Susu kolostrum amat berharga untuk menyokong perkembangan bayi. Ia adalah cecair pertama yang keluar seawal kelahiran si manja dengan tekstur yang lebih pekat.
Walau bagaimanapun tidak semua ibu dapat memberikan susu kolostrum kepada bayi mereka. Ini kerana adanya halangan seperti masalah puting tersumbat, tiada susu ataupun si kecil dimasukkan wad.
Khasiat susu kolostrum

Bagi ibu baru anda mungkin tidak tahu akan kepentingan susu kolostrum ini kan? Sebenarnya penyusuan buat kali pertama ada cabaran yang tersendiri.
Lakukan persediaan mental dengan lebih awal dan ketika mengandung, niatkan dalam hati untuk menyusu bayi sehingga usianya 2 tahun. Ini secara tidak langsung dapat meyakinkan anda bahawa proses penyusuan boleh berjalan lancar meskipun pada mulanya agak sukar.
Untuk beberapa hari pertama selepas bersalin, susu kolostrum akan keluar dari puting payudara. Ia penuh dengan protein dan padat nutrien, rendah lemak, mudah dihadam dan mampu membina sistem imunisasi si manja.
Kolostrum kelihatan lebih pekat dan lebih kuning daripada susu matang. Komposisinya juga berbeza, kerana ia disesuaikan dengan keperluan khusus bayi anda yang baru lahir.
Antara manfaat susu kolostrum ini adalah:
#1. Kolostrum melawan jangkitan
Dua pertiga daripada sel dalam kolostrum adalah sel darah putih yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan.
Menurut pakar terkemuka sains laktasi di The University of Western Australia, Profesor Peter Hartmann, sel darah putih adalah penting dan bertindak balas sebagai imun. Ia memberikan perlindungan daripada sebarang jangkitan.
Ketika membesar, bayi akan meneroka dunia sekelilingnya dan terdedah dengan pelbagai cabaran baharu.
Sel darah putih dalam kolostrum menghasilkan antibodi yang boleh meneutralkan bakteria atau virus.
#2. Menyokong sistem imun dan fungsi usus bayi

Kolostrum kaya dengan antibodi penting yang dipanggil sIgA. Ini melindungi bayi anda daripada penyakit, bukan dengan meresap ke dalam aliran darahnya, tetapi dengan melapisi saluran gastroususnya.2
“Molekul yang menyediakan kertahanan imun terhadap jangkitan pada ibu diangkut melalui darahnya ke payudara, bergabung membentuk sIgA, dan dirembeskan ke dalam kolostrumnya,” jelas Profesor Hartmann.
"SIgA ini tertumpu pada lapisan mukus usus dan sistem pernafasan bayi, melindunginya daripada penyakit yang pernah dialami oleh ibunya."
Kolostrum juga kaya dengan komponen imunologi lain dan merangsang pertumbuhan membran mukus pelindung dalam usus bayi. Semasa ia berlaku, prebiotik dalam kolostrum bertindak sebagai bakteria 'baik' dalam usus si manja anda.
#3. Kolostrum mencegah penyakit kuning (jaundice)
Selain melindungi bayi daripada sakit perut, kolostrum bertindak seperti julap yang membuatkan bayi anda kerap buang air besar.
Ini membantu mengosongkan ususnya daripada semua yang dia termakan semasa di dalam rahim, dalam bentuk mekonium - najis yang gelap dan melekit.
Kerap buang air besar juga mengurangkan risiko bayi mengalami jaundis ketika baru lahir.
#4. Vitamin dan mineral dalam kolostrum

- Karotenoid dan vitamin A dalam susu kolostrum membuatkannya berwarna kuning. Vitamin A amat penting untuk penglihatan bayi, mengekalkan kulit dan sistem imunisasi yang sihat. Biasanya bayi yang baru lahir memiliki vitamin A rendah, jadi susu kolostrum dapat membantunya.
- Kolostrum juga kaya dengan mineral, seperti magnesium yang menyokong jantung dan tulang bayi.
- Manakala kuprum dan zink dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi.
- Zink meningkatkan perkembangan otak, dan terdapat hampir empat kali lebih zink dalam kolostrum berbanding susu ibu yang biasa untuk menyokong otak bayi berkembang pesat.
#5. Kolostrum membantu bayi anda membesar sihat
Cecair susu pertama atau kolostrum mengandungi banyak komponen lain yang menyokong pertumbuhan dan perkembangan bayi.
"Ia tinggi protein kerana semua antibodi di dalamnya adalah protein, rendah laktosa [gula susu], dan lemak berbanding dengan susu ibu yang biasa." kata Profesor Peter Hartmann.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jadual Pemakanan Ibu Menyusu & Diet Yang Betul Bantu Banyakkan Susu Badan
Baca juga: Bahaya 'Microsleep' Jika Ibu Terlelap Sekejap Ketika Menyusu, Ini Cara Mengatasi
Baca juga: Bayi Tiba-Tiba Tidak Mahu Menyusu Badan, Ketahui Punca & Cara Mengatasi
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!