Susulan kes anak muntah teruk, ketahui cara kesan susu formula palsu

lead image

Ada beberapa cara untuk anda mengesan susu bayi tiruan yang ada dijual di pasaran. Jika tersalah makan, ia boleh menyebabkan keracunan dan alahan pada bayi.

Seorang ibu, Seila Nawi, ada berkongsi pengalaman buruk yang menimpa bayinya. Mikael (1 tahun) muntah-muntah setelah meminum susu tiruan yang dibeli Seila di sebuah kedai.

Selain muntah-muntah, muka Mikael juga dipenuhi bintik kemerahan. Kejadian ini berlaku pada bulan Oktober 2017, namun ketika itu penyebabnya masih tidak diketahui.

Kes anak minum susu tiruan

Seila menulis kisahnya dalam sebuah posting Facebook:

Semalam Allah bagi petunjuk kepada persoalan saya selama 2 bulan lebih. Ini bukan silap Mead Johnson, saya faham.

Saya telah melaporkan kejadian anak saya kepada mereka hari ini. Tapi saya harap:

  1. Mead Johnson Malaysia & pihak KPDNKK telus untuk membanteras sekaligus menyalurkan maklumat untuk membezakan susu tiruan ni sebab ini untuk mendidik kita sebagai ibu bapa supaya tidak terus ditipu
  2. Sedia untuk berkongsi maklumat keputusan kandungan susu tiruan dari jabatan kimia nanti.

Oktober 2017, anak saya, Mikael, keluar masuk hospital, ingat lagi kan? Dia dimasukkan ke dalam wad lebih 2 minggu.

Puncanya masih tidak diketahui sehinggalah keluar berita tentang susu tiruan semalam.

Mikael mula muntah-muntah sehingga 9 kali sehari!

susu tiruan - fb

Kenapa sampai 9 kali, saya biarkan sajakah? Saya monitor dari rumah (kalau boleh nak elakkan ke hospital), dengan harapan & doa, Mikael akan reda dari muntah tapi tidak.

Saya bersyukur saya rekod & ambil gambar, sebab saya mahu update suami saya yang jauh dari kami.

Tengahari itu, muka dan badan Mikael mula kemerah-merahan dan panas. Setiap kali keluar merah-merah itu, saya mandikan dia; demamnya on dan off.

Menjelang jam 3pm, Mikael sudah lembik, terbaring, susu pun dia tidak mahu minum. Jadi, saya tidak berfikir panjang, saya terus bergegas ke hospital terdekat.

Curiga ingatkan alergi makanan, bukan kerana susu tiruan

Saya langsung tidak menyangka yang ia disebabkan susu. Doktor ada interview saya, dia hanya bertanyakan apa makanan tambahan (solid food) yang saya bagi pada Mikael.

Atau, jika Mikael ada termakan apa-apa saja dari persekitaran dalam rumah (disebabkan dia sudah mula merangkak ke sana sini, puas saya berfikir, saya tiada jawapannya).

Doktor terpaksa tahan Mikael di wad disebabkan dehidrasi dan untuk pemeriksaan lanjut. Masuk ke wad, sudah diberi drip, Mikael langsung tidak mahu susu atau makan.

Selepas itu, Mikael mula cirit-birit. Najisnya, seumur hidup saya, itu yang paling busuk saya pernah hidu.

www.facebook.com/norseila.nawi/videos/pcb.10211050445081606/10211050533563818/

Sangat busuk sehinggakan nurse tidak dapat menahan baunya sewaktu proses nak ambil sampel najis untuk ujian makmal. Mikael cirit-birit 11 kali pada hari itu.

Pelbagai ujian dibuat, termasuk ujian alahan, result semuanya OK untuk Mikael, tiada apa-apa alergik.

Setiap najis telah diambil untuk ujian, namun doktor masih tiada jawapan untuk puncanya.

Selama di hospital, Mikael masih cirit-birit dan demam. Malah, merah-merah di seluruh muka dan badannya itu, sekejap ada sekejap hilang.

Kemuncaknya, selepas seminggu, Mikael dah mula berak berdarah. Doktor decide dengan prosedur antibiotik.

Saya sebagai ibu akur, walaupun berat hati ini untuk memasukkan bermacam-macam ubat pada Mikael yang masih bayi.

Oh ya, sepanjang di hospital, saya tidak bagi Mikael sebarang solid food (iyalah, doktor sangka ia mungkin alergik dari makanan tambahan) TETAPI Mikael still minum susu Enfalac.

Yalah, siapa sangka ada susu bayi tiruan? Lagipun Mikael bukan baru minum susu itu, dia sudah memakannya beberapa bulan sebelum itu.

Selepas 2 minggu lebih, sebab dan puncanya masih tidak diketahui, Mikael sudah nampak sedikit aktif, saya minta untuk keluar dari wad.

Balik rumah, sudah ada perubahan pada Mikael, jauh lebih baik (sebab susu Enfalac pun sudah dibeli pek baru (beli dari kedai lain).

Susu yang dibeli sebelum itu sudah pun habis; HABIS saya bagi dia minum.

Nasihat untuk para ibu tentang susu tiruan

Ibu-ibu yang masih mahu teruskan anak mereka dengan susu ini, anda boleh membelinya dari AEON & TESCO dulu.

Elakkan daripada membeli daripada kedai-kedai ubat atau kedai rangkaian serbaneka buat sementara waktu sehingga mereka isytiharkan isu ini selesai.

Untuk saya, saya sudah tukarkan Mikael dengan susu lain selepas pengalaman pahit ini.

Untuk parents, kalau anak-anak kita ada tanda seperti saya sebutkan di atas, cepat-cepat bawa anak anda ke hospital.

Ibu ayah, bagaimana nak mengesan susu tiruan?

susu bayi tiruan enfalac

Selepas isu susu bayi tiruan mula tular di Malaysia, Mead Johnson ada mengeluarkan kenyataan rasmi di akaun FBnya.

Mead Johnson berusaha untuk memastikan yang para pengguna tidak terus tertipu dengan produk susu bayi tiruan yang ada dijual di pasaran semasa.

Dalam kenyataannya itu, syarikat pengeluar susu terbabit telah menerangkan cara untuk membezakan antara susu asli keluarannya dengan susu bayi tiruan.

  1. Bungkusan susu keluaran syarikatnya adalah sedikit kembang, dan bukannya penyek seperti yang ada pada bungkusan susu tiruan.
  2. Bungkusan asli tersebut juga tidak mempunyai lipatan tajam yang jelas di kedua-dua hujung bahagian bungkusan seperti mana yang ada pada bungkusan tiruan.

Selain daripada petunjuk khas tentang bungkusan susu tiruan, ada beberapa cara tambahan lain untuk anda mengesan susu bayi tiruan:

  1. Jika anda sudah biasa membeli susu bayi sesuatu jenama dan anda perasan bungkusan baru mempunyai warna tepung susu yang berbeza
  2. Jika anda perasan bau tidak enak yang keluar dari tepung susu yang anda baru beli
  3. Gunakan aplikasi MyFitnessPal untuk menyemak kod bar pada produk bagi memastikan keasliannya

Jika sudah terbeli susu tiruan, apa nak buat?

Menurut Mead Johnson, anda boleh menghubungi care line mereka di 1-800-88-3585 (Isnin-Ahad, 9am-9pm) untuk membuat laporan dan menggantikan produk sekiranya:

  • Anda telah terbeli produk Enfalac A+ Step 1 1.8kg dengan bungkusan yang hujungnya tajam (seperti yang diterangkan di atas)
  • Anda terbeli Enfalac A+ Step 1 1.8kg yang bukan lagi dalam pembungkusan original

Secara amnya, produk susu di pasaran masih lagi selamat. Cuma kita sebagai ibu ayah, dan pengguna, perlu lebih berwaspada.

Selagi kita membelinya di pasaraya besar seperti Tesco, AEON dan Mydin, ia selamat.

Cumanya, berhati-hati jika anda membeli produk susu bayi yang dijual di kedai ubat atau kedai serbaneka, lagi-lagi jika terdapat sebarang penawaran harga yang amat murah.

 

 

 

Sumber: Enfagrow FB, Norseila Nawi FB

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

my.theasianparent.com/susu-formula-tiruan-keracunan/

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Noor

app info
get app banner