih perlahan, ia boleh menyebabkan makanan tidak hadam tinggal lebih lama di dalam perut dan usus.

 

2# Rasa berdebar-debar

Rasa berdebar-debar pula disebabkan oleh kadar denyutan jantung menjadi lebih tinggi ketika hamil. Ini disebabkan jantung anda bekerja keras untuk membekalkan darah kepada anda dan juga bayi di dalam kandungan anda.

Kedua-dua keadaan ini mungkin akan menjadi lebih ketara di hujung peringkat hamil bila bayi anda yang semakin membesar mula menekan bahagian abdomen. Tekanan ini akan menyempitkan bahagian perut dan juga menyebabkan jantung bekerja lebih keras lagi.

Anda boleh mengatasi masalah ini dengan membiasakan diri untuk tidur di bahagian sisi, terutamanya sisi kiri. Tidur di bahagian sisi sangat bermanafaat untuk wanita hamil di mana ia mampu meningkatkan kadar bekalan darah dan nutrient yang diperlukan oleh anda dan juga kandungan anda.

3# Sakit belakang atau kejang kaki terutamanya di bahagian betis

Susah Tidur Ketika Hamil Ada Sebabnya - Ini Cara Bantu Anda Tidur Malam

Kredit: Freepik

Rasa sakit belakang ketika tidur biasanya disebabkan oleh penghasilan hormon relaksin. Hormon ini bertujuan untuk melonggarkan ligamen anda.

Namun begitu, hormon ini juga akan menyebabkan anda lebih mudah berasa sakit. Kejang kaki pula disebabkan oleh tanggungan beban yang anda bawa, iaitu bayi anda sendiri.

Keadaan kejang kaki boleh dikurangkan dengan bergerak lebih perlahan. Kurangkan membuat pergerakan secara tiba-tiba. Ini bertujuan untuk merelakskan otot kaki anda dan mengurangkan risiko terseliuh yang sudah pasti akan memburukkan keadaan anda.

Di samping itu, cuba alaskan belakang anda dengan bantal dan letakkan bantal di antara kaki anda. Tidur dengan posisi mengiring dan bengkokkan kaki anda.

4# Rasa ingin kencing

Rasa ingin kencing selalu adalah kerana darah bertambah dalam tubuh anda. Bagi memproses peredaran darah ini, buah pinggang anda perlu menghasilkan lebih banyak cecair yang akan menjadi kencing.

Walaupun rasa kencing ketika hamil membuatkan kita gelisah dan tidak tenang, ia adalah simptom kehamilan yang normal. Oleh sebab itu, anda akan rasa susah tidur ketika hamil.

Jadi bagi membantu anda untuk kurang rasa ingin kencing, ada beberapa cara anda boleh buat. Antaranya:

  • Elak minum air bergas, kopi atau teh. Jika boleh, minum air kosong sahaja.
  • Sebelum tidur, kurangkan jumlah air yang anda biasa minum bagi mengelakkan kekerapan bangun tidur.
  • Makan makanan yang kaya dengan fiber bagi elak sembelit kerana sembelit boleh menyebabkan rasa kencing kerap.
  • Pastikan berat badan sihat kerana berat badan berlebihan akan menambah tekanan pada pundi kencing jadi ini menyebabkan anda ingin selalu kencing. 

Faktor emosional/hormonal bagi susah tidur ketika hamil

susah tidur ketika hamil

Kredit: Freepik

Wanita hamil sudah pasti akan mengalami proses perubahan hormon yang sangat drastik. Perubahan hormon ini akan mempengaruhi keadaan emosi anda.

Pada waktu inilah anda akan mula memikirkan hal-hal yang bermacam-macam; dari isu-isu ketika hamil dan bersalin hinggalah ke isu kos penjagaan bayi anda.

Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan stress seterusnya menganggu kualiti tidur anda. Anda juga mungkin akan mengalami mimpi yang beraneka ragam. Ada juga sehingga yang mengigau. Semua ini akan mengangggu tidur anda, seterusnya menyebabkan anda sukar tidur.

Cara mengatasi masalah ini? Tarik nafas dalam-dalam dan bertenanglah! Cuba alihkan fikiran anda kepada kegembiraan menerima cahaya mata tidak lama lagi.

Fokuskan tumpuan anda kepada perkara positif. Sentiasa bertindak proaktif dan jangan biarkan anda sendirian dilamun emosi.

Selamat mencuba!

Artikel ini ditulis oleh Saadah Baharudin dan pertama kali diterbitkan di Pregnant.my

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Suami Asyik Tidur Atas Sofa? Ini Tips Isteri Umpan Suami Tidur Dalam Bilik

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!