Bayi Suka Tidur Siang & Berjaga Malam, Ibu Kena Buat 3 Perkara Ini Barulah Anda Tidak Penat!

Sukar tidur malam dan kerap berjaga merupakan masalah yang paling biasa dihadapi kebanyakan ibu ayah pada awal kelahiran bayi

Beberapa minggu pertama selepas kelahiran, ramai ibu ayah perlu bersedia fizikal dan mental dalam menguruskan bayi baru lahir. Antara yang paling mencabar apabila si manja sukar tidur malam dan berjaga hingga ke subuh.

Pastinya ia menjadi pengalaman yang agak sukar jika anda baru pertama kali bergelar ibu ayah. Mana tidaknya semua perkara dirasakan kekok dan agak mengambil masa untuk membiasakan diri dengan keadaan ini.

Namun jangan risau, sebab itulah ilmu keibubapaan perlu dipelajari agar anda tidak mudah tertekan dalam mengurus dan menjaga amanah yang diberikan.

Bayi sukar tidur malam, bagaimana cara untuk menghadapi masalah ini?

bayi susah tidur malam

Tidak dinafikan bahawa sesetengah bayi mudah tidur dan akan tidur sepanjang malam seawal usia lapan minggu. Namun kebanyakan bayi belum boleh melakukan sebegini sehingga mereka berusia lima atau enam bulan, atau mungkin lebih lewat dari itu.

Jadi sebagai ibu ayah seharusnya banyakkan bersabar. Jika mahu bayi tidur sepanjang malam, anda boleh menetapkan rutin tidur yang baik seawal usia.  

Antaranya adalah dengan:

#1. Mengenali tanda-tanda bayi sudah letih dan memahami pola tidur bayi

Selalunya pada usia enam hingga lapan minggu, bayi tidak boleh berjaga lebih daripada dua jam pada satu-satu masa.

Jika lewat menidurkannya, bayi mungkin terlalu letih dan tidak dapat tidur dengan mudah. Lihatlah tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda sudah mengantuk, seperti menggosok matanya, atau menarik telinganya.

Jika ibu ayah mengesan tanda-tanda ini, berkemungkinan besar bayi telah mengantuk.

Justeru segera letakkan bayi ke atas tilam tempat tidurnya. Secara perlahan-lahan anda akan belajar rentak masa bayi tidur dan tahu masa anak bersedia untuk tidur.

#2. Ajarkan bayi perbezaan siang dan malam

Bayi baru lahir agak sukar membezakan antara waktu siang dan waktu malam. Maka si manja akan tidur dan bermain mengikut selera mereka.

Jika mereka tidak diajar, ibu yang menjaga akan merasa keletihan kerana bayi tidak mahu tidur di malam hari dan tidur sepanjang waktu siangnya.

Dalam hal ini, seawal usia 4 minggu dan ke atas ibu hendaklah mengajarkan perbezaan waktu malam dan waktu siang.

ajar bayi perbezaan siang dan malam

  • Sebaik sahaja pagi, pastikan rumah dan ruang bilik cerah dan terang. Tarik langsir dan ucapkan selamat pagi kepada bayi. Tukar lampin dan pakaikannya dengan pakaian siang. Lakukan kerja rumah seperti biasa dan dedahkan si manja dengan bunyi bising seperti TV, mesin basuh atau vakuum. Untuk elak anak tidur waktu siang, ajak dia main bersama.
  • Ketika waktu malam, mandi dan pakaikan bayi dengan baju tidur. Tarik langsir dan pastikan hanya ada sedikit sahaja cahaya. Pastikan ruang bilik lebih tenang dan sunyi. Ibu jangan terlalu banyak bercakap dengannya. Lama-kelamaan, si manja akan tahu bahawa waktu malam adalah waktu untuk tidur.

#3. Berikan bayi peluang belajar tidur sendiri

Apabila bayi berusia enam hingga lapan minggu, anda boleh cuba memberi peluang kepada bayi untuk tidur dengan sendiri. Cara terbaik adalah dengan meletakkannya di katil semasa si manja sedang mengantuk, walaupun masih lagi berjaga.

Mengajar bayi anda tentang corak tidur adalah penting. Jika tidak anda akan bangun sepanjang malam kerana bayi susah tidur malam dan hanya mahu bermain.

punca susah tidur malam

Ada juga sesetengah ibu ayah mendodoikan anak mereka sebelum tidur. Jika anda dodoikan bayi untuk tidur setiap malam pada usianya lapan minggu, berkemungkinan bayi anda akan mahu didodoikan setiap kali mahu tidur.
.
Inilah sebabnya sesetengah pakar pakar kanak-kanak tidak menggalakkan para ibu mendodoikan atau menyusukan bayi mereka untuk tidur.

Untuk mendapat tabiat dan corak tidur yang sama setiap malam, anda harus menggunakan cara yang sama setiap malam.

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  Pernafasan Normal Bayi Mengikut Usia, Ibu Ayah Wajib Tahu! Elak Bahaya Pada Si Manja

Baca juga: Normalkah Bayi Tidur Berdengkur? Ibu, Ini Petua Selamat Hilangkan Dengkur Pada Si Manja

Baca juga:  Cara Mudah Melatih Bayi Tidur Sendiri Bermula Usia 1 Bulan, #3 Ramai Ibu Tidak Tahu!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!