Pakar kanak-kanak juga akan menyarankan formula susulan kepada ibu bapa jika anak mereka perlu menambahkan berat badan.
Perlu ke anak anda minum susu formula susulan? Ini apa kata pakar
Sesetengah ibu bapa berpendapat susu formula mengandungi banyak gula dan pengawet berbanding dengan susu segar. Jadi wajib ke anak minum susu rumusan susulan? Mari kita bincangkan.
Sesetengah ibu bapa memilih formula susulan untuk anak kerana ingin memastikan anak mendapat nutrien terbaik dan secukupnya untuk berkembang.
Biarpun susu ibu mahupun formula, susu masih memainkan peranan yang penting dalam pemakanan anak dari bayi hingga mereka bersekolah.
Ada ibu bapa yang memilih untuk memberi susu lembu segar selepas anak berumur 1 tahun. Ada pula yang lebih suka membeli susu formula susulan untuk si kecil mereka. Apakah bezanya dan adakah formula susulan betul-betul penting untuk anak?
Formula susulan: Perlu atau tidak?
Kalau ibu bapa masih binggung apa maksud formula susulan, biar kami terangkan di sini. Susu formula susulan adalah susu yang direka khas untuk kanak-kanak berumur 1-3 tahun dan diperkayakan dengan vitamin dan mineral.
Ia juga mengandungi lebih banyak zat besi berbanding serbuk susu yang biasa. Susu ini juga dikatakan lebih berkhasiat dan baik untuk anak.
Kini terdapat banyak jenama susu di pasaran yang menjanjikan nutrien terbaik untuk perkembangan anak. Kadang-kadang sampai ibu bapa pun bingung apakah susu yang paling baik untuk si manja.
Menurut WHO, seorang ibu digalakkan untuk menyusukan anaknya sehingga anak itu berumur 2 tahun ataupun lebih. Penyusuan susu ibu haruslah disertai dengan makanan yang seimbang dan berkhasiat.
WHO menegaskan susu ibu masih susu yang paling berkhasiat untuk anak walaupun citarasa anak akan bertukar apabila ibu bapa memperkenalkan makanan pejal. WHO juga percaya “formula susulan tidak patut digunakan sebagai pengganti susu ibu.”
Oleh itu formula susulan sebenarnya tidak wajib. Tetapi kalau nak beri susu ini pun tak salah juga kerana ia boleh “membantu kanak-kanak yang kekurangan nutrisi” terutamanya apabila anak baru mula makan makanan pejal.
Tetapi, ramai juga ibu bapa yang percaya susu segar adalah pilihan yang lebih berkhasiat. Ini disebabkan oleh kandungan gula dalam susu segar yang kurang berbanding dengan susu formula kanak-kanak.
Kandungan gula dalam formula susulan boleh mencecah sehingga 7.9 gram gula per 100 ml, manakala susu lembu penuh krim hanya 4.7 gram.
Semenjak penemuan ini, ramai pengeluar susu telah cuba menangani kebimbangan pengguna dengan mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka.
Untuk memenuhi keperluan nutrisi harian kanak-kanak, produk mereka juga diperkayakan dengan: vitamin D, vitamin A, iodin, zat besi, zink dan asid lemak omega-3.
Namun, sebelum memilih susu, ibu bapa kena pastikan dulu susu itu selamat dan sesuai untuk anak. Jika anak cerewet makanan dan kurang berat badan, mungkin susu formula adalah pilihan yang lebih sesuai.
Sebaliknya, jika anak mempunyai pemakanan yang berkhasiat dan seimbang, maka ibu bapa boleh cuba beri susu segar pula. Jika ibu bapa masih kurang pasti mana susu yang lebih sesuai, rujuklah dengan pakar kanak-kanak anak anda.
Apakah susu yang anda pilih untuk si manja? Formula susulan ataupun susu segar? Apakah yang mempengaruhi keputusan anda? Kongsi bersama kami di ruang komen di bawah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Pusat Maklumat Bioteknologi Negara , The Guardian , WHO, Times Live
Baca juga:
Panduan lengkap sebelum ibu bapa memberi susu formula pada anak